Thursday, February 28, 2013

Misteri Algojo

Tugasan untuk hari Ahad ini:

Pergi ke stesen minyak Caltex, belanjakan RM 10 untuk minyak kereta dan beli barangan dalam lingkungan harga RM 3.

Itu pada zahir tugasan. Tugasan yang terselindung di sebalik nya adalah:

Pergi ke stesen minyak Caltex, memantau kebersihan persekitaran, memantau kekemasan dan keramahan cashier kedai dan menganalisa kebersihan tandas. Segala-gala tinjauan terbabit akan direkodkan dalam borang tinjauan yang disediakan oleh err.. Syarikat Sulit.

Oh, mungkin aku lupa menjelaskan pekerjaan yang aku jalankan sekarang. Tugasan ini menamakan aku selaku “Mystery Shopper”. Ya, aku menyamar jadi pelanggan kedai, beli barang (membuat kecoh sedikit) dan balik.

Pada hari itu, aku bangun seperti biasa, pukul 5 pagi. Aku cuci muka, jerang air dan sementara menunggu air masak, aku baca novel yang baru aku beli – The Technologist karya Matthew Pearl. Namun fikiran aku tak boleh fokus. Sebab tugasan yang aku perolehi daripada Syarikat Sulit terbabit macam sukar nak dilaksanakan. Aku telah mencatatkan tiga stesen minyak Caltex yang ku kira berdekatan dengan rumah. Salah satu daripada stesen minyak tersebut memang aku tahu lokasi nya, namun dua lagi stesen minyak aku tak tahu. Google it. Dah buat. Namun aku memang tak mahir sangat ikut peta Google. Selalu tersilap arah. Sebab silap mudah – malas nak ingat dan malas nak cetak peta arah. Bila keluar ke jalan menuju destinasi – memang pasti akan sesat.

Aku memberhentikan pembacaan novel sementara setelah dua jam terbaring. Perut sudah berbunyi minta di isi. Aku menyediakan Oat 3 in 1 sebanyak dua paket dan membancuh nya dengan air panas yang dijerang. Aku sempat mengimbau ruang tamu. Hari Ahad, semua tidur lagi. Perancangan aku untuk keluar ke stesyen Caltex macam payah sebab kenderaan yang aku nak guna ambil tugas yang leceh untuk mengalihkannya. Dua pajero harus dialih terdahulu. Nak ambil kunci dan nak alih dua kenderaan tersebut – memang malas. Aku gelengkan kepala, berpatah balik ke bilik menyambung pembacaan.

Hujan renyai-renyai di luar bilik. Dari tepi tingkap aku dapat dengar setiap titis-titis hujan yang jatuh dari atap bumbung ke lantai. Titis-titis hujan itu seolah-olah lagu hipnosis yang membuai setiap orang dalam rumah tidur. Tidur lah, aku tetap begini, hipnosis tak berkesan. Aku cuba melelapkan mata sebentar, membayangkan titis-titis hujan yang turun adalah lagu balada. Akhir nya aku dapat menghayati hipnosis itu – aku tertidur.

Aku bangun semula tatkala tengahari mengerakkan jarum jam ke kordinat 12:34. Hujan telah berhenti, matahari sudah beraja di langit. Aku melangkah bangun dari tempat perbaringan menuju ke bilik mandi, membasuh muka dan menjenguk lagi ke ruang tamu. Senyap sunyi.

Aku buka pintu bilik bersebelahan dengan bilikku untuk membuat kepastian. Senyap sunyi juga. Pajero juga tiada di ruang halaman rumah. Aku melangkah keluar dari pintu rumah dan memerhati persekitaran. Lori diparkir di hadapan rumah. Pintu pagar rumah berhadapan dengan rumah ku terbuka luas. Namun tiada langsung kelibat orang. Tiada kelibat kucing atau anjing. Tiada burung bertenggek di tiang-tiang elektrik. Aku memejamkan mata buat sementara, memfokuskan pendengaran pada persekitaran dengan harapan akan menangkap bunyi kenderaan dari jauh namun tiada bunyi kenderaan langsung. Apa yang sudah terjadi?

Aku bergegas masuk ke dalam rumah. Mengunci pintu dan gerigi besi . Bagaikan terperangkap dalam vakum, suasana begitu sunyi. Aku melangkah masuk dalam bilik mandi, membuka tombol kunci air dan menghayati setiap titis-titis air yang membasahi wajah dan turun mengikut graviti membawa kesengalan pada otot pergi tatkala air itu melalui lekuk-lekuk pada tubuh. Setiap aliran air itu diiringi dengan pemutaran fikiran.

“Ke mana semua orang pergi?”

De ja vu.

Aku pernah menghadapi situasi begini pada suatu masa yang lalu. Mungkin lima tahun yang lepas. Pada masa itu, syarikat tempat aku berkerja pernah menguruskan projek pembinaan jalan yang merentasi hutan dan bukit ke sebuah kampung yang agak terpencil. Aku dikehendaki memeriksa batu sempadan kawasan kerja di balik tiang-tiang belantara yang tebal.
Kesepian serupa vakum ini pernah dirasai di suatu kawasan belantara tersebut. Hanya suatu langkah, pancaindera dapat merasai kemalapan pada sinar hidup penghuni belantara secara tiba-tiba. Bunyi kicauan burung, bunyi mesin pengorek, bunyian lori yang mengangkut tanah lesap.

Ketenangan.

Ketenteraman yang menakutkan.

Seolah-olah dunia memberitahu:
“Selamat datang ke penjara hayat”

Aku tersentak dari imbauan memori. Tombol kunci air aku putarkan. Aliran air berhenti. Aku melangkah keluar dari bilik mandi. Aku menyiapkan diri untuk keluar dari kawasan rumah dengan menggunakan kereta ku – Perodua Viva. Aku menyusur keluar dari kawasan perumahan ke jalan besar. Masih lagi tiada kelibat manusia. Tiada langsung kenderaan di atas jalan. Tiada kelibat haiwan merangkak di tepian jalan. Kosong dan sungguh sunyi.

Aku membuat keputusan untuk pergi menjalankan tugasan aku selaku “Mystery Shopper” itu tadi. Walaupun aku pasti mungkin tiada seorang pun yang akan menunggu di stesyen Caltex untuk dinilai pada masa kini. Aku hanya ingin membuat sesuatu. Dalam hati aku terdetik, penjara hayat ini mungkin akan berakhir sekiranya aku membuat sesuatu yang normal. Normal dari segi perbuatan. Jadi aku perlu membuat anggapan seperti berikut:

1)Di stesen Caltex itu ada cashier. Cashier perempuan comel bertudung bernama Nely (Nama dan sifat harus diterangkan sebab maklumat itu diperlukan dalam borang tinjauan)
2) Ada dua tiga buah kenderaan sedang mengisi minyak.
3) Seorang pekerja stesen sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan.
4)Seorang pelanggan stesen sedang mengepam tayar kereta.

Setelah lima belas minit memandu, aku akhirnya tiba di stesen Caltex terbabit. Okay, realiti nya tiada seorang pun di stesen ini. Tiada pekerja, tiada cashier, tiada pelanggan dan tiada kenderaan. Walau bagaimanapun imaginasi aku tetap ada. Diharap imaginasi itu ada pada pembaca cerita ini juga.

Aku memarkir kereta di salah satu pam minyak. Setelah mematikan enjin dan membuka penutup tangki minyak aku meluru ke arah cashier di stesen. Pada masa kini terdapat dua tiga kereta di kiri dan kanan ku. Satu kereta Kia di sebelah kiri tengah diisi minyak petrol nya dan satu lagi Mercedez di sebelah kanan sedang dipam angin kesemua tayar-tayarnya. Di hadapan ku terdapat sebuah kereta Kancil diparkir di hadapan stesen. Kebersihan terjaga betul. Aku tidak nampak sebarang sampah sarap berterbangan di lantai stesen. Aku membuat nota minda berkenaan kebersihan stesen.

Aku disambut dengan senyuman comel cashier bernama Nely. Aku anggarkan dia berumur dalam 20-an. Senyuman manis dan suara nya gemersik. Tudung nya kemas dan tag nama dipakai di dada terpapar nama ‘Nely’ (dari tag nama ini lah aku tahu nama nya Nely). Bertubuh kecil dan berpakaian kemas; pakaian seragam Caltex. Aku membuat bayaran sebanyak RM10, meminta resit dan pergi ke kereta untuk mengisi minyak. Aku sempat membuat nota minda berkenaan ciri-ciri Nely. (Personaliti dan ciri-ciri Nely harus diterangkan dalam borang tinjauan).

Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Tatkala angin menyapa wajahku, aku tersentak seketika. Tiada Nely, tiada kereta-kereta dan tiada pekerja stesen. Pelanggan stesen pun tiada. Imaginasi tergendala. Aku memerhati persekitaran stesen yang sunyi sepi. Apa yang ganjil, stesen Caltex ini begitu kemas dan tersusun rapi. Bagaikan seolah-olah baru ditinggalkan lima minit selepas kerja-kerja pembersihan dilaksanakan. Aku melangkah semula ke arah stesen Caltex yang kosong tiada penghuni. Aku menolak sendal pintu ke dalam dan serentak dengan tapak kaki yang melangkah masuk, aku pejamkan mata.

5 saat.

Mata dibuka. Aku menoleh ke kiri dan mendapati Nely dan pekerja stesen sedang rancak berbual. Namun aku tidak dapat mengagak butir-butir perbualan mereka. Aku meneliti rak-rak yang disusun dengan botol-botol air mineral dan mengambil botol air mineral berharga RM 2.50. Setelah itu aku bergerak ke rak jualan coklat-coklat bungkus. Aku mencari bungkusan coklat Snickers. Kegemaranku. Nota mindaku tiba-tiba mengingatkan ku yang had perbelanjaan untuk tinjauan ini hanya RM 3. Aku abaikan pencarian coklat dan meluru terus ke kaunter bayaran. Nely hanya tersenyum melihat kehadiran aku di sini. Senyuman mesra pelanggan. Polisi Caltex.

Aku menyeluk saku seluar untuk mengeluarkan dompet. Tatkala jari telunjuk ku dan ibu jari dikepitkan untuk menarik wang kertas dari dompet, tiba-tiba Nely mencapai tangan kiriku dan menggari pergelangan tanganku pada meja kaunter.

“Selamat datang ke penjara hayat”

Ayat yang ditutur Nely itu membuat aku terpaku sebentar. Gemersik suaranya membuatkan bulu roma ku meremang. Senyuman lebar terpapar pada raut wajah Nely yang bulat itu. Lutut terasa goyah secara tiba-tiba. Namun aku dapati aku tidak berasa lenguh langsung. Aku dapat merasakan gegaran kecil pada kaki. Secara perlahan gegaran mula merebak dari tempat aku berdiri ke seluruh kawasan stesen. Barang-barang di rak mula jatuh dari tempatnya. Rokok, surat khabar, botol mineral dan majalah-majalah mula memenuhi lantai stesen. Hanya Nely masih di tempatnya, melontarkan senyuman lebar. Hanya Nely yang bebas dari gegaran. Seolah-olah graviti di tapak kakinya berada di dimensi lain.

Nely membelakangkan ku dan membuka laci kabinet di hadapan nya. Aku berasa cuak. Dalam imaginasiku, Nely akan mengeluarkan pistol dan mengacukan nya ke dahi ku dan menarik picu. BANGGGGG!! Nyawa ku akan padam. Aku semakin cemas. Namun Nely hanya mengeluarkan kepilan kertas-kertas yang aku kenal.

Borang tinjauan daripada Syarikat Sulit.

“Harap maaf. Identiti anda selaku “Mystery Shopper” telah terbongkar. Sekaligus anda tidak layak mendapat sebarang rebat ataupun duit tambang minyak daripada Syarikat Sulit. Diharap lebih berhati-hati semasa menjalankan tinjauan. Usaha lagi lain hari”

Nely melafazkan ayat-ayat itu tanpa goyah komposisi tuturnya. Aku terasa seperti hendak pitam. Pandangan semakin kabur. Gegaran kian berkurang. Mata terpejam semula.

5 saat.
4 saat.
3 saat.

Aku membuka mata semula. Hon kereta berbunyi nyaring dan berpanjangan. Aku tersentak dan menyandarkan tubuh ku pada kusyen kereta. Rupa-rupanya aku pengsan di dalam kereta dan kepalaku tersandar pada stering sekaligus membunyikan hon. Aku mengesat mata dan meninjau persekitaran. Aku masih lagi berada di stesen Caltex yang tiada berpenghuni. Tiada kereta, tiada pelanggan, tiada pekerja dan tiada Nely. Aku memutar kunci pada tombolnya dan serentak dengan deruman enjin kereta, aku membawa diriku berlalu pergi daripada stesen Caltex terbabit.

Radio kereta tiba-tiba hidup sendiri. Bunyian radio rosak berkumandang selama 5 saat sebelum disusuli suatu suara halus dan gemersik. Nely.

“Kami daripada Syarikat Sulit terpaksa memberhentikan anda dari tugasan “Mystery Shopper”. Perbuatan anda mengisi minyak kereta sebanyak RM 10 dan memohon resit telah membongkar identiti anda. Terima kasih dan jumpa lagi”

Bunyian radio rosak berkumandang lagi untuk 10 saat sebelum terpadam. Aku hanya mampu mengeluh berat.

No comments:

Post a Comment