Tuesday, February 19, 2013

Mengumpul Barang-barang Antik

Aku suka mengumpul. Umur 5 tahun aku suka mengumpul patung-patung kecil askar, menyusun satu persatu askar-askar tersebut, meniru babak peperangan. Adik perempuan aku muncul dengan patung panda mata hilang sebelah. Bagai Godzilla menyerang Tokyo, formasi askar-askar ku punah ranah. Apa yang aku pasti peperangan berakhir dengan panda kehilangan mata dan tangan berserta tangisan komander perang dan pemilik Godzilla.

Semasa berumur 10 tahun, aku mula berminat pada muzik. Meniru penyanyi di kotak TV, aku mengambil penyapu selaku mikrofon dan menyanyi secara sumbang. Tapi yang aku pasti, aku gemar mengumpul kaset-kaset muzik. Dengar sekali dua, susunkan di dinding, menatap bongkah-bongkah kotak kaset dengan hati girang. Hobi mengumpul kaset ini berlarutan sehingga kedai-kedai muzik mula mengubah format kaset ke CD, dan akhir nya ke mp3. Tamat riwayat zaman kaset. Namun simpanan kaset-kaset aku tak luak, tidak diserang Panda. Jadi aku tak risau.
Apabila aku menamatkan pengajian di universiti, hobi mengumpul aku diteruskan dengan mengumpul alat muzik pula. Semestinya aku punya sebab mengumpul alat muzik; muzik adalah hidupku; alat-alat muzik bagaikan hidup di tangan ku mengajarku bagaimana untuk berbicara dengan mereka. Pengumpulan alat muzik mengubah hidupku sedikit demi sedikit. Aku menyertai pelbagai kugiran muzik, mengubah lagu dan menulis sajak. Hidupku adalah muzik. Tiada Panda yang akan mengamuk di setiap acara muzik yang aku sertai. Tiada Panda yang akan menutup pintu masuk ke pentas persembahan kugiran muzik ku. Jadi aku tak risau.

Namun tanpa aku sedari, Panda tidak menyerang koleksi alat-alat muzik ku dan tidak juga memusnahkan koleksi kaset-kaset lusuh ku tetapi dia menghitung desingan-desingan syiling wang yang gugur di sekitar ku. Panda mengutip setiap syiling wang yang jatuh, mengunyah bagaikan syiling-syiling itu batang buluh. Panda juga mengutip deraian wang kertas yang jatuh di sekitar ku dan mengumam setiap helaian bagaikan kesemua nya daun buluh. Setahun berlalu, disusuli dua tahun. Panda semakin gemuk dan aku akhirnya jatuh tersungkur, wang kertas dan syiling tidak lagi gugur di sampingku.

Aku lari tetapi tabiat mengumpulku tidak pudar. Aku kini mengumpul novel-novel fiksyen. Tetapi sebelum itu aku sembat membutakan si Panda, mematahkan lengan kanan nya sebelum melarikan diri. Tindakan untuk melambatkan Panda semata. Aku kumpul karya-karya penulis terkenal, menabur kan wang dan syiling untuk perpustakaan impian. Suatu malam yang hening, aku lemas dalam pembacaan. Meniarap di katil, tangan menongkatkan dagu. Tiba-tiba kaki aku rasa kejang. Sesuatu yang berat menahan ku dari mengerakkan kaki dan tubuh. Aku menoleh dan aku dapati si Panda tengah duduk di hujung katil ku. Memamah novel-novel fiksyen ku. Mematahkan gitar dan biola ku. Memijak-mijak koleksi kaset-kaset ku.

“Oh Panda, apa salahku? Aku hanya si pengumpul”

Si Panda hanya merenung ku, memamah novel-novel fiksyen ku bagaikan segala nya adalah daun dan batang buluh. Hidup aku musnah. Tetapi fikiran ku berpusing sejenak. Panda ada pelbagai saiz dan rupa. Koleksi yang indah untuk taman buluh di halaman rumah.

2 comments: