Ropol-ropol asap berkitar di sekeliling tubuh. Asap rokok, asap kenderaan dan asap alam semua bercampur baur. Selaku seorang yang tidak merokok, ini adalah bencana. Setiap nafas yang ditarik bagai membawa objek-objek pejal kepada paru-paru. Dada terasa berat. Kemungkinan besar dipenuhi racun nikotin. Seperti tar jalan raya, gelap dan pekat. Mungkin hayat sudah merencana suatu surat perpisahan kepada tubuh diri. Tunggu sahajalah posmen masa menyampaikan amanat si hayat. Apa yang diharap, surat itu akan memasuki peti surat rumah dan tidak sampai ke tangan penerima – si tubuh diri. Apabila dibuka peti surat tersebut, diharap juga notis pengambilan surat daripada posmen tidak berada dalam pandangan. Cukup masa, hujan dan alam akan memamah surat itu.
Si tubuh diri akan terselamat dari takdir.
Itu hanya harapan. Harapan ada dua penamat; kegembiraan dan kesedihan. Untuk kisah Posmen Masa ini, penamatnya hanya kesedihan. Semestinya Posmen Masa tidak akan bertindak seperti Posmen Normal. Posmen Masa ada kunci setiap rumah yang akan dilawati. Posmen Masa juga memiliki hidung yang sensitif, nama dan alamat penerima mempunyai bau tersendiri. Bagai menggunakan satelit, Posmen Masa tidak akan pernah gagal mengesan penerima. Sepertimana Posmen MYeG yang mencari penerima menggunakan panggilan telefon, matlamat nya tetap sama – memastikan penerima mendapat kiriman dari tangan posmen sendiri.
Kepala berdenyut-denyut. Otot seluruh badan terasa sengal. Tekak dan bibir semakin kering. Air suam yang diteguk bagaikan air yang menyusuri daun keladi; tiada kebasahan pada tekak dan bibir. Batuk diselangi pedih pada dada semakin menjadi-jadi. Ropol-ropol asap makin tebal dan memasuki setiap rongga pada tubuh. Zarah-zarah nikotin menyusup celahan-celahan fabrik pakaian dan memulakan perkampungan Hitam dan Masam. Kampung Hitam. Kampung Masam. Hitam Masam, Hitam Masam. Penghulu kampung ada dua orang. Mungkin juga seorang sahaja namun ada konflik identiti, namun itu lah dia sifatnya Kampung Hitam dan Kampung Masam. Zahirnya dua, batinnya satu.
Kampung Hitam dan Masam boleh juga dikenali selaku Kampung Hitam Masam kerana sifat zahir dan batinnya yang ganjil. Rumah-rumah kayu memenuhi setiap ceruk kampung. Tiada langsung konkrit atau batu. Tiada istana juga tiada pondok. Semua rumah-rumah kayu itu mempunyai rekaan serupa. Seperti atom-atom dalam sifat air, H20. Dua hidrogen dan satu oksigen. Bayangkan dua hydrogen dan satu oksigen ini digandakan dikelompokan dalam satu kawasan. Jadilah Kampung H20. Namun tiada Kampung H20 di sini. Hanya sifat nya sahaja. Sifat yang terulang pada Kampung Hitam Masam.
Pada setiap pintu masuk rumah-rumah di perkampungan tersebut, terdapatnya peti surat kayu. Peti surat kayu yang terukir cantik. Terdapat kalimah Tuhan pada setiap ukiran kayu tersebut. Namun zarah-zarah nikotin termendap pada setiap ukiran, sekaligus memadamkan kalimah Tuhan tersebut.
Posmen Masa akan hadir di setiap pintu, setelah membunyikan loceng rumah, beliau akan menunggu tuan penerima membuka pintu sambil matanya dilontar di peti surat kayu tersebut. Tuan penerima (Si Tubuh Diri) akan menerima surat tersebut dengan wajah pucat. Namun Posmen Masa tidak peduli. Tugasnya menyampaikan surat perpisahan daripada Si Hayat kepada Si Tubuh Diri. Akibat daripada perbuatan tersebut di luar daripada jangkauan pemikiran singkat Posmen Masa. Surat disampaikan, senyum mesra dicatankan dan wajah pucat penerima diabadikan dalam memori. Itulah tugas Posmen Masa. Namun tugas nya tidak terbatas di situ. Apabila Si Tubuh Diri mengundur diri daripada pintu dan mengasingkan dirinya di dalam rumah-rumah Hitam dan Masa, Posmen Masa akan menuju ke arah peti surat yang lusuh terbabit. Perlahan-lahan Posmen Masa mengeluarkan berus kecil dari poket seluar kanannya dan menyapu permukaan peti surat tersebut. Ukiran pada kayu semakin jelas. Apabila kalimah Tuhan terpapar semula, satu keluhan berat dilepaskan.
Tugas utama Posmen Masa tamat di sini.
Si Tubuh Diri kini nazak di dalam kurungan rumah nya sendiri. Darah tersembur dari setiap batuk yang terlontar. Pandangan mata semakin kabur. Rebah.
Si Hayat hanya menangis sepi. Perpisahan itu amat menyakitkan. Namun penduduk kampung Hitam dan Masam telah menghalau Si Hayat. Si Hayat harus pergi.
“Selamat tinggal jasadku”
No comments:
Post a Comment