Friday, March 22, 2013

Dua Kota dan Perbincangan Antara Alam dan Robot

Debu pekat. Dua kota berjiran. Burung-burung syurga yang pelbagai coraknya kian memenuhi belantara yang menyelubungi dua kota tersebut. Terasing daripada peradaban dunia luar. Namun kemodenan tetap merajai setiap pelusuk kedua-dua kota tersebut. Ganjil bukan? Kemodenan itu disanggah oleh hukum-hukum silam. Nenek moyang telah menggariskan tiada sesiapa pun yang harus masuk ataupun keluar dari kedua-dua kota tersebut. Larangan yang diwarisi namun tidak difahami. Perbalahan terjadi, itulah sebab utama terdapatnya dua kota tersebut. Daripada satu kota yang besar, perpecahan terjadi angkara ketidaksefahaman.

Debu semakin pekat. Tiada seorang pun daripada penghuni kedua-dua kota tersebut yang tidak memakai topeng gas. Keanehan di sini adalah kewujudan hutan belantara terjaga rapi dari pencemaran dan sentuhan manusia. Setiap kota dilitupi dengan satu kubah gergasi yang diperbuat daripada kristal jernih. Sejernih ozon. Debu yang berlegar di dalam kubah bagaikan meronta-ronta untuk menembusi kubah kristal dan menyelimuti hutan belantara di persekitaran. Bagaikan hidup. Namun penuh kerobotan.

Diperihalkan dahulunya hanya terdapat satu kota metropolitan klasik sahaja di situ. Dipenghului oleh seorang pemimpin yang berkarisma tinggi, setiap penghuni kota mengikuti sahaja apa yang diperkenalkan oleh pemimpin itu. Agama, perlembagaan, ideologi, politik dan sosial. Segala-galanya disediakan oleh pemimpin itu. Sehingga wujud lah satu kitab yang mencatat segala perintah dan adat istiadat. Di bawah pemerintahan pemimpin tersebut, keamanan dan kemakmuran berkembang pesat.

Kini hanya debu pekat dan nyanyian burung-burung syurga bersahutan. Ideologi berpecah dua. Agama juga.

Debu pekat berpadu menjadi gumpalan batu dan menghempas dinding kubah kristal. Burung-burung syurga memerhati sambil berkicau galak. Apabila dihalusi kicauan itu dengan makrifat sufi, akan terdengarlah bisikan-bisikan halus menerobosi kemelut bunyian rimba.

“Hari ini dua kota itu akan musnah” tingkah burung syurga yang kebiruan ekornya.

“Mengapa kau berkata begitu, wahai Si Biru?” tanya burung syurga yang kehijauan ekornya.

“Lihatlah pada debu yang bertukar kepada batu itu. Debu itu datangnya dari nafas setiap penghuni –penghuni kedua-dua kota itu. Hati mereka begitu gelap, dimamah fahaman radikal yang diwujudkan setelah kewafatan Tuan Khannan. Mereka meneroka segenap pelusuk ilmu dan melengkapi tubuh mereka dengan ciptaan mesin. Tahukah kamu, mengapa nafas mereka itu tebal debunya itu?” penerangan Si Biru panjang lebar.

Burung syurga yang kehijauan ekornya hanya mengeleng kepala.

“Tuan Khannan punya anak isteri yang sering menekuni setiap ajarannya. Setiap butir perbicaraan Tuan Khannan dicatatkan di dalam buku sulit. Aku selalu melihat Puan Lamia mengusung buku itu di dalam jubahnya. Dahulu, kubah kristal itu tidak wujud. Aku boleh menyusuri setiap sudut kota tersebut. Sehinggalah kewafatan Tuan Khannan. Segala-galanya berubah. Penghuni-penghuni kota mengeledah kediaman Tuan Khannan untuk mendapatkan setiap kitab-kitab ilmu di rak pembacaan. Tiada langsung diendahkan esakan Puan Lamia dan anaknya. Nafsu mereka pada ilmu sungguh menjelekkan”

“Mereka merampas sejumlah besar kitab-kitab ilmiah dan menjadikan sebahagian dari kota itu penempatan mereka. Pelbagai jenis makmal dan pusat pengajian diwujudkan di situ. Puan Lamia dan pengikutnya dipulaukan di ceruk pelusuk kota yang busuk jalannya. Terseksa sungguh hidup mereka. Tanpa teknologi dan makanan, kehidupan semakin mendesak. Sehinggalah Puan Lamia kehilangan anaknya, kesabarannya sudah mencapai batas. Puan Lamia mengeluarkan buku sulit yang tersimpan di balik jubahnya. “

“Tatkala itu juga aku melihat perubahan besar terjadi kepada Puan Lamia dan pengikut-pengikutnya. Setiap teknologi dikuasai dengan begitu mahir dalam tempoh yang singkat. Ceruk kota yang busuk itu diubah menjadi satu penempatan yang setara dengan penempatan golongan pemberontak. Akhirnya kota metropolitan klasik itu terpisah dua.”

“Biarpun terpisah dua, mereka berkongsi sifat yang sama; RAKUS PADA ILMU. Mereka berlumba-lumba membina pelbagai jenis jentera dan teknologi, namun tiada cetusan perang terjadi antara mereka. Sehinggalah tubuh mereka juga dimamah teknologi, nafas mereka diuliti debu-debu pekat.”

Burung syurga yang kehijauan ekornya berkicau tanda setuju.

Kedengaran bunyi sesuatu objek merekah daripada kedua-dua kubah kristal tersebut. Si Biru dan Si Hijau berkicau lantang bagaikan memberi amaran kepada penghuni hutan rimba untuk lari menyelamatkan diri.

Akhirnya satu letupan kuat kedengaran dari arah dua kota. Batuan-batuan termampat yang terhimpit asalnya pada dinding kubah kristal meluru keluar daripada rekahan-rekahan kubah kristal. Si Biru dan Si Hijau terbang bertempiaran menyelamatkan diri. Segerombolan burung-burung syurga yang lain dihujani batuan-batuan yang meluru laju bagaikan peluru hidup itu. Ada yang gugur, ada yang terhempas pada batang-batang pokok dan ada juga sempat mengelak; menyembunyikan diri di sebalik dahan pokok.

Dua jam kemudian, kekecohan itu berhenti mendadak. Debu pekat dan batuan di dalam kedua-dua kota telah terbebas dan mati momentumnya. Si Biru dan Si Hijau terbang keluar dari persembunyian dan menuju ke arah kedua-dua kota tersebut. Perlahan mereka menyusup masuk ke dalam rekahan-rekahan kubah kristal yang punah hampir keseluruhannya. Apa yang tinggal hanya tugu-tugu manusia dan binaan yang kelabu dan mati.

No comments:

Post a Comment