Sunday, February 24, 2013

Mendongak

Hari ini aku mendongak lagi. Mendongak ke atas memerhati siling putih. Tengkuk sakit, otot sakit di setiap sendi. Sebab itu aku mendongak. Terlihat cicak menari di bawah siling, menipu graviti, menyanyi lagu mono.

Dongakan ku halakan ke kiri, masih lagi siling putih. Dongakan ke kanan, ya, masih lagi siling putih. Bilik ku ini mudah, ada kipas siling, ada penghawa dingin. Almari tiada dan tiada hiasan langsung. Secara automatik nya, anda yang membaca sudah tertipu. Dongakan ke atas bermaksud yang hadir dalam pandangan adalah seekor cicak, sebuah kipas dan sebuah penghawa dingin.
Aku menukar mod dongakan kepada tolehan. Bilikku dipenuhi rak buku. Perhatian, hanya rak sahaja. Istilah ‘rak buku’ itu timbul sebab aku sudah beli rak dengan tujuan menyusun buku di rak tersebut. Namun ‘rak buku’ sudah jadi ‘rak resit’ pada tingkat bawah, ‘rak tabung’ pada tingkat pertama dan ‘rak paket minuman’ padan tingkat kedua. Buku ada di bilik stor, masih terbungkam dalam kotak.

Kepala digerakkan ke kanan badan. Semestinya badan juga bergerak ke kanan, aku bukan hantu penanggal lagi (selamanya tak mahu jadi hantu). Pandangan mata terlontar pada kalendar di atas ‘rak buku’ yang belum terbuku sangat. Setiap kotak hari tercatat nombor dari 1 sehingga 28. Semestinya bulan Februari. Bulan ini ada sambutan Tahun Baru Cina, menjelaskan keadaan ‘perang’ pada dua minggu lepas. Orang cina main mercun dengan cermat. Tiada kes kehilangan nyawa atau bahagian tubuh. Berdentum bagai mortar. Mungkin mortar lebih bising. Peduli apa, dua-dua meletup. Mercun meletup, mortar meletup. Tamat cerita.
Aku mendongak lagi ke atas, kepala diserongkan ke belakang, sakit belakang makin menjadi-jadi. Tiba-tiba terasa kejang. Aku hilang kawalan. Tubuh dan kepala aku bergerak terus ke belakang dan...

Dunia gelap.

Untuk 5 saat sahaja.

Sebab aku pejam mata adalah agak mengantuk tetapi malas nak tidur.

Cicak masih lagi menipu graviti. Merangkak perlahan ke dinding sebelah kanan. Kipas terpusing bagaikan hipnosis. Aku cuba menetapkan pandangan mata pada satu bilah tangan kipas. Percubaan yang gagal. Percubaan gagal yang dimaklumkan oleh angin kipas tersebut. Sekurang-kurang nya angin tidak menipu graviti. Cicak sahaja.
Sengal-sengal otot masih menjalar di setiap sendi. Terasa sakit sekali. Lengan kanan terasa ngilu. Mungkin terseliuh. Lantai dingin sungguh. Kedinginan itu meresap ke dalam kulit, menerobos daging selaku ejen penyebar, dan membaluti tulang-temulangku.

Badan terasa kebas.

Kali ini aku tidak mampu mendongak lagi.

Mata yang terpejam, namun pemikiran masih beraja. Bunyi cicak menceceh memberitahu kejayaan nya menipu graviti dari satu keturunan ke keturunan yang lain, bunyian bilah-bilah kipas membelah udara menjadi angin dan bunyian penghawa dingin yang kaku desibelnya menusuk telinga.

Mengapa aku harus mendongak?

Mengapa otot-otot aku berasa sengal?

Aku cuba mengimbau memori, mencari punca kesakitan diri di dalam pemerintahan fikiran.

Aku seorang pekerja swasta, bekerja di bawah panas terik mentari dan selalu bergerak di dalam pelbagai jenis kenderaan. Jalan raya yang teruk berlubang dan berlekuk membuatkan perjalanan di dalam kenderaan sangat memenatkan – itu lah faktor kenapa otot-otot aku berasa sengal.

Mengapa aku harus mendongak?

Aku berfikir dan berfikir namun tiada jawapan yang hadir. Pemerintah fikiran mungkin sudah beradu tidur ataupun digulingkan oleh ‘ketiadaan’. Mungkin aku akan menjadi seperti zombi. Kosong namun buas. Mengapa buas? Ok, mungkin tiada kebuasan, hanya kosong seperti android. Ya, android. Sesuatu yang hidup namun mati. Sesuatu yang bertindakbalas dengan persekitaran namun tiada deria rasa.

Mendongak dan terus mendongak. Aku tiada jawapannya.
Selari dengan fikiran yang tidur, aku turut beradu sama.

1 comment: