Friday, February 22, 2013

Sejarah Ada Penjaranya

Aku mendapat amanat daripada pengarah syarikat untuk menghadiri mesyuarat di Kelana Jaya pada hari Selasa minggu depan. Ahad pagi. Aku bertolak dengan hati yang risau di dalam kereta Viva padat. Satu perjalanan yang memenatkan. Pajero syarikat buat masa sekarang masih di bengkel. Aku bersyukur perjalanan kali ini ditanggung oleh syarikat. Kalau harapkan perbelanjaan sendiri, aku tak akan mampu untuk menampung kos merepek jalan raya negara.

Untuk perjalanan jauh sebegini, aku punya tempat persinggahan yang aku gemari, Dunkin Donut sebelum tol PLUS menghala ke Kempas. Tiada yang istimewa sangat berkenaan tempat ini. Dikelilingi restoran Burger King di sebelah kanan dan stesen minyak Petronas di sebelah kiri, ramai yang menjadikan kawasan ini selaku tempat persinggahan sebelum bertolak ke utara. Aku suka melihat karenah manusia yang pelbagai. Penuh warna.

Setelah menghabiskan sarapan pagi, aku terus bertolak ke Kuala Lumpur. Aku cuba mengikut had laju yang ditetapkan. Menekan pedal pecutan sambil melihat meter kelajuan agar tidak melebihi had laju sangat memenatkan. Seolah-olah pedal pecutan itu diperbuat daripada telur ayam yang baru keluar reban. Tekan sedikit, pecah lah telur ayam itu. Bezanya di sini, bukan kulit telur ayam yang pecah tetapi had laju.

Kereta BMW dan Audi menyusur laju di laluan sebelah kanan. Yang pasti golongan ini tidak peduli dengan had laju. Saman had laju tidak menyusutkan bukit kapitalis golongan ini. Namun yang menyesakkan pandangan mata aku adalah, lampu hadapan kereta mereka dinyalakan. Atas dasar apa? Adakah fungsi lampu kereta itu terlalu rumit untuk dipadamkan? Matahari terpacak di atas bumbung kereta. Lampu hadapan dinyalakan galak. Aku tidak faham logik akal mereka.

Kepanasan bahang tengahari amat meletihkan. Aku memasang lagu Hoobastank dan menyanyi seiring dengan muzik yang berkumandang. Itu cara aku untuk mengelakkan dari mengantuk. Perjalanan diteruskan sehingga aku tiba di Shah Alam. Aku menghubungi Alan, anak saudara ku di Shah Alam. Alan bukan sekadar anak saudara ku, tetapi juga rakan satu kelas semasa di sekolah rendah dan sekolah menengah. Alan dan aku adalah dua orang daripada trio vokal harmoni. Kegilaan pada muzik acapella adalah kisah silam kami. Namun aku telah menyimpang jauh, muzik yang aku dengar telah berkembang pesat. Perjalanan hidup yang berbeza telah mewujudkan jurang muzik antara aku dan Alan. Alan masih dengan dunia acapella nya. Seolah-olah waktu itu sudah berhenti buat Alan.

Bagaikan sejarah ada penjaranya.

Aku menutur bait-bait lirik lagu Acapella yang diputarkan di radio kereta ku oleh Alan. Aku masih ingat sedikit lirik-lirik lagu tertentu. Terasa macam melangkah ke 15 tahun yang lepas. Tiada kerisauan akan kapitalis dan makhluk asing. Tiada ketakutan pada dogma agama radikal. Hanya acapella. Menyanyi tanpa menghitung detik-detik masa.
Sejarah mengurung aku semula.

Kami kini menuju ke Taman Melati, untuk melengkapkan semula trio vokal harmoni. Zamani menunggu kedatangan kami. Zamani baru mendapat cahaya mata pada bulan lepas dan selaku sebahagian daripada trio vokal harmoni, kami wajib membuat kunjungan. Apa yang penting sekali, Zamani harus diingatkan sesuatu.

Trio vokal harmoni sentiasa dipenjara oleh sejarah.

No comments:

Post a Comment