RM30.30. Jumlah baki wang yang aku terima setelah membuat bayaran untuk sarapan di sebuah kedai di Kota Kemuning. Kedai makanan yang agak ganjil. Tertera di papan tanda “Restoran Makanan Faiz” namun tukang pembuat air nya adalah seorang Cina dan bukan Muslim. Bagaimana pula boleh tahu Cina itu bukan Muslim? Oh, itu hanya naluri liar. Mungkin juga itu Cina Muslim. Cara pemakaiannya terlalu keCinaan. Namun persoalannya adakah itu satu masalah besar sekiranya tukang pembuat air itu adalah Cina? Semestinya tiada masalah. Aku Deist. Tuhan itu wujud. Agama itu rekaan. Jadi mengapa seorang Deist harus kisah sekiranya tukang pembuat air minuman itu berbangsa Cina dan bukan beragama Islam? Hidup dalam komuniti kehalalan dan keharaman mengujar logikal akal kadangkala.
Apa yang nyata, lauk-pauk yang tersusun di rak makanan nampak kusam. Mungkin dimasak semalam dan dipanaskan. Aku jadi was-was. Tapi perut terlalu berkeroncong. Kerusi-kerusi yang disediakan sudah banyak lusuh. Kerusi dewan kahwin. Ada kusyen empuk. Susunan kerusi dan meja amat berterabur. Aku rasa rimas.
Aku datang ke kedai makanan ini bersama-sama rakan sepejabatku. Bertolak daripada Johor pada malam semalam, melabuhkan penat dikorbankan di hotel bajet di Seksyen 25, Shah Alam. Ada perbincangan bersama-sama bos-bos besar pagi ini pukul 10 pagi. Pengarah ada. Ketua pengarah ada. Tukang diarah pun ada. Tukang marah juga berkemungkinan – ada. Bermacam-macam ‘ARAH’ yang mengerahkan keringat emosi. Letih ditemani tekanan perasaan dan celaru minda.
Jam menunjukkan pukul 9:27 pagi. Kami singgah di kedai makanan ganjil ini yang dikelilingi kedai-kedai perindustrian yang semak. Sebuah treler besar tersadai di hadapan kedai. Oh, parkirnya agak menyemakkan mata. Jadi lebih sesuai dikatakan ‘TERSADAI’.
Kami membuat tempahan makanan panas. Aku meminta nasi goreng ayam manakala rakan sepejabatku pula dengan nasi goreng dagingnya. Setelah hampir setengah jam menunggu, makanan akhirnya sampai ke meja makan. Bauan kapur barus atau colok kuat menusuk hidung. Memang kedai makanan yang ganjil. Tatkala kunyahan-kunyahan dihabiskan, aku membayangkan satu imej robot sedang mengamuk di hadapan kedai. Bayangkan robot dalam cerita Futurama sedang membebel dan memusnahkan meja-meja dan kerusi-kerusi. Aku lupa nama robot itu. Ok, mungkin tak ramai tahu Futurama, tapi ada aku kisah? Senang cerita, robot yang aku gambarkan ini kuat mencengil. Benci kalau tengok sekali dua. Kali ketiga tengok memang rasa nak terajang.
Suapan yang terakhir disertakan dengan tegukan air Kopi ‘O’ panas. Imej robot gila pun sudah hilang. Tiada meja dan kerusi rosak. Sudah tentu begitu. Imaginasi sahaja bukan?
Kami meluru ke arah tempat perbincangan. Perang, perang dan perang. Kami keluar daripada bilik mesyuarat dengan roh separuh. Hari yang cukup dengan tekanan. Fikiranku menerawang lagi. Robot kuat mencengil muncul semula. Satu rempuhan pada pintu bilik mesyuarat cukup kuat dan meruntuhkan struktur pintu. Robot gila itu melompat tinggi dan menghempaskan dirinya pada meja perbincangan. Patah dua. Oh, sudah tentu meja itu yang patah dua dan bukannya robot gila itu. Robot gila itu! Jangan pandang rendah. Dalam masa sepuluh saat, kesemua ketua pengarah, pengarah-pengarah, tukang diarah dan tukang marah telah tersungkur di atas lantai bilik mesyuarat. Cedera parah seharusnya.
Satu petikan jari.
Aku tersentak. Kini kami telah menuju ke pejabat asal kami di Cheras. Perjalanan yang mudah, tiada kesesakan jalan raya hanya cahaya matahari yang hangat menusuk cermin menafsirkan haba di udara ke liang-liang roma pada kulit. Penghawa dingin kereta dikuatkan. Sungguh panas.
Tap. Satu lagi petikan jari berbunyi.
Susulan kepada perbincangan di Kota Kemuning tadi diadakan di Cheras. Tukang marah dan tukang diarah saling tingkah-meningkah fungsi kepada tukang meluah perasaan dan tukang sengal-sengal otak. Memang tiada kata putus. Hanya beberapa strategi diusulkan untuk memperbetulkan perstrukturan kerja-kerja di Johor yang semakin kritikal perjalanannya.
Jam menunjukkan pukul 12:30 tengahari. Sesi perbincangan ditangguhkan sementara. Waktu untuk makan tengahari. Tapi aku tidak berasa lapar langsung. Robot gila dan Tukang Marah. Tukang Marah dan Tukang sengal-sengal otak. Tukang, Marah, Robot, Gila... Fikiran berkecamuk. Aku dan rakan sepejabatku melangkah ke Old Town White Coffee yang berdekatan. Ya, melangkah. Bukan masuk ke dalam kereta dan memandu ke Old Town White Coffee. Cuaca sungguh panas, matahari tegak di atas kepala. Bayang-bayang nampak kabur.
Aku mencari tempat duduk yang bersesuaian. Namun Old Town White Coffee sangat penuh dengan pelanggan. Rimas. Akhirnya aku duduk di meja yang berada di luar, untuk perokok. Tiupan angin tidak menjamah wajah dan tubuh dari sudut ini. Cuaca panas. Tiada tempat duduk yang selesa. Selera makan langsung mati. Aku menempah satu set “Steam Rice with Mushroom & Chicken”. Entah kenapa aku memilih menu tersebut. Aku sekadar melihat menu, mengambil kertas tempahan dan menuliskan nombor untuk menu tersebut. Segala-galanya spontan. Makanan sampai 30 minit selepas itu. Seperti yang dijangka aku tidak dapat menghabiskan makanan itu. Selera makan langsung terbantut. 2 suapan dan 3 suapan. Yang ke 4 aku tidak habiskan. Aku meneguk terus minuman Coklat sejuk. Bauan kapur barus dan colok dari kedai makan pagi tadi masih menusuk hidung.
RM 30.30. Jumlah bayaran yang perlu dibayar di kaunter bayaran Old Town White Coffee. Eh, ganjil betul dah dua kali aku berdepan dengan angka ini. Bauan kapur barus di penghiduan dan wajah robot gila di pemikiran muncul. Robot gila dan Tukang Marah. Tukang Marah dan Tukang sengal-sengal otak. Tukang, Marah, Robot, Gila... Adakah ini satu isyarat penting untuk sesuatu? Patutkah aku pergi ke kedai Magnum 4D dan membeli nombor dan berharap dapat sejumlah wang besar? Sejenak aku berfikir- aku mungkin seorang Deist, tapi aku bukan penjudi apatah lagi percaya kepada nasib. 30.30 – mungkin sekadar kebetulan semata-mata.
Sesi ‘Tukang marah dan tukang diarah saling tingkah-meningkah fungsi kepada tukang meluah perasaan dan tukang sengal-sengal otak’ diulang semula sehingga pelbagai jenis usul dikeluarkan. Setiap idea nampak praktikal. Harapan juga disandarkan bersama sasaran. Keluarnya aku dan rakan sepejabatku daripada pejabat Cheras dengan langkah kaki yang senget. Kepenatan pada minda.
Aku menghantar rakan sepejabatku ke stesen Bandar Tasik Selatan yang tidak jauh daripada pejabat Cheras. Dia perlu balik ke kampung halaman atas urusan keluarga. Aku keseorangan memandu kenderaan balik ke Johor. Niat hati hendak berehat sebentar di mana-mana hotel yang berdekatan. Perjalanan jauh amat meletihkan. Namun seperti robot gila yang telah diperbetulkan soket pendawaian dalam sistem otak sintetiknya, aku menekan pedal minyak dan kenderaan meluru laju di atas lebuhraya PLUS menuju Johor. Niat, kepenatan, hotel dan lepak-lepak sudah hilang.Imej robot gila yang sudah waras menerobos ruang pemikiranku lagi.
Robot waras duduk di sebelah aku. Walaupun satu objek besi serupa manusia duduk di sebelah, aku berasakan seolah-olah ditemani pontianak. Seram sejuk. Oh, penghawa dingin kereta tidak diperlahankan kitaran kipasnya. Robot waras membuka pintu kenderaan di sebelah kirinya dan melangkah keluar dengan cepat. Gila!! Kenderaan masih bergerak laju. Dengan tangkas robot waras yang sudah jadi gila balik menghempas pintu kenderaan agar tertutup semula. Aku melihat bagaimana robot itu bergolek-golek di atas jalan raya dan hampir-hampir merempuh sebuah kereta Toyota Vios yang meluru laju. Sebelum sempat pelanggaran terjadi, robot itu melompat tinggi dan mendarat kemas di atas permukaan jalan. Aku mendengar bunyi seretan tayar dan hon nyaring dipanjangkan.
Tap. Satu petikan jari berbunyi.
Aku kini berada di restoran jejantas Ayer Keroh. Jam menunjukkan pukul 8:30 malam. Aku bercadang untuk menjamu selera di restoran A&W. Root beer & float.Salah satu kegemaranku. Suasana restoran agak sepi, hanya ada satu keluarga kecil menjamu selera di sudut depan kaunter. Ramai pengunjung lebih mengemari kedai-kedai makan yang bersusun di hadapan koridor masuk. Mungkin sebab makanan seperti nasi itu lebih mengenyangkan. Itu pendapat mereka. Aku pula tidak berkira sangat. Ikut nafsu makan semata-mata. Tiada diet. Tiada pelan pemakanan. Aku rasa nak makan, aku makan. Itu sahaja.
Aku mengambil keputusan untuk menjamah Mozza Burger dan Root Beer with Float. Burgernya tidak penting langsung, sekadar peneman Root Beer with Float sahaja. RM 30.30. Baki yang aku terima di kaunter bayaran. 30.30. 30.30. 30.30.... Mengapa nombor ini menghantui aku hari ini? Sudah kali ketiga aku menerima kitaran wang pada angka perpuluhan itu. 30 ringgit dan 30 sen. Adakah Tuhan ada isyarat tertentu? Aku tidak tahu dan tidak mahu tahu. Aku menjamah Burger secepat mungkin dan menghirup Root Beer With Float dengan perlahan. Menceduk aiskrim Vanilla di permukaan Root Beer dan menyuapkan ke dalam mulut sendiri amat nikmat. 30.30. 30.30. 30.30.... Setiap hirupan dan saat dihujani dengan angka-angka itu. Berputar bagai gasing. Tatkala itu juga, aku ternampak robot gila sedang menyapu lantai restoran. Membasahkan lantai, mengelap perlahan-lahan dan meletakkan papan tanda ‘Awas, Lantai Licin’ di sempadan perimeter kawasan kerja nya.
Setelah selesai menjamu selera, aku pergi ke sinki air untuk mencuci tangan dan mulut. Sambil-sambil itu, aku melirik mata ke arah robot gila yang sedang bekerja. Paip sinki dibuka, air dibiar meluru membasahi tanganku. Aku menekan botol sabun cucian tangan sambil membiarkan air paip memenuhi sinki. Buih-buih yang terbentuk dari sabun membentuk satu imej pada permukaan air di sinki.
30.30.
Bahu kanan dicuit. Aku menoleh ke kanan. Robot gila sudah mengepalkan tangan kanannya membentuk satu penumbuk lalu diacukan ke wajahku. Kesakitan melanda. Gelap.
No comments:
Post a Comment