Tuesday, February 26, 2013

Salji

-Malam ini salji turun lagi di luar rumahku. Bagaikan neraka sejuk, kedinginannya menyeksa kulitku, mengancam akan merekahkan jari-jemariku. Jari-jariku sejuk, kakiku dingin dan bilikku ini kesepian; hanya khayalanku menemani aku.

-Barangkali aku harus pergi mencari teman untuk menemaniku di malam sejuk ini. Mungkin boleh ke rumah Yazid si Jawa Selangor untuk makan-makan; atau ke rumah Julian si Yahudi untuk bermain kad; pokoknya aku tak harus keseorangan malam ini.

-Tapi di luar sejuk sekali.

-Kesejukan ini mendatangkan syaitan di dalam bentuk kenangan lama. Syaitan yang senantiasa mengingatkan aku kepada kisah aku jauh di negara yang sudah lama aku tinggalkan; kisah aku dan sekumpulan budak lelaki gila agama. Kadang-kala sukar untuk aku memikirkan bahawa aku dahulu sebahagian dari mereka; lelaki-lelaki yang sama-sama berteriak "Nahnu Ansar Allah!" di surau dahulukala.

-Ah, buat apa mengenang dosa lama. Dosa menjadi munafik kerana agama. Itu semua cerita dahulu kala, tak perlu ku rungsingkan belaka. Lebih baik aku memikirkan bagaimana aku boleh menjaga kulitku dari durjana kedinginan musim sejuk ini, tatkala salji yang beku turun dengan perlahan-lahan di luar bilikku ini.

-Ataupun boleh sahaja aku membaca berita tentang dunia.

-Ah, buat apa peduli tentang dunia? Arab dan Israel takkan pernah aman punya. Baik lagi kalau aku membaca tentang penemuan sains mutakhir dan semasa. Dengarnya di Marikh masih ada kemungkinan menjumpai kehidupan berupa mikrob yang primitif dan juga tahan lasak; Apakah seperti yang diujarkan al-Quran, mereka diciptakan dalam keadaan berpasang-pasangan? Atau adakah mereka aseksual?

Pelik, apakah ertinya ini bilamana Quran mengatakan semua hidupan diciptakan berpasang-pasangan, tatkala ada sahaja makhluk yang bersifat aseksual tanpa jantina. Apakah Quran bukan dari Allah sehingga boleh berlaku kekeliruan ini; atau apakah Quran hanya pemikiran manusia semata, yang hanya melihat makhluk sebagaimana yang mampu dilihat oleh panca indera mereka? Peduli apa aku.

-Malam tak akan menjadi lebih panas dan selesa hanya dengan meragukan tentang kebenaran Quran. Membakar jiwa adalah; baik aku diam sahaja.

No comments:

Post a Comment