Thursday, February 28, 2013

Misteri Algojo

Tugasan untuk hari Ahad ini:

Pergi ke stesen minyak Caltex, belanjakan RM 10 untuk minyak kereta dan beli barangan dalam lingkungan harga RM 3.

Itu pada zahir tugasan. Tugasan yang terselindung di sebalik nya adalah:

Pergi ke stesen minyak Caltex, memantau kebersihan persekitaran, memantau kekemasan dan keramahan cashier kedai dan menganalisa kebersihan tandas. Segala-gala tinjauan terbabit akan direkodkan dalam borang tinjauan yang disediakan oleh err.. Syarikat Sulit.

Oh, mungkin aku lupa menjelaskan pekerjaan yang aku jalankan sekarang. Tugasan ini menamakan aku selaku “Mystery Shopper”. Ya, aku menyamar jadi pelanggan kedai, beli barang (membuat kecoh sedikit) dan balik.

Pada hari itu, aku bangun seperti biasa, pukul 5 pagi. Aku cuci muka, jerang air dan sementara menunggu air masak, aku baca novel yang baru aku beli – The Technologist karya Matthew Pearl. Namun fikiran aku tak boleh fokus. Sebab tugasan yang aku perolehi daripada Syarikat Sulit terbabit macam sukar nak dilaksanakan. Aku telah mencatatkan tiga stesen minyak Caltex yang ku kira berdekatan dengan rumah. Salah satu daripada stesen minyak tersebut memang aku tahu lokasi nya, namun dua lagi stesen minyak aku tak tahu. Google it. Dah buat. Namun aku memang tak mahir sangat ikut peta Google. Selalu tersilap arah. Sebab silap mudah – malas nak ingat dan malas nak cetak peta arah. Bila keluar ke jalan menuju destinasi – memang pasti akan sesat.

Aku memberhentikan pembacaan novel sementara setelah dua jam terbaring. Perut sudah berbunyi minta di isi. Aku menyediakan Oat 3 in 1 sebanyak dua paket dan membancuh nya dengan air panas yang dijerang. Aku sempat mengimbau ruang tamu. Hari Ahad, semua tidur lagi. Perancangan aku untuk keluar ke stesyen Caltex macam payah sebab kenderaan yang aku nak guna ambil tugas yang leceh untuk mengalihkannya. Dua pajero harus dialih terdahulu. Nak ambil kunci dan nak alih dua kenderaan tersebut – memang malas. Aku gelengkan kepala, berpatah balik ke bilik menyambung pembacaan.

Hujan renyai-renyai di luar bilik. Dari tepi tingkap aku dapat dengar setiap titis-titis hujan yang jatuh dari atap bumbung ke lantai. Titis-titis hujan itu seolah-olah lagu hipnosis yang membuai setiap orang dalam rumah tidur. Tidur lah, aku tetap begini, hipnosis tak berkesan. Aku cuba melelapkan mata sebentar, membayangkan titis-titis hujan yang turun adalah lagu balada. Akhir nya aku dapat menghayati hipnosis itu – aku tertidur.

Aku bangun semula tatkala tengahari mengerakkan jarum jam ke kordinat 12:34. Hujan telah berhenti, matahari sudah beraja di langit. Aku melangkah bangun dari tempat perbaringan menuju ke bilik mandi, membasuh muka dan menjenguk lagi ke ruang tamu. Senyap sunyi.

Aku buka pintu bilik bersebelahan dengan bilikku untuk membuat kepastian. Senyap sunyi juga. Pajero juga tiada di ruang halaman rumah. Aku melangkah keluar dari pintu rumah dan memerhati persekitaran. Lori diparkir di hadapan rumah. Pintu pagar rumah berhadapan dengan rumah ku terbuka luas. Namun tiada langsung kelibat orang. Tiada kelibat kucing atau anjing. Tiada burung bertenggek di tiang-tiang elektrik. Aku memejamkan mata buat sementara, memfokuskan pendengaran pada persekitaran dengan harapan akan menangkap bunyi kenderaan dari jauh namun tiada bunyi kenderaan langsung. Apa yang sudah terjadi?

Aku bergegas masuk ke dalam rumah. Mengunci pintu dan gerigi besi . Bagaikan terperangkap dalam vakum, suasana begitu sunyi. Aku melangkah masuk dalam bilik mandi, membuka tombol kunci air dan menghayati setiap titis-titis air yang membasahi wajah dan turun mengikut graviti membawa kesengalan pada otot pergi tatkala air itu melalui lekuk-lekuk pada tubuh. Setiap aliran air itu diiringi dengan pemutaran fikiran.

“Ke mana semua orang pergi?”

De ja vu.

Aku pernah menghadapi situasi begini pada suatu masa yang lalu. Mungkin lima tahun yang lepas. Pada masa itu, syarikat tempat aku berkerja pernah menguruskan projek pembinaan jalan yang merentasi hutan dan bukit ke sebuah kampung yang agak terpencil. Aku dikehendaki memeriksa batu sempadan kawasan kerja di balik tiang-tiang belantara yang tebal.
Kesepian serupa vakum ini pernah dirasai di suatu kawasan belantara tersebut. Hanya suatu langkah, pancaindera dapat merasai kemalapan pada sinar hidup penghuni belantara secara tiba-tiba. Bunyi kicauan burung, bunyi mesin pengorek, bunyian lori yang mengangkut tanah lesap.

Ketenangan.

Ketenteraman yang menakutkan.

Seolah-olah dunia memberitahu:
“Selamat datang ke penjara hayat”

Aku tersentak dari imbauan memori. Tombol kunci air aku putarkan. Aliran air berhenti. Aku melangkah keluar dari bilik mandi. Aku menyiapkan diri untuk keluar dari kawasan rumah dengan menggunakan kereta ku – Perodua Viva. Aku menyusur keluar dari kawasan perumahan ke jalan besar. Masih lagi tiada kelibat manusia. Tiada langsung kenderaan di atas jalan. Tiada kelibat haiwan merangkak di tepian jalan. Kosong dan sungguh sunyi.

Aku membuat keputusan untuk pergi menjalankan tugasan aku selaku “Mystery Shopper” itu tadi. Walaupun aku pasti mungkin tiada seorang pun yang akan menunggu di stesyen Caltex untuk dinilai pada masa kini. Aku hanya ingin membuat sesuatu. Dalam hati aku terdetik, penjara hayat ini mungkin akan berakhir sekiranya aku membuat sesuatu yang normal. Normal dari segi perbuatan. Jadi aku perlu membuat anggapan seperti berikut:

1)Di stesen Caltex itu ada cashier. Cashier perempuan comel bertudung bernama Nely (Nama dan sifat harus diterangkan sebab maklumat itu diperlukan dalam borang tinjauan)
2) Ada dua tiga buah kenderaan sedang mengisi minyak.
3) Seorang pekerja stesen sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan.
4)Seorang pelanggan stesen sedang mengepam tayar kereta.

Setelah lima belas minit memandu, aku akhirnya tiba di stesen Caltex terbabit. Okay, realiti nya tiada seorang pun di stesen ini. Tiada pekerja, tiada cashier, tiada pelanggan dan tiada kenderaan. Walau bagaimanapun imaginasi aku tetap ada. Diharap imaginasi itu ada pada pembaca cerita ini juga.

Aku memarkir kereta di salah satu pam minyak. Setelah mematikan enjin dan membuka penutup tangki minyak aku meluru ke arah cashier di stesen. Pada masa kini terdapat dua tiga kereta di kiri dan kanan ku. Satu kereta Kia di sebelah kiri tengah diisi minyak petrol nya dan satu lagi Mercedez di sebelah kanan sedang dipam angin kesemua tayar-tayarnya. Di hadapan ku terdapat sebuah kereta Kancil diparkir di hadapan stesen. Kebersihan terjaga betul. Aku tidak nampak sebarang sampah sarap berterbangan di lantai stesen. Aku membuat nota minda berkenaan kebersihan stesen.

Aku disambut dengan senyuman comel cashier bernama Nely. Aku anggarkan dia berumur dalam 20-an. Senyuman manis dan suara nya gemersik. Tudung nya kemas dan tag nama dipakai di dada terpapar nama ‘Nely’ (dari tag nama ini lah aku tahu nama nya Nely). Bertubuh kecil dan berpakaian kemas; pakaian seragam Caltex. Aku membuat bayaran sebanyak RM10, meminta resit dan pergi ke kereta untuk mengisi minyak. Aku sempat membuat nota minda berkenaan ciri-ciri Nely. (Personaliti dan ciri-ciri Nely harus diterangkan dalam borang tinjauan).

Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Tatkala angin menyapa wajahku, aku tersentak seketika. Tiada Nely, tiada kereta-kereta dan tiada pekerja stesen. Pelanggan stesen pun tiada. Imaginasi tergendala. Aku memerhati persekitaran stesen yang sunyi sepi. Apa yang ganjil, stesen Caltex ini begitu kemas dan tersusun rapi. Bagaikan seolah-olah baru ditinggalkan lima minit selepas kerja-kerja pembersihan dilaksanakan. Aku melangkah semula ke arah stesen Caltex yang kosong tiada penghuni. Aku menolak sendal pintu ke dalam dan serentak dengan tapak kaki yang melangkah masuk, aku pejamkan mata.

5 saat.

Mata dibuka. Aku menoleh ke kiri dan mendapati Nely dan pekerja stesen sedang rancak berbual. Namun aku tidak dapat mengagak butir-butir perbualan mereka. Aku meneliti rak-rak yang disusun dengan botol-botol air mineral dan mengambil botol air mineral berharga RM 2.50. Setelah itu aku bergerak ke rak jualan coklat-coklat bungkus. Aku mencari bungkusan coklat Snickers. Kegemaranku. Nota mindaku tiba-tiba mengingatkan ku yang had perbelanjaan untuk tinjauan ini hanya RM 3. Aku abaikan pencarian coklat dan meluru terus ke kaunter bayaran. Nely hanya tersenyum melihat kehadiran aku di sini. Senyuman mesra pelanggan. Polisi Caltex.

Aku menyeluk saku seluar untuk mengeluarkan dompet. Tatkala jari telunjuk ku dan ibu jari dikepitkan untuk menarik wang kertas dari dompet, tiba-tiba Nely mencapai tangan kiriku dan menggari pergelangan tanganku pada meja kaunter.

“Selamat datang ke penjara hayat”

Ayat yang ditutur Nely itu membuat aku terpaku sebentar. Gemersik suaranya membuatkan bulu roma ku meremang. Senyuman lebar terpapar pada raut wajah Nely yang bulat itu. Lutut terasa goyah secara tiba-tiba. Namun aku dapati aku tidak berasa lenguh langsung. Aku dapat merasakan gegaran kecil pada kaki. Secara perlahan gegaran mula merebak dari tempat aku berdiri ke seluruh kawasan stesen. Barang-barang di rak mula jatuh dari tempatnya. Rokok, surat khabar, botol mineral dan majalah-majalah mula memenuhi lantai stesen. Hanya Nely masih di tempatnya, melontarkan senyuman lebar. Hanya Nely yang bebas dari gegaran. Seolah-olah graviti di tapak kakinya berada di dimensi lain.

Nely membelakangkan ku dan membuka laci kabinet di hadapan nya. Aku berasa cuak. Dalam imaginasiku, Nely akan mengeluarkan pistol dan mengacukan nya ke dahi ku dan menarik picu. BANGGGGG!! Nyawa ku akan padam. Aku semakin cemas. Namun Nely hanya mengeluarkan kepilan kertas-kertas yang aku kenal.

Borang tinjauan daripada Syarikat Sulit.

“Harap maaf. Identiti anda selaku “Mystery Shopper” telah terbongkar. Sekaligus anda tidak layak mendapat sebarang rebat ataupun duit tambang minyak daripada Syarikat Sulit. Diharap lebih berhati-hati semasa menjalankan tinjauan. Usaha lagi lain hari”

Nely melafazkan ayat-ayat itu tanpa goyah komposisi tuturnya. Aku terasa seperti hendak pitam. Pandangan semakin kabur. Gegaran kian berkurang. Mata terpejam semula.

5 saat.
4 saat.
3 saat.

Aku membuka mata semula. Hon kereta berbunyi nyaring dan berpanjangan. Aku tersentak dan menyandarkan tubuh ku pada kusyen kereta. Rupa-rupanya aku pengsan di dalam kereta dan kepalaku tersandar pada stering sekaligus membunyikan hon. Aku mengesat mata dan meninjau persekitaran. Aku masih lagi berada di stesen Caltex yang tiada berpenghuni. Tiada kereta, tiada pelanggan, tiada pekerja dan tiada Nely. Aku memutar kunci pada tombolnya dan serentak dengan deruman enjin kereta, aku membawa diriku berlalu pergi daripada stesen Caltex terbabit.

Radio kereta tiba-tiba hidup sendiri. Bunyian radio rosak berkumandang selama 5 saat sebelum disusuli suatu suara halus dan gemersik. Nely.

“Kami daripada Syarikat Sulit terpaksa memberhentikan anda dari tugasan “Mystery Shopper”. Perbuatan anda mengisi minyak kereta sebanyak RM 10 dan memohon resit telah membongkar identiti anda. Terima kasih dan jumpa lagi”

Bunyian radio rosak berkumandang lagi untuk 10 saat sebelum terpadam. Aku hanya mampu mengeluh berat.

Wednesday, February 27, 2013

Bunian yang Murtad

“Hey,manusia!”

“Ya, tuan”

“Akulah Tuhan kamu!!”

“Ya, tuan”

“TUHAN, bukan tuan!”

“Ya, tuan”

“Adakah kamu pekak?”

“Ya, tuan”

Begitulah perbualan antara bunian yang tersesat di alam manusia moden. Kini dia berhadapan dengan seorang budak yang khusyuk mendengar lagu dari kotak muzik mini. Bunian yang tersesat menganggap dirinya lebih mulia daripada manusia.

“Manusia adalah khalifah di muka bumi”

Kenyataan itu telah lama lesap dari pengetahuan bunian. Bagi bunian, manusia adalah makhluk bengis. Punya akal namun nafsu lebih berkuasa. Bunian menyaksikan bagaimana perkampungan nya diratah manusia. Setiap burung-burung yang berterbangan kini tiada. Sahabat-sahabat haiwan bunian telah ditangkap manusia.

“Manusia adalah perosak di muka bumi”

Bunian telah menzahirkan kenyataan itu. Namun begitu, tanpa sedar bunian telah tersesat dalam alam manusia moden. Bunian telah terpengaruh dengan kepercayaan pemikiran bebas. Nama Allah telah lama hilang dari sanubarinya. Kini bunian hidup dalam hedonisma. Bunian juga telah lupa pada Tuhan. Bunian yang sedar dirinya tidak seperti manusia kian menghayati keganjilan pada dirinya sendiri.

“Mengapa manusia tidak dapat menembusi hijab batu ini?”
“Mengapa manusia tidak dapat berlindung daripada pandangan ku?”
“Mengapa manusia tidak mampu ghaib seperti jin-jin sahabatku?”
“Apakah makna kewujudan aku?”

Persoalan-persoalan liar berlegar-legar di benak fikiran bunian. Akhirnya bunian singgah di satu kesimpulan radikal:

“Manusia tidak serupa seperti ku. Jin juga tidak sama sifatnya seperti ku. Aku hanya satu dalam dunia. Sesuatu yang Ahad hanya Tuhan. AKULAH TUHAN”

Namun begitu, kini di hadapan nya, seorang budak belasan sedang khusyuk menghayati muzik dari kotak mini yang ganjil sifat nya. Budak itu menatap wajah bunian, namun di mata bunian, pandangan itu kosong. Seolah-olah roh tiada dalam jasad di hadapan nya itu. Namun setiap pertanyaan dan teguran dari bunian hanya dijawab dengan dua perkataan mudah: “Ya, tuan”
Manusia telah hilang rohnya.

Bunian menghentikan pertanyaan nya. Bunian memerhatikan raut wajah budak tersebut. Berkulit putih, bermata bundar, berhidung mancung, berambut ikal. Agak comel. Namun bunian tidak kenal ‘comel’ atau ‘hodoh’. Logik akal nya mudah. Manusia adalah serupa walau ada seribu jumlahnya. Jin adalah serupa walau ada sejuta jumlahnya. Jantina tidak wujud dalam kamus pengetahuan bunian. Jin adalah kertas hijau. Manusia adalah kertas coklat. Bunian pula hanyalah bunian. Tiada perumpamaan yang mampu merungkai sifat nya.
Bunian melontar pula pandangannya pada kotak mini yang mengeluarkan bunyi-bunyian itu. Tiba-tiba dari kotak mini tersebut kedengaran satu suara garau;

“AKULAH TUHAN KAMU”

Bunian tersentak. Dia terlompat dari tanah ke belakang.

“AKULAH TUHAN KAMU”

Rasional bunian yang tegas memberitahu dirinya adalah Tuhan kian goncang. Kotak mini itu tidak pernah muncul dalam hidupnya. Tidak pernah dia melihat sesuatu objek sebegitu. Oh, maaf. Kotak mini itu bukan objek tetapi kotak mini itu adalah satu kewujudan yang bernyawa. Suara garau yang terlontar penuh dengan kekerasan.
Kotak mini punya roh.

Rasa amarah tiba-tiba mengelodak dalam diri bunian. Enam jari-jemari di setiap dua tangan nya meluru ke arah kotak mini tersebut. Kekeliruan dan kemarahan mendorong bunian bertindak ganas. Kotak mini dihempas ke bawah lantai. Pecah. Budak itu terdiam. Dari wajah budak itu, terpapar emosi dan ego nya. Lantas dengan suara lantang budak itu bertempik ke arah bunian:

“PAKCIK BUAT APA?!!!!! SAYA NAK DENGAR APA SEKARANG?!! UWAAAAAAAAAAA~”

Tangisan dan raut wajah budak itu berubah. Kesedihan dan kekecewaan jelas terpapar di setiap titisan air mata yang mengalir.
Manusia punya roh semula.

Kotak mini merampas roh manusia.

Bila kotak mini tiada, manusia bernyawa semula.

Aku bukan Tuhan.

Tuesday, February 26, 2013

Salji

-Malam ini salji turun lagi di luar rumahku. Bagaikan neraka sejuk, kedinginannya menyeksa kulitku, mengancam akan merekahkan jari-jemariku. Jari-jariku sejuk, kakiku dingin dan bilikku ini kesepian; hanya khayalanku menemani aku.

-Barangkali aku harus pergi mencari teman untuk menemaniku di malam sejuk ini. Mungkin boleh ke rumah Yazid si Jawa Selangor untuk makan-makan; atau ke rumah Julian si Yahudi untuk bermain kad; pokoknya aku tak harus keseorangan malam ini.

-Tapi di luar sejuk sekali.

-Kesejukan ini mendatangkan syaitan di dalam bentuk kenangan lama. Syaitan yang senantiasa mengingatkan aku kepada kisah aku jauh di negara yang sudah lama aku tinggalkan; kisah aku dan sekumpulan budak lelaki gila agama. Kadang-kala sukar untuk aku memikirkan bahawa aku dahulu sebahagian dari mereka; lelaki-lelaki yang sama-sama berteriak "Nahnu Ansar Allah!" di surau dahulukala.

-Ah, buat apa mengenang dosa lama. Dosa menjadi munafik kerana agama. Itu semua cerita dahulu kala, tak perlu ku rungsingkan belaka. Lebih baik aku memikirkan bagaimana aku boleh menjaga kulitku dari durjana kedinginan musim sejuk ini, tatkala salji yang beku turun dengan perlahan-lahan di luar bilikku ini.

-Ataupun boleh sahaja aku membaca berita tentang dunia.

-Ah, buat apa peduli tentang dunia? Arab dan Israel takkan pernah aman punya. Baik lagi kalau aku membaca tentang penemuan sains mutakhir dan semasa. Dengarnya di Marikh masih ada kemungkinan menjumpai kehidupan berupa mikrob yang primitif dan juga tahan lasak; Apakah seperti yang diujarkan al-Quran, mereka diciptakan dalam keadaan berpasang-pasangan? Atau adakah mereka aseksual?

Pelik, apakah ertinya ini bilamana Quran mengatakan semua hidupan diciptakan berpasang-pasangan, tatkala ada sahaja makhluk yang bersifat aseksual tanpa jantina. Apakah Quran bukan dari Allah sehingga boleh berlaku kekeliruan ini; atau apakah Quran hanya pemikiran manusia semata, yang hanya melihat makhluk sebagaimana yang mampu dilihat oleh panca indera mereka? Peduli apa aku.

-Malam tak akan menjadi lebih panas dan selesa hanya dengan meragukan tentang kebenaran Quran. Membakar jiwa adalah; baik aku diam sahaja.

Sunday, February 24, 2013

Mendongak

Hari ini aku mendongak lagi. Mendongak ke atas memerhati siling putih. Tengkuk sakit, otot sakit di setiap sendi. Sebab itu aku mendongak. Terlihat cicak menari di bawah siling, menipu graviti, menyanyi lagu mono.

Dongakan ku halakan ke kiri, masih lagi siling putih. Dongakan ke kanan, ya, masih lagi siling putih. Bilik ku ini mudah, ada kipas siling, ada penghawa dingin. Almari tiada dan tiada hiasan langsung. Secara automatik nya, anda yang membaca sudah tertipu. Dongakan ke atas bermaksud yang hadir dalam pandangan adalah seekor cicak, sebuah kipas dan sebuah penghawa dingin.
Aku menukar mod dongakan kepada tolehan. Bilikku dipenuhi rak buku. Perhatian, hanya rak sahaja. Istilah ‘rak buku’ itu timbul sebab aku sudah beli rak dengan tujuan menyusun buku di rak tersebut. Namun ‘rak buku’ sudah jadi ‘rak resit’ pada tingkat bawah, ‘rak tabung’ pada tingkat pertama dan ‘rak paket minuman’ padan tingkat kedua. Buku ada di bilik stor, masih terbungkam dalam kotak.

Kepala digerakkan ke kanan badan. Semestinya badan juga bergerak ke kanan, aku bukan hantu penanggal lagi (selamanya tak mahu jadi hantu). Pandangan mata terlontar pada kalendar di atas ‘rak buku’ yang belum terbuku sangat. Setiap kotak hari tercatat nombor dari 1 sehingga 28. Semestinya bulan Februari. Bulan ini ada sambutan Tahun Baru Cina, menjelaskan keadaan ‘perang’ pada dua minggu lepas. Orang cina main mercun dengan cermat. Tiada kes kehilangan nyawa atau bahagian tubuh. Berdentum bagai mortar. Mungkin mortar lebih bising. Peduli apa, dua-dua meletup. Mercun meletup, mortar meletup. Tamat cerita.
Aku mendongak lagi ke atas, kepala diserongkan ke belakang, sakit belakang makin menjadi-jadi. Tiba-tiba terasa kejang. Aku hilang kawalan. Tubuh dan kepala aku bergerak terus ke belakang dan...

Dunia gelap.

Untuk 5 saat sahaja.

Sebab aku pejam mata adalah agak mengantuk tetapi malas nak tidur.

Cicak masih lagi menipu graviti. Merangkak perlahan ke dinding sebelah kanan. Kipas terpusing bagaikan hipnosis. Aku cuba menetapkan pandangan mata pada satu bilah tangan kipas. Percubaan yang gagal. Percubaan gagal yang dimaklumkan oleh angin kipas tersebut. Sekurang-kurang nya angin tidak menipu graviti. Cicak sahaja.
Sengal-sengal otot masih menjalar di setiap sendi. Terasa sakit sekali. Lengan kanan terasa ngilu. Mungkin terseliuh. Lantai dingin sungguh. Kedinginan itu meresap ke dalam kulit, menerobos daging selaku ejen penyebar, dan membaluti tulang-temulangku.

Badan terasa kebas.

Kali ini aku tidak mampu mendongak lagi.

Mata yang terpejam, namun pemikiran masih beraja. Bunyi cicak menceceh memberitahu kejayaan nya menipu graviti dari satu keturunan ke keturunan yang lain, bunyian bilah-bilah kipas membelah udara menjadi angin dan bunyian penghawa dingin yang kaku desibelnya menusuk telinga.

Mengapa aku harus mendongak?

Mengapa otot-otot aku berasa sengal?

Aku cuba mengimbau memori, mencari punca kesakitan diri di dalam pemerintahan fikiran.

Aku seorang pekerja swasta, bekerja di bawah panas terik mentari dan selalu bergerak di dalam pelbagai jenis kenderaan. Jalan raya yang teruk berlubang dan berlekuk membuatkan perjalanan di dalam kenderaan sangat memenatkan – itu lah faktor kenapa otot-otot aku berasa sengal.

Mengapa aku harus mendongak?

Aku berfikir dan berfikir namun tiada jawapan yang hadir. Pemerintah fikiran mungkin sudah beradu tidur ataupun digulingkan oleh ‘ketiadaan’. Mungkin aku akan menjadi seperti zombi. Kosong namun buas. Mengapa buas? Ok, mungkin tiada kebuasan, hanya kosong seperti android. Ya, android. Sesuatu yang hidup namun mati. Sesuatu yang bertindakbalas dengan persekitaran namun tiada deria rasa.

Mendongak dan terus mendongak. Aku tiada jawapannya.
Selari dengan fikiran yang tidur, aku turut beradu sama.

Friday, February 22, 2013

Sejarah Ada Penjaranya

Aku mendapat amanat daripada pengarah syarikat untuk menghadiri mesyuarat di Kelana Jaya pada hari Selasa minggu depan. Ahad pagi. Aku bertolak dengan hati yang risau di dalam kereta Viva padat. Satu perjalanan yang memenatkan. Pajero syarikat buat masa sekarang masih di bengkel. Aku bersyukur perjalanan kali ini ditanggung oleh syarikat. Kalau harapkan perbelanjaan sendiri, aku tak akan mampu untuk menampung kos merepek jalan raya negara.

Untuk perjalanan jauh sebegini, aku punya tempat persinggahan yang aku gemari, Dunkin Donut sebelum tol PLUS menghala ke Kempas. Tiada yang istimewa sangat berkenaan tempat ini. Dikelilingi restoran Burger King di sebelah kanan dan stesen minyak Petronas di sebelah kiri, ramai yang menjadikan kawasan ini selaku tempat persinggahan sebelum bertolak ke utara. Aku suka melihat karenah manusia yang pelbagai. Penuh warna.

Setelah menghabiskan sarapan pagi, aku terus bertolak ke Kuala Lumpur. Aku cuba mengikut had laju yang ditetapkan. Menekan pedal pecutan sambil melihat meter kelajuan agar tidak melebihi had laju sangat memenatkan. Seolah-olah pedal pecutan itu diperbuat daripada telur ayam yang baru keluar reban. Tekan sedikit, pecah lah telur ayam itu. Bezanya di sini, bukan kulit telur ayam yang pecah tetapi had laju.

Kereta BMW dan Audi menyusur laju di laluan sebelah kanan. Yang pasti golongan ini tidak peduli dengan had laju. Saman had laju tidak menyusutkan bukit kapitalis golongan ini. Namun yang menyesakkan pandangan mata aku adalah, lampu hadapan kereta mereka dinyalakan. Atas dasar apa? Adakah fungsi lampu kereta itu terlalu rumit untuk dipadamkan? Matahari terpacak di atas bumbung kereta. Lampu hadapan dinyalakan galak. Aku tidak faham logik akal mereka.

Kepanasan bahang tengahari amat meletihkan. Aku memasang lagu Hoobastank dan menyanyi seiring dengan muzik yang berkumandang. Itu cara aku untuk mengelakkan dari mengantuk. Perjalanan diteruskan sehingga aku tiba di Shah Alam. Aku menghubungi Alan, anak saudara ku di Shah Alam. Alan bukan sekadar anak saudara ku, tetapi juga rakan satu kelas semasa di sekolah rendah dan sekolah menengah. Alan dan aku adalah dua orang daripada trio vokal harmoni. Kegilaan pada muzik acapella adalah kisah silam kami. Namun aku telah menyimpang jauh, muzik yang aku dengar telah berkembang pesat. Perjalanan hidup yang berbeza telah mewujudkan jurang muzik antara aku dan Alan. Alan masih dengan dunia acapella nya. Seolah-olah waktu itu sudah berhenti buat Alan.

Bagaikan sejarah ada penjaranya.

Aku menutur bait-bait lirik lagu Acapella yang diputarkan di radio kereta ku oleh Alan. Aku masih ingat sedikit lirik-lirik lagu tertentu. Terasa macam melangkah ke 15 tahun yang lepas. Tiada kerisauan akan kapitalis dan makhluk asing. Tiada ketakutan pada dogma agama radikal. Hanya acapella. Menyanyi tanpa menghitung detik-detik masa.
Sejarah mengurung aku semula.

Kami kini menuju ke Taman Melati, untuk melengkapkan semula trio vokal harmoni. Zamani menunggu kedatangan kami. Zamani baru mendapat cahaya mata pada bulan lepas dan selaku sebahagian daripada trio vokal harmoni, kami wajib membuat kunjungan. Apa yang penting sekali, Zamani harus diingatkan sesuatu.

Trio vokal harmoni sentiasa dipenjara oleh sejarah.

Thursday, February 21, 2013

Posmen Masa

Ropol-ropol asap berkitar di sekeliling tubuh. Asap rokok, asap kenderaan dan asap alam semua bercampur baur. Selaku seorang yang tidak merokok, ini adalah bencana. Setiap nafas yang ditarik bagai membawa objek-objek pejal kepada paru-paru. Dada terasa berat. Kemungkinan besar dipenuhi racun nikotin. Seperti tar jalan raya, gelap dan pekat. Mungkin hayat sudah merencana suatu surat perpisahan kepada tubuh diri. Tunggu sahajalah posmen masa menyampaikan amanat si hayat. Apa yang diharap, surat itu akan memasuki peti surat rumah dan tidak sampai ke tangan penerima – si tubuh diri. Apabila dibuka peti surat tersebut, diharap juga notis pengambilan surat daripada posmen tidak berada dalam pandangan. Cukup masa, hujan dan alam akan memamah surat itu.

Si tubuh diri akan terselamat dari takdir.

Itu hanya harapan. Harapan ada dua penamat; kegembiraan dan kesedihan. Untuk kisah Posmen Masa ini, penamatnya hanya kesedihan. Semestinya Posmen Masa tidak akan bertindak seperti Posmen Normal. Posmen Masa ada kunci setiap rumah yang akan dilawati. Posmen Masa juga memiliki hidung yang sensitif, nama dan alamat penerima mempunyai bau tersendiri. Bagai menggunakan satelit, Posmen Masa tidak akan pernah gagal mengesan penerima. Sepertimana Posmen MYeG yang mencari penerima menggunakan panggilan telefon, matlamat nya tetap sama – memastikan penerima mendapat kiriman dari tangan posmen sendiri.

Kepala berdenyut-denyut. Otot seluruh badan terasa sengal. Tekak dan bibir semakin kering. Air suam yang diteguk bagaikan air yang menyusuri daun keladi; tiada kebasahan pada tekak dan bibir. Batuk diselangi pedih pada dada semakin menjadi-jadi. Ropol-ropol asap makin tebal dan memasuki setiap rongga pada tubuh. Zarah-zarah nikotin menyusup celahan-celahan fabrik pakaian dan memulakan perkampungan Hitam dan Masam. Kampung Hitam. Kampung Masam. Hitam Masam, Hitam Masam. Penghulu kampung ada dua orang. Mungkin juga seorang sahaja namun ada konflik identiti, namun itu lah dia sifatnya Kampung Hitam dan Kampung Masam. Zahirnya dua, batinnya satu.

Kampung Hitam dan Masam boleh juga dikenali selaku Kampung Hitam Masam kerana sifat zahir dan batinnya yang ganjil. Rumah-rumah kayu memenuhi setiap ceruk kampung. Tiada langsung konkrit atau batu. Tiada istana juga tiada pondok. Semua rumah-rumah kayu itu mempunyai rekaan serupa. Seperti atom-atom dalam sifat air, H20. Dua hidrogen dan satu oksigen. Bayangkan dua hydrogen dan satu oksigen ini digandakan dikelompokan dalam satu kawasan. Jadilah Kampung H20. Namun tiada Kampung H20 di sini. Hanya sifat nya sahaja. Sifat yang terulang pada Kampung Hitam Masam.

Pada setiap pintu masuk rumah-rumah di perkampungan tersebut, terdapatnya peti surat kayu. Peti surat kayu yang terukir cantik. Terdapat kalimah Tuhan pada setiap ukiran kayu tersebut. Namun zarah-zarah nikotin termendap pada setiap ukiran, sekaligus memadamkan kalimah Tuhan tersebut.

Posmen Masa akan hadir di setiap pintu, setelah membunyikan loceng rumah, beliau akan menunggu tuan penerima membuka pintu sambil matanya dilontar di peti surat kayu tersebut. Tuan penerima (Si Tubuh Diri) akan menerima surat tersebut dengan wajah pucat. Namun Posmen Masa tidak peduli. Tugasnya menyampaikan surat perpisahan daripada Si Hayat kepada Si Tubuh Diri. Akibat daripada perbuatan tersebut di luar daripada jangkauan pemikiran singkat Posmen Masa. Surat disampaikan, senyum mesra dicatankan dan wajah pucat penerima diabadikan dalam memori. Itulah tugas Posmen Masa. Namun tugas nya tidak terbatas di situ. Apabila Si Tubuh Diri mengundur diri daripada pintu dan mengasingkan dirinya di dalam rumah-rumah Hitam dan Masa, Posmen Masa akan menuju ke arah peti surat yang lusuh terbabit. Perlahan-lahan Posmen Masa mengeluarkan berus kecil dari poket seluar kanannya dan menyapu permukaan peti surat tersebut. Ukiran pada kayu semakin jelas. Apabila kalimah Tuhan terpapar semula, satu keluhan berat dilepaskan.

Tugas utama Posmen Masa tamat di sini.

Si Tubuh Diri kini nazak di dalam kurungan rumah nya sendiri. Darah tersembur dari setiap batuk yang terlontar. Pandangan mata semakin kabur. Rebah.

Si Hayat hanya menangis sepi. Perpisahan itu amat menyakitkan. Namun penduduk kampung Hitam dan Masam telah menghalau Si Hayat. Si Hayat harus pergi.

“Selamat tinggal jasadku”

Saya Seekor Babi

Saya adalah seekor babi yang dilahirkan 5 tahun lepas di sebuah ladang ternak berhampiran dengan pekan Selangau. Saya adalah anak ketiga daripada 12 ekor adik beradik yang lahir dari ibu yang sama. Saya tidak pernah melihat bapa saya kerana ketika saya berada dalam kandungan ibu saya, bapa saya telah disembelih untuk memenuhi permintaan daging babi pada musim Gawai Dayak.

Kini, saya tinggal di ladang ternak babi berdekatan dengan Sarikei. Kehidupan harian saya ringkas. Saya bangun sekitar jam 6 pagi untuk menunaikan ibadat tasbih bersama-sama dengan keluarga saya. Setelah itu, saya akan bersarapan bersama-sama saudara-saudara saya di ruang makan pada pukul 8, di mana pengusaha ladang saya akan menyediakan bahan makanan yang sesuai untuk kesihatan kami.

Pada tengah hari, kami menjalankan aktiviti kebudayaan bebas, di mana sesetengah babi akan berbicara mengenai hal keluarga, kepemimpinan ladang, hal ehwal babi dan keadaan ladang. Saya kurang berminat tentang hal-hal seperti ini kerana lazimnya mereka hanya akan membicarakan perkara yang sama setiap hari tanpa mampu mengambil sebarang tindakan yang positif. Walau bagaimanapun, saya tetap akan mengambil bahagian dalam perbincangan ini kerana saya tidak mahu ketinggalan dalam hal ehwal semasa di ladang saya.

Pada petangnya, kami disajikan lagi dengan makanan yang berkhasiat. Setelah itu, kami akan berkumpul bersama-sama untuk aktiviti tasbih. Aktiviti tasbih ini amat penting agar kami tidak menjadi seperti manusia yang tidak bertanggungjawab dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. Dalam aktiviti ini, semua kami akan bertasbih dan bertahmid dengan suara yang perlahan-lahan.

Pada malamnya, kami semua akan tidur untuk menjana kembali tenaga untuk keesokan harinya. Namun, saya jarang-jarang dapat tidur dengan lena. Saya kadang-kala terfikir kenapa kami semua dianggap najis yang terkotor sekali oleh sesetengah manusia. Saya juga terfikir mengapa kami semua diternak sebagai bahan makanan oleh manusia.

Saya tidak tahu bila kehidupan saya akan berakhir. Saya berserah kepada Tuhan Yang Maha Esa dalam perkara berkenaan. Adakah saya akan dihinggapi penyakit, disembelih atau dibunuh, saya tidak pasti. Perkara ini amat menyedihkan hati saya selaku seekor babi yang tidak punya kuasa terhadap kemahuan Ilahi. Saya juga punya keluarga, teman dan sahabat yang saya sangat hargai dan sayangi. Saya tidak menginginkan apa-apa pun terjadi kepada mereka.

Setiap hari saya akan melihat pengusaha ladang saya membawa sesetengah daripada kenalan saya ke tempat yang saya tidak tahu. Saya tidak melihat mereka kembali selepas itu. Mudah-mudahan Allah memberkati mereka.

Semoga suara saya didengari Allah hendaknya, dan moga-moga juga ada manusia yang sudi membayangkan perasaan dan kehidupan kami, walaupun kurang tepat dan tidak menyampaikan isi hati kami yang terpendam.

Wednesday, February 20, 2013

Matinya nenek umur 100 tahun sebab berhenti minum Stout

Nenek itu bukan Muslim asalnya. Berbangsa Melanau Likow dari daerah Mukah. Paganisma atau ateisma. Mungkin kedua-duanya sekali dan yang pasti dia tiada isu tentang kepercayaan itu. Makanan rutin setiap hari ada lah 2 biji telur ayam mentah untuk sarapan pagi dan minuman Stout sebelum beradu. Tiada Stout, tiada tidur. Sistem tubuhnya begitu. Seorang perokok tegar dari zaman muda lagi. Namun jarang jatuh sakit. Wajahnya segar bugar. Tubuh nya sedang-sedang. Tak gemuk, tak kurus. Sihat walafiat sepanjang masa. Umur nya sudah hampir mencecah 100 tahun. Anak-anak pun sudah ramai. Sudah besar, sudah berkerjaya dan sudah tukar agama.

Anak-anak ramai yang sudah memeluk agama Islam. Jadi si kakak, anak sulung pun mencadangkan kepada si nenek umur 100:

“Mak, kami semua sudah memeluk agama Islam. Jadi seharus nya mak pun ikut jejak langkah kami”
“Okay. Tiada masalah. “

Dengan mudah nya si nenek umur 100 mengikut cadangan si anak sulung. Mungkin dia tidak pasti, apa beza nya suatu kepercayaan itu dengan kepercayaan yang lain. Ya, paganism dan ateisma tiada beza. Jadi Islam pun sepatut nya tiada beza juga. “Okay, tiada masalah”. Memang jawapan itu jujur.

Islam dipeluk jadi anak-anak melarang nenek umur 100 tahun dari minum Stout.

“Arak itu haram untuk orang Islam”
“Okay. Tiada Masalah.”

Mulai hari itu, nenek umur 100 tahun berhenti minum Stout. Namun sistem badan nya tidak begitu. Sebulan kemudian si nenek umur 100 tahun menghembuskan nafas terakhir. Bergaduhlah si anak-anak kerana rasa bersalah menghalang nenek umur 100 berhenti minum Stout.
Semasa upacara pengebumian, 4 ekor lembu ditumbangkan. Atas dasar :

“Mak tak boleh minum Stout, sebab dah peluk agama Islam, jadi kena ganti dengan lembu.”

Tuesday, February 19, 2013

Mengumpul Barang-barang Antik

Aku suka mengumpul. Umur 5 tahun aku suka mengumpul patung-patung kecil askar, menyusun satu persatu askar-askar tersebut, meniru babak peperangan. Adik perempuan aku muncul dengan patung panda mata hilang sebelah. Bagai Godzilla menyerang Tokyo, formasi askar-askar ku punah ranah. Apa yang aku pasti peperangan berakhir dengan panda kehilangan mata dan tangan berserta tangisan komander perang dan pemilik Godzilla.

Semasa berumur 10 tahun, aku mula berminat pada muzik. Meniru penyanyi di kotak TV, aku mengambil penyapu selaku mikrofon dan menyanyi secara sumbang. Tapi yang aku pasti, aku gemar mengumpul kaset-kaset muzik. Dengar sekali dua, susunkan di dinding, menatap bongkah-bongkah kotak kaset dengan hati girang. Hobi mengumpul kaset ini berlarutan sehingga kedai-kedai muzik mula mengubah format kaset ke CD, dan akhir nya ke mp3. Tamat riwayat zaman kaset. Namun simpanan kaset-kaset aku tak luak, tidak diserang Panda. Jadi aku tak risau.
Apabila aku menamatkan pengajian di universiti, hobi mengumpul aku diteruskan dengan mengumpul alat muzik pula. Semestinya aku punya sebab mengumpul alat muzik; muzik adalah hidupku; alat-alat muzik bagaikan hidup di tangan ku mengajarku bagaimana untuk berbicara dengan mereka. Pengumpulan alat muzik mengubah hidupku sedikit demi sedikit. Aku menyertai pelbagai kugiran muzik, mengubah lagu dan menulis sajak. Hidupku adalah muzik. Tiada Panda yang akan mengamuk di setiap acara muzik yang aku sertai. Tiada Panda yang akan menutup pintu masuk ke pentas persembahan kugiran muzik ku. Jadi aku tak risau.

Namun tanpa aku sedari, Panda tidak menyerang koleksi alat-alat muzik ku dan tidak juga memusnahkan koleksi kaset-kaset lusuh ku tetapi dia menghitung desingan-desingan syiling wang yang gugur di sekitar ku. Panda mengutip setiap syiling wang yang jatuh, mengunyah bagaikan syiling-syiling itu batang buluh. Panda juga mengutip deraian wang kertas yang jatuh di sekitar ku dan mengumam setiap helaian bagaikan kesemua nya daun buluh. Setahun berlalu, disusuli dua tahun. Panda semakin gemuk dan aku akhirnya jatuh tersungkur, wang kertas dan syiling tidak lagi gugur di sampingku.

Aku lari tetapi tabiat mengumpulku tidak pudar. Aku kini mengumpul novel-novel fiksyen. Tetapi sebelum itu aku sembat membutakan si Panda, mematahkan lengan kanan nya sebelum melarikan diri. Tindakan untuk melambatkan Panda semata. Aku kumpul karya-karya penulis terkenal, menabur kan wang dan syiling untuk perpustakaan impian. Suatu malam yang hening, aku lemas dalam pembacaan. Meniarap di katil, tangan menongkatkan dagu. Tiba-tiba kaki aku rasa kejang. Sesuatu yang berat menahan ku dari mengerakkan kaki dan tubuh. Aku menoleh dan aku dapati si Panda tengah duduk di hujung katil ku. Memamah novel-novel fiksyen ku. Mematahkan gitar dan biola ku. Memijak-mijak koleksi kaset-kaset ku.

“Oh Panda, apa salahku? Aku hanya si pengumpul”

Si Panda hanya merenung ku, memamah novel-novel fiksyen ku bagaikan segala nya adalah daun dan batang buluh. Hidup aku musnah. Tetapi fikiran ku berpusing sejenak. Panda ada pelbagai saiz dan rupa. Koleksi yang indah untuk taman buluh di halaman rumah.