Sebatang pokok epal berdiri megah di tengah-tengah padang hijau. Lambakan sinar matahari menembusi setiap celahan dedaun dan dedahan mencari penapakan di muka padang. Seorang budak bertopi jerami lebar menyandarkan tubuhnya di batang pokok, menikmati desir-desir angin dan simbahan cahaya matahari. Suasana sungguh tenang.
Budak itu melabuhkan punggungnya di siratan akar-akar tanpa mengalihkan kandaran tubuhnya pada batang pokok. Tangan kanan diseluk ke dalam poket seluar dan dikeluarkan satu buku nota kecil. Tangan kirinya pula menggapai tinta yang diselit di celahan atas cuping telinga kanan. Selakan demi selakan dibuat mencari ruang kosong yang belum dicatan. Nafas dihembus lembut. Penulisan dimulakan.
Mentari pagi segar mengelusi angin
Angin mendakap mesra daun-daun hijau
Rasa cinta alam pada hijaunya daun
Pada pudarnya batang
Pada teguhnya dahan
Menyelami erti merahnya epal
Yang marak menyala bagai ros merah
Suatu perlambangan emosi
Setara cinta
Mudah sahaja sajaknya itu. Semudah angin yang berpuput di rongga-rongga jari, selurus itu jualah ayat-ayat tercatan pada ruang kosong nota kecil itu. Nafas dihela lembut. Pandangan direhatkan pada padang hijau. Kelihatan tompok-tompok lavender dan bunga matahari menghiasi hijau padang. Sungguh mendamaikan. Mata dipejam menikmati bunyian cengkerik bersahutan. Haha – pesta menyambut musim bunga sedang berlangsung di kalangan penghuni padang hijau itu. Meriah. Sungguh meriah.
Suatu objek jatuh menimpa kepala budak itu. Tersentak dari lelapan sesaatan, pandangan dilemparkan ke arah objek yang tergolek di lantai rumput hijau. Buah epal. Merah gebu dan berkilat permukaannya. Cahaya matahari yang galak itu meng-emasi epal itu. Kelihatan syurgawi. Buah epal itu terhenti pada akar pokok yang terjulur dari muka bumi.
Sambil merenung tajam buah epal itu, pemikiran-pemikiran asing berlegar dalam kepala budak itu.
‘Epal ini kiranya jatuh ke bumi, berapa arahkah yang akan dimungkinkan golekannya?”
Epal itu dikutip dan ditempatkan di hadapan persandaran. Jari telunjuk ditekankan pada tangkai epal mencari pusat graviti.
“Terdapat lapan arah yang akan ditujui oleh epal jika dikira berdasarkan fahaman geografi. Jika dikira melalui konsep kompas, ada enam belas kemungkinan arah yang akan dilalui.”
Kepalanya dan tubuhnya ditundukkan sehingga aras matanya menyamai separuh ketinggian buah epal di atas tanah.
“Penentu arah yang akan dipilih juga ditentukan bentuk muka bumi. Buah epal akan menuruti permukaan yang lebih rendah.”
Pemikirannya melayang menyelami makna-makna hidup yang dirasakan sinonim dengan epal yang jatuh ke bumi itu. Bagaikan ‘de ja vu’. Bagaikan terdapat benang-benang halus yang menyusuri setiap perjalanan hidupnya menyambung setiap cerita dengan makna-makna halus yang bersangkut paut.
Selaku seorang yang berpengetahuan, sewajarnyalah ilmu itu dikongsikan kiranya boleh mendatangkan kesejahteraan pada orang lain. Namun begitu penyampaian ilmu itu punya pelbagai cara. Cara-cara penyampaian ilmu itu juga harus dipengaruhi sifat orang-orang yang hendak disampaikan ilmu tersebut.
Perbandingan dibuat. Momentum epal yang jatuh disamakan dengan ilmu itu sendiri. Cara-cara penyampaian ilmu digambarkan serupa dengan fahaman geografi. Pemilihan cara-cara penyampaian ilmu disemadikan pada sifat golongan yang hendak disampaikan ilmu.
“Hmm, agak relevan juga perbandingan ini” gumam budak itu sendirian.
Epal itu dicapai dan dilambung-lambung sambil fikirannya berputar-putar.
Keteguhan pada kepercayaan seseorang itu dipengaruhi oleh persekitarannya. Fitnah yang disebarkan dan dipercayai oleh ratusan orang akan dianggap benar. Apa itu kebenaran? Apakah makna memperjuangkan kebenaran sekiranya hanya kedukaan dan kebencian yang tersadur pada hakikat kebenaran itu? Boneka ada pengawal talinya. Wayang kulit ada tukang karutnya. Begitu juga kepercayaan kita. Tanpa dasar dan akar, tiada kepercayaan yang mampu tumbuh. Tunas memerlukan akar untuk mencernakan kehidupan.
Lambungan dihentikan. Epal dibiarkan jatuh tergolek sekali lagi.
Nasib epal ini seperti kepercayaan manusia. Dikawal oleh suatu kuasa luar. Kuasa luar ini diumpamakan dengan tangan yang melambung epal. Kiranya tangan itu memutuskan epal itu harus punah, maka akan dibiarkanlah epal itu menyembah bumi. Kiranya tangan itu memutuskan epal itu harus diselamatkan, maka akan disambutlah epal itu dan digenggam erat.
“Oh, akalku yang mengawal pergerakan epal ini. Harusnya apakah akal aku ini boleh diperumpamakan dalam situasi itu?” budak itu berbisik pada hati.
Tuhan.
Tuhan yang mengawal ketentuan manusia. Kuasa mutlak dan hakiki di balik kesemua kuasa yang ada.
Senyuman mencorak pada bibir. Epal dicapai dan dimasukkan ke dalam saku seluarnya. Budak itu mengemaskan cengkaman topi jerami di kepalanya dan berlari-lari anak ke arah perkampungan di perbatasan padang hijau itu. Lavender dan bunga matahari meliuk-liuk lembut ditiup angin musim bunga yang mesra itu.
Dupppp!!
Sebiji epal jatuh bergolek. Akar yang bersirat menahan pergerakan epal yang gugur. Hanya ditemani bunyian cengkerik dan deru angin, epal itu akan terus berada di kandaran itu, menunggu masa untuk mereput. Hidup itu begitulah sifatnya; bersandaran pada kematian. Benang-benang halus makin tersebar melilit setiap rungkaian sejarah.
No comments:
Post a Comment