Wednesday, March 20, 2013

Satu Per Sepuluh

Bersatu teguh, bercerai roboh.

Satu mutiara kata yang klasik. Dihafal dan difahami oleh segenap pelusuk bangsa. Penzahiran dalam bentuk masyarakat dan perbuatan pula amat tipis sekali. Mungkin secara halusnya dicerai-beraikan oleh kemasukan budaya barat. Asimilasi dan penerimaan budaya luar. Penolakan agama dan penerimaan akal secara total. Dibuktikan pula oleh kejayaan masyarakat Jepun yang agak ateisme mungkin mendorong ramai yang memegang falsafah “Pandang ke Timur” belajar untuk menidakkan nahu-nahu mistik dan Ilahi. Keliru sungguh keliru. Yang berpandukan fitrah agama yang sama, punya nama Tuhan yang sama masih lagi berperang sesama sendiri. Menegakkan ‘kebenaran’ katanya dan pelbagai lagi intipati perjuangan yang kabur-kabur ditempik selantangnya. Apalah gunanya kebenaran jika tidak membawa kebaikan?


Kebenaran.

Aku menghela nafas panjang mengenangkan patah kata itu. Alangkah eloknya kiranya patah kata itu tidak pernah wujud. Akibat mencari kebenaran, manusia saling tingkah-meningkah antara satu sama lain. Berbunuhan dan bermusuhan. Fitrah manusia agaknya. Hati dan kebenaran bagai Adam dan Hawa yang terpisah jauh apabila berada di muka bumi. Selagi tidak bertemu selagi itulah hati dirundung duka. Kedukaan itu akan mengheret langkah kaki menuju ke destinasi. Hati harus bertaut dengan kebenaran. Manusia itu begitulah sifatnya. Itu andaian semata-mata. Aku harus gauli dengan fakta dan sejarah. Baru boleh kumpul hujah.

Aku ketepikan sementara sesi pemikiran yang kurang sumber sahih itu. Jika difikir lagi dengan kudrat akal yang terhad kebarangkalian untuk hanyut sesat akan bertambah. Aku merencana semula perjalanan ilmu yang hendak ditempuh; penyenaraian buku-buku ilmiah yang tertentu harus dibuat. Zaman sekarang terlalu banyak kitab dan buku-buku kritik. Ada yang palsu dan menyesatkan. Yang benar dan tulus maksud penyampaiannya semakin kurang. Aku tersenyum sinis. Sepertimana manusia yang lain, aku juga mencari kebenaran. Mengapa kebenaran begitu penting? Aku kurang mengerti.

Kebenaran mengingatkan aku pada konsep dendam. Apabila dendam dituruti, penuntutan hak yang saksama dan adil harus dikenakan kepada pelaku salah. Yang membunuh harus dibunuh. Yang menyeksa harus diseksa. Balasan setimpal harus dikenakan. Namun apa yang hendak dicapai melalui dendam itu? Yang pergi akan tetap pergi. Yang terjadi tidak mungkin diputar kembali. Yang dihukum akan melalui apa yang dirasai mangsanya. Apakah hati kita yang dirundum dendam akan terubat mudah dengan hukuman itu? Bolehkah kita menjamin ‘ketenangan jiwa’?

Manusia mencari kebenaran selaku kunci kepada ketenangan jiwa. Revolusi demi revolusi dicetuskan oleh akal yang berfikir.

Kebenaran! Kebenaran!

Bukankah tadi aku memutuskan untuk menangguhkan sesi pemikiran itu? Masa untuk menyerabutkan kepala dengan kekosongan. Aku membayangkan satu titik hitam yang berkembang biak dengan setiap detik masa. Tik tok tik tok tik tok tik tok. Selamat tinggal dunia peradaban akal. Aku mahu balik jadi kanak-kanak riang.

Bila rasa hendak berlari, aku berlari. Bila rasa hendak menangis, aku menangis. Bila rasa hendak ketawa, aku ketawa. Ekspresi lurus tidak terselindung. Hidup sungguh bebas. Tidak terkongkong oleh konsep. Apa itu kebenaran? Apa itu batil? Apa itu agama? Apa itu dendam? Persetankan semuanya. Aku merasa – aku membalas. Itu sahaja.

Aku menghirup kopi panas untuk mengurangkan kantuk. Mata masih dipejam, aroma kopi yang segar itu menusuk ke hati. Haba yang tercalit pada tangan dan wajah dibiarkan meresapi pembuluh darah. Haba itu mengingatkan aku pada fizikal. Pada tubuh. Pada realiti. Daripada haba itu terselit mesej penting pada otak. Saraf memaklumkan mudarat haba pada tubuh. Bahasa yang disampaikan adalah “kesakitan”. Mesej itu akan tersebar, memberi otak merencana protokol baru untuk mengusir mudarat haba itu. Gelas kopi yang hangat itu aku letak di atas meja. Protokol otak berjaya dilaksanakan.

Kebenaran itu satu daripada sepuluh. Apa itu sepuluh? Sepuluh jenis dakwah? Aku bukan pendakwah. Mungkin di kadaran agama, aku dilabel sesat agaknya. Namun aku tetap seorang pencari kebenaran. Kebenaran untuk mendakap agama yang akan mendakap aku jua.
Aku habiskan hirupan kopi. Kantuk tiada surut juga. Aku melangkah ke atas katil sambil kaki dilunjurkan perlahan dan meletakkan tubuhku pada perbaringan.

Kebenarannya sekarang adalah:
“Aku mengantuk jadi aku harus tidur.”




Monday, March 18, 2013

Dunia dah Berubah, Zaman dah Maju

Kitab-kitab lusuh bertebaran di atas meja. Setiap muka surat diteliti, isi pengertian ayat di dalam setiap muka surat itu difahami dan nota ringkas akan dicatat dalam kepingan kertas-kertas.

Selamat datang ke dunia globalisasi.

Seperti yang dinyatakan tadi, ‘kitab-kitab lusuh’ itu betul-betul lusuh. Baik dari segi fizikal ataupun isi kandungan, segala-galanya ketinggalan zaman. Jadi sekiranya anda ingin membuat andaian berkenaan profesion manusia yang mencatat nota ringkas dan mengkaji ‘kitab-kitab lusuh’ itu; amat dialu-alukan.Pertama kali andaian yang boleh dibuat adalah, manusia ini adalah seorang sejarawan. Apa yang ganjil berkenaan seorang sejarawan mengkaji bahan-bahan zaman silam? Tapi seperti dinyatakan tadi, ini hanya andaian. Ya, tidak lebih dari suatu hipotesis anda dan saya.

Andaian kedua, manusia yang tekun mencatat nota-nota ringkas itu mungkin juga seorang pustakawan. Walaupun serasanya tugas seorang pustakawan tidak serumit itu, lagipun saya sendiri jarang pergi ke perpustakaan untuk membuat tinjauan ke atas ‘tugas seorang pustakawan’. Ya, bukankah zaman ini adalah ‘informasi di hujung jari’? Mengapa harus melangkah masuk ke dalam kereta, memandu untuk suatu jarak dan masa yang dianggap ‘Terlalu-Berharga-untuk-dibuang-sekadar-pergi-ke-perpustakaan’ sedangkan satu taipan di atas alat komunikasi comel dan mahal sudah memadai? Okay, sudah meleret. Berbalik kepada andaian tadi; pustakawan ini mungkin seorang pelajar di masa lapang sedang mengkaji kitab-kitab lama untuk tesisnya. Itu juga satu andaian semata-mata.

Teka-teki. Teka-teku. Ada hati. Ada duku.

Kita tamatkan sesi mengandai-andai dan memandai-mandai membuat andaian ini dengan bacaan realiti dari pengetahuan saya tentang isu ‘seorang manusia dan kitab-kitab lusuh’.

Manusia itu seorang jurutera. Bukan pustakawan baikpun sejarawan. Apa yang dikaji (kitab-kitab lusuh) itu adalah spesifikasi untuk kerja-kerja pembinaan jalan. Menjadi jurutera di negara dunia ke-3 amat menjengkelkan kadangkala. Oh, mungkin elok lagi menggantikan ‘kadangkala’ dengan ‘sentiasa’. Menjengkelkan kerana jurutera itu kebiasaannya belajar di universiti terbilang dengan teknologi pembinaan yang terbaru dan senantiasa dikemaskini maklumatnya dan apabila dia keluar daripada universiti terbilang selaku graduan terbilang juga, apa yang menunggu di alam pekerjaan adalah: Mengadaptasi spesifikasi untuk kerja-kerja pembinaan jalan yang terlalu ketinggalan zaman untuk diaplikasikan kepada pekerjaan. Lupakan sahaja teknologi baru. Anda berada di negara dunia ke-3 di mana pihak berkuasa yang terlibat dengan sistem adalah golongan yang tidak kreatif dan konservatif. Pembaharuan? Lupakan sahaja. Negara dunia ke-3 tidak mampu menanggung beban kos pembaharuan ke atas sistem sekian ada.

Mengeluh dan terus mengeluh. Namun sang jurutera terus tekun menelaah spesifikasi tersebut. Segala bentuk percanggahan dengan lukisan pembinaan dicatatkan dalam kertas-kertas kosong. Sambil membelek-belek setiap mukasurat, sang jurutera turut mengilas pandangannya pada lukisan pembinaan di sebelah kitab-kitab lusuh, diselang-selikan dengan pemerhatian pada jadual kuantiti dan harga barang-barang. Pelbagai jenis kesilapan ditemukan, dan setiap kali itu jugalah sang jurutera akan mengeluh berat.

Bilik yang diduduki sang jurutera merupakan salah satu daripada gabungan bilik-bilik yang membentuk satu ruang pejabat. Ruang pejabat itu pula merupakan salah satu daripada gabungan rumah-rumah kedai yang membentuk satu bangunan panjang. Ada premis kedai makan. Ada premis penempatan pekerja asing. Ada premis pengurusan perkapalan. Jalan raya yang hendak dibangunkan itu merupakan simpang siur yang bertentangan dengan bangunan itu tadi. Pemilihan ruang pejabat di bangunan itu memudahkan pekerja-pekerja seperti sang jurutera memantau projek dari tingkap. Sungguh mudah. Namun masih menjengkelkan.

Debu-debu daripada kawasan pembinaan selalu menyeliputi setiap objek daripada kenderaan sehinggalah ke bangunan itu sendiri. Sang jurutera amat benci debu-debu itu. Setiap besi, setiap konkrit dan setiap wajah pekerja-pekerja pembinaan yang memakai topi dan jaket keselamatan amat membosankan.

‘Kalaulah aku boleh tukar kerja kan bagus” keluh sang jurutera lagi.

Hari itu, cuaca agak gelap. Namun tiada tanda-tanda hujan akan bertandang. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa membawa debu ke setiap ceruk ruang yang ada. Langit seperti tiada berawan, mungkin juga dilitupi awan, hanya cahaya putih matahari yang tidak terik berserakan mewarnai langit. Suasana langit selepas hujan lebat.

Sang jurutera kini ditelan api kebosanan yang meruap-ruap. Anda boleh membayangkan api kebosanan ini berwarna jingga. Sepertimana api-api biasa, warna menentukan haba. Darjah celcius nya. Paling sejuk jingga, paling panas putih. Api kebosanan yang ‘jingga’ itu kini berubah warna. Dari jingga ke biru, dari biru ke kuning dan akhirnya dari kuning ke putih. Tahap paling panas sekali. Pada masa ini, api kebosanan sudah bertukar sifat namanya kepada ‘api kesewelan’. Kitab-kitab lusuh diselerakkan, dihambur sedaya mungkin hingga bertaburan kulit dan isi di atas lantai. Setiap kertas direnyukkan. Apa yang tercapai oleh tangan dimusnahkan. Pen dipatahkan. Pensel dicampak sehingga patah dua. Gelas minuman di atas meja dihempas ke lantai. Pecah berderai. Kesabaran sang jurutera sudah hilang sepenuhnya.

Sang jurutera menekup kepalanya dengan kedua-dua belah tangan. Menjerit selantang-lantangnya sambil berlari laju dari ruang pejabat ke arah jalan raya.

“Pergi mati dengan spesifikasi bodoh! Aku nak quit! Sial!!”

Tanpa menoleh ke kiri dan kanan lagi, sang jurutera merempuh ke arah jalan raya yang sibuk. Kepalanya dirasakan benar-benar sakit. Tekupan diperkukuhkan lagi. Namun sakit hilang tiada. Bunyian hon lori yang nyaring dan garang menyedarkan sang jurutera dari amarah dan sakit kepala. Sang jurutera menoleh ke kanan dan semuanya terlambat.

Gelap. Bau darah. Sengal di keseluruhan badan. Terasa kebas di kaki dan tangan. Sang jurutera berusaha mengerakkan bebola mata. Kelopak mata dipaksa untuk bangkit. Suara orang ramai. Kelibat orang ramai. Bunyi dan imej semakin jelas dari perkaburan. Persetankan semua itu. Sang jurutera melirikkan matanya ke arah tubuh badannya yang dirasakan kebas.

Pitam hampir mencongak saat sedarnya maut.

Kaki dan pinggang nya sudah lumat. Usus terburai di atas jalan.

“Mengapa aku masih sedar? Biarlah aku mati sahaja”

Dalam pedih sang jurutera menangis teresak-esak. Nafas kian sesak. Pitam menikam sedar bertalu-talu. Darah kian pekat membasahi setiap ruang tubuhnya. Orang ramai kian berpusu-pusu melihat pemandangan ngeri itu. Di kelibat mata dipejam, kelip-kelip cahaya makin liar muncul di bayangan kelopak mata yang terpejam.

“Bangsat. Aku dah nak mati pun masih nak ambil gambar. Sial”

Pelbagai bayangan memori muncul di benak fikirannya. Wajah ayah dan ibu. Isteri tersayang. Anak comel. Kenangan masa kecil dahulu. Bagai satu tayangan gambar yang carca marba tetapi lengkap. Kronologi yang agak teratur. Kronologi hidup sebelum mati.

“Tuhan. Maafkan aku”

Gelap sekali lagi. Kesakitan sudah tiada. Kebisuan. Kepekakkan. Kematian.

Sunday, March 17, 2013

Surat Rasmi Kepada Menteri Kebudayaan Negara Dunia Ke-3.5

Salam sejahtera diucapkan kepada tuan pengerusi majlis yang tidak berguna kepada komuniti sampah dan anarki seperti kami. Pihak kami ingin berterima kasih di atas sumbangan tuan yang telah menyebabkan golongan-golongan sampah seperti kami menjadi lebih jijik dan skema. Berikut adalah beberapa sumbangan pihak tuan yang amat kami hargai dengan sepenuh jiwa raga dan tahi kami:

1. Menghalau setiap pemuzik yang mencari rezeki di atas laluan pejalan kaki. Tujuan kami hanya untuk mencari rezeki dengan bakat dan kebolehan kami yang terhad ini. Namun pihak tuan menghalau kami seperti anjing kurap, merampas dan memusnahkan alat-alat muzik kami dengan hati girang. Kami sayang tuan sangat-sangat. Kami hanya senyum sahaja. Kami girang juga.

2. Memartabatkan pemuzik-pemuzik luar dan mengundang mereka memenuhi segenap pelusuk konsert dan pentas persembahan dari Jom Heboh sehinggalah ke kenduri kahwin kucing Pak Tam dengan anjing Douglas. Kami sangat sayangkan binatang seperti tuan juga. Kami hadiahkan anjing kurap untuk tuan dakap dan peluk cium dengan penuh kasih sayang.

3. Mencanangkan pembelian buku-buku sasterawan negara oleh perpustakaan-perpustakaan seluruh negara. Niat murni pihak tuan amat kami hargai. Kami berbangga buku-buku yang dikarang oleh pihak kami dengan titik peluh dan idea dari langit Marikh akhirnya dibaca oleh anai-anai dan debu-debu comel. Tuan sangat comel dengan tindakan pihak tuan itu.

4. Membentuk satu skim perlindungan ‘lepas tangan’ di mana pihak kami diberi wang ringgit di atas karya-karya dan persembahan secara ‘lambungan’. Dapat sambut, dapat duit. Terketar-ketar tangan ditadah, dapat angin. Kami hantar lagu ke radio. Radio mainkan lagu kami. Kami gembira tapi miskin sekali. Kami hantar lagu ke penerbit album tersohor, lagu kami dimainkan juga, tapi oleh budak asing. Tapi kami gembira juga, sebab budak asing itu nyanyi lagu kami. Walaupun agak off-key.

Diharap pihak tuan dapat meningkatkan lagi prestasi tuan dalam menjatuhkan pihak kami. Kasih sayang dan perhatian tuan amat kami hargai.





Sekian, terima kasih


Gitar Seksi Mekci
Pembantu Makmal Kaji Ukur Tanah
(Ex-Gitaris Sweet Candy Pancit)

Sunday, March 10, 2013

Falsafah Epal

Sebatang pokok epal berdiri megah di tengah-tengah padang hijau. Lambakan sinar matahari menembusi setiap celahan dedaun dan dedahan mencari penapakan di muka padang. Seorang budak bertopi jerami lebar menyandarkan tubuhnya di batang pokok, menikmati desir-desir angin dan simbahan cahaya matahari. Suasana sungguh tenang.

Budak itu melabuhkan punggungnya di siratan akar-akar tanpa mengalihkan kandaran tubuhnya pada batang pokok. Tangan kanan diseluk ke dalam poket seluar dan dikeluarkan satu buku nota kecil. Tangan kirinya pula menggapai tinta yang diselit di celahan atas cuping telinga kanan. Selakan demi selakan dibuat mencari ruang kosong yang belum dicatan. Nafas dihembus lembut. Penulisan dimulakan.

Mentari pagi segar mengelusi angin
Angin mendakap mesra daun-daun hijau
Rasa cinta alam pada hijaunya daun
Pada pudarnya batang
Pada teguhnya dahan
Menyelami erti merahnya epal
Yang marak menyala bagai ros merah
Suatu perlambangan emosi
Setara cinta

Mudah sahaja sajaknya itu. Semudah angin yang berpuput di rongga-rongga jari, selurus itu jualah ayat-ayat tercatan pada ruang kosong nota kecil itu. Nafas dihela lembut. Pandangan direhatkan pada padang hijau. Kelihatan tompok-tompok lavender dan bunga matahari menghiasi hijau padang. Sungguh mendamaikan. Mata dipejam menikmati bunyian cengkerik bersahutan. Haha – pesta menyambut musim bunga sedang berlangsung di kalangan penghuni padang hijau itu. Meriah. Sungguh meriah.

Suatu objek jatuh menimpa kepala budak itu. Tersentak dari lelapan sesaatan, pandangan dilemparkan ke arah objek yang tergolek di lantai rumput hijau. Buah epal. Merah gebu dan berkilat permukaannya. Cahaya matahari yang galak itu meng-emasi epal itu. Kelihatan syurgawi. Buah epal itu terhenti pada akar pokok yang terjulur dari muka bumi.

Sambil merenung tajam buah epal itu, pemikiran-pemikiran asing berlegar dalam kepala budak itu.

‘Epal ini kiranya jatuh ke bumi, berapa arahkah yang akan dimungkinkan golekannya?”

Epal itu dikutip dan ditempatkan di hadapan persandaran. Jari telunjuk ditekankan pada tangkai epal mencari pusat graviti.

“Terdapat lapan arah yang akan ditujui oleh epal jika dikira berdasarkan fahaman geografi. Jika dikira melalui konsep kompas, ada enam belas kemungkinan arah yang akan dilalui.”

Kepalanya dan tubuhnya ditundukkan sehingga aras matanya menyamai separuh ketinggian buah epal di atas tanah.

“Penentu arah yang akan dipilih juga ditentukan bentuk muka bumi. Buah epal akan menuruti permukaan yang lebih rendah.”

Pemikirannya melayang menyelami makna-makna hidup yang dirasakan sinonim dengan epal yang jatuh ke bumi itu. Bagaikan ‘de ja vu’. Bagaikan terdapat benang-benang halus yang menyusuri setiap perjalanan hidupnya menyambung setiap cerita dengan makna-makna halus yang bersangkut paut.

Selaku seorang yang berpengetahuan, sewajarnyalah ilmu itu dikongsikan kiranya boleh mendatangkan kesejahteraan pada orang lain. Namun begitu penyampaian ilmu itu punya pelbagai cara. Cara-cara penyampaian ilmu itu juga harus dipengaruhi sifat orang-orang yang hendak disampaikan ilmu tersebut.

Perbandingan dibuat. Momentum epal yang jatuh disamakan dengan ilmu itu sendiri. Cara-cara penyampaian ilmu digambarkan serupa dengan fahaman geografi. Pemilihan cara-cara penyampaian ilmu disemadikan pada sifat golongan yang hendak disampaikan ilmu.

“Hmm, agak relevan juga perbandingan ini” gumam budak itu sendirian.

Epal itu dicapai dan dilambung-lambung sambil fikirannya berputar-putar.

Keteguhan pada kepercayaan seseorang itu dipengaruhi oleh persekitarannya. Fitnah yang disebarkan dan dipercayai oleh ratusan orang akan dianggap benar. Apa itu kebenaran? Apakah makna memperjuangkan kebenaran sekiranya hanya kedukaan dan kebencian yang tersadur pada hakikat kebenaran itu? Boneka ada pengawal talinya. Wayang kulit ada tukang karutnya. Begitu juga kepercayaan kita. Tanpa dasar dan akar, tiada kepercayaan yang mampu tumbuh. Tunas memerlukan akar untuk mencernakan kehidupan.

Lambungan dihentikan. Epal dibiarkan jatuh tergolek sekali lagi.

Nasib epal ini seperti kepercayaan manusia. Dikawal oleh suatu kuasa luar. Kuasa luar ini diumpamakan dengan tangan yang melambung epal. Kiranya tangan itu memutuskan epal itu harus punah, maka akan dibiarkanlah epal itu menyembah bumi. Kiranya tangan itu memutuskan epal itu harus diselamatkan, maka akan disambutlah epal itu dan digenggam erat.

“Oh, akalku yang mengawal pergerakan epal ini. Harusnya apakah akal aku ini boleh diperumpamakan dalam situasi itu?” budak itu berbisik pada hati.

Tuhan.

Tuhan yang mengawal ketentuan manusia. Kuasa mutlak dan hakiki di balik kesemua kuasa yang ada.

Senyuman mencorak pada bibir. Epal dicapai dan dimasukkan ke dalam saku seluarnya. Budak itu mengemaskan cengkaman topi jerami di kepalanya dan berlari-lari anak ke arah perkampungan di perbatasan padang hijau itu. Lavender dan bunga matahari meliuk-liuk lembut ditiup angin musim bunga yang mesra itu.

Dupppp!!

Sebiji epal jatuh bergolek. Akar yang bersirat menahan pergerakan epal yang gugur. Hanya ditemani bunyian cengkerik dan deru angin, epal itu akan terus berada di kandaran itu, menunggu masa untuk mereput. Hidup itu begitulah sifatnya; bersandaran pada kematian. Benang-benang halus makin tersebar melilit setiap rungkaian sejarah.

Saturday, March 9, 2013

Dunia Songsang

“Graviti itu ada pada langit. Vakum itu ada pada bumi.”
“Matahari itu ada di tengah laut. Jangan datang dekat. Nanti rentung.”

Adib termangu-mangu di tebing laut. Ombak laut menghempas batuan di bawah tebing. Seolah-olah ada amarah di hempasan itu. Laut memarahi bumi. Laut memarahi pasir. Laut memarahi batu. Mengapa laut harus marah? Mungkin ada dewata laut sedang bermuram durja di bawah sana, melontar kalimah-kalimah sakti berulam emosi ke arah pesisir pantai. Oleh itu, kemarahan itu mungkin hanya nukilan rasa penghuni laut semata.

Tahun 1452. Adib berdiri di tebing laut memikirkan ayat-ayat yang didengar curi dari sekumpulan musafir Parsi.

“Graviti itu ada pada langit. Vakum itu ada pada bumi.”

Apa itu graviti? Apa itu vakum?

Adib bercangkung mengapai batu kerikil yang runcing hujung nya seraya melakar sesuatu pada tanah.

“Matahari itu ada di tengah laut”

Adib melakar bentuk matahari. Satu objek separa bulat. Adib menambah tokok garis-garis keluar dari bulatan. Jadilah matahari. Namun graviti dan vakum? Adib termangu-mangu.

Tahun 1452. Hari Isnin. Adib berasal dari sebuah mukim di tepi laut. Cuaca dan waktu tidak diukur dan dicatat di sini. Pengetahuan tentang bilangan hari dan tahun kesemuanya datang daripada musafir Parsi. Musafir Parsi memperkenalkan kompas. ‘Kompas’ itu mempunyai jarum di dalam kotak kaca bulat yang kacau-bilau pusingan nya. Bagaikan cacing kepanasan meronta-ronta dimamah bahang mentari. Musafir Parsi memberitahu jam dan pengiraan hari tidak begitu tepat apabila berada di mukim itu. Mengkaji dan terus mengkaji. Dikeji dan terus dimaki. Penduduk mukim di tepi laut itu tidak begitu gemar pada kehadiran orang asing.

Musafir Parsi menyampaikan cerita-cerita luarbiasa dari dunia lain yang diteroka mereka. Adib tidak pernah melihat matahari di tengah laut itu bergerak ke atas atau hilang ke bawah horizon. Senja sentiasa. Namun Musafir Parsi memberitahu di dunia mereka, matahari terbit dari timur dan tenggelam di barat. Adib cuba melakar bentuk ‘timur’ dan ‘barat’. Idea itu masih terlalu janggal baginya.

Adib yang kebingungan menatap ombak menghempas pantai. Tirai senja yang sentiasa terbuka itu, tidak pernah gagal menyadurkan air laut yang keruh teh susu dengan warna-warna emas berkilauan.Seolah-olah permaidani emas dari kayangan terbentang luas. Hati Adib tenang seketika.
“Matahari itu ada di tengah laut. Jangan datang dekat. Nanti rentung.”

Mengapa pula rentung? Sedangkan air laut ini yang sifat nya mengeluwap apabila dijamah haba tetap mengusung matahari di muka nya. Adib pernah membenamkan jari telunjuk kanan nya ke dalam laut itu. Suam-suam kuku sahaja. Tidak panas dan tidak sejuk. Sekiranya air laut itu dijamah haba matahari, ke mana perginya awan? Tiada kabus yang membungkus sinar emas mentari di ufukan. Secara logikal, matahari itu tidak merentungkan.

Adib melompat dari penapakan kakinya ke bawah tebing. Melangkahi setiap tangga-tangga batu yang carca-marba susunan nya, Adib meneliti tuju kaki nya agar tidak menginjak udara yang kalut zahirnya. Akhirnya jejak kaki Adib mencerapi pasir pantai yang kebiruan. Adib menuju ke bongkah-bongkah batuan besar lebih kurang empat puluh hasta jarak nya dari tebing. Tanpa berlengah lagi, satu objek ditarik keluar dari celahan batu tersebut. Sampan kecil. Buatan Adib sendiri.

“Matahari itu ada di tengah laut. Jangan datang dekat. Nanti rentung.”

Adib nekad untuk menidakkan ayat yang menghantui nya itu.

“Graviti itu ada pada langit. Vakum itu ada pada bumi.”

Ah – persetankan graviti. Vakum juga – tiada erti. Adib menongkah arus laut yang kacau-bilau dengan pendayung kayu. Hasta demi hasta, matahari kian galak memuntahkan sinar emas nya. Adib kian hanyut dalam alunan ombak dan tirai senja.

“Akan aku buktikan matahari itu sifat nya hanya emas tepu yang tidak berbahang.”

Teorinya itu akan dipersembahkan kepada penduduk-penduduk mukim. Mungkin Adib akan mendapatkan musafir-musafir Parsi terlebih dahulu untuk melunakkan lagi hujah-hujahnya. Musafir-musafir Parsi mungkin luas pengalamannya dan jauh perjalanan nya, namun Adib percaya kebijaksanaannya jauh mengatasi akal musafir-musafir Parsi.

Semakin Adib menghampiri matahari, semakin sukar dayung dikayuh. Adib menadah tangan nya menangkup air laut. Kelikatan air laut makin kekar. Bagaikan gula melaka di dalam kawah. Adib memberhentikan kayuhannya dan menarik nafas panjang.

Adib menancapkan kelopak matanya mencari bait-bait kudrat untuknya meneruskan kayuhannya semula. Getaran ombak yang likat terasa semakin bergelodak. Khuatir akan nasibnya di atas sampan yang maha kerdil itu, Adib berpegang erat pada gigi sampan cuba mengimbangi diri. Laksana hujan panas di tengahari, Adib dilambung oleh ombak setinggi-tinggi nya ke udara. Adib melontarkan suara memohon pertolongan, namun tiada siapa yang menyahut apatah lagi membantu. Adib terlalu jauh dari pesisir pantai. Kiranya dewata laut ada beradu di dasar likat, pasti raungan Adib itu singgah di telinga nya. Namun Adib hanya keseorangan.
Lambungan yang tinggi itu dirasakan semakin jauh kuasanya. Adib melayang-layang bagai kapas. Satu perasaan ganjil muncul. Lambungan yang diterjah pada sampannya kian berubah arah.

“Aku jatuh ke atas”

Ayat itu terpacul dari bibir Adib. Adib sendiri tidak mengerti mengapa ayat itu terluah.

“Graviti itu ada pada langit. Vakum itu ada pada bumi.”

Adib membetulkan susunan anggota tubuhnya yang seolah-olah menari di awangan. Kakinya dilunjurkan mengarah ke langit. Badannya diringkukkan untuk menerima tekanan dari langit yang bakal dijamahnya dengan tapak kaki.

Dunia seolah-olah berputar. Songsang. Langit yang kebiruan pada asalnya itu rupanya hanya lantai batuan yang ditumbuhi lumut biru. Adib mendongak ke atas. Matahari seolah-olah terbit di kelompok awan keemasan. Adib semakin keliru.

Sayup di hujung lantai batuan biru, bayang-bayang manusia semakin menghampiri Adib. Adib mengecilkan mata, memerhati ke arah bayang-bayang itu dan cuba mengagak kelibat itu dan jaraknya.

“Musafir Parsi!!” getusnya dalam hati.

Akhirnya musafir Parsi berdiri menghadap Adib. Mata hijau galak dan jambang lebat menghuni wajah si musafir. Mereka mendongak ke atas bersama dan memerhati lautan yang kini menjadi awan keemasan.

“Graviti ada di mana-mana. Antillia, sungguh unik wahai sahabatku” ujar musafir Parsi.

“Kami sudah lama memerhati dan mengkaji peradaban mukimmu ini. Mukjizat dan zahir alam tergumam di sini. Tahukah kamu wahai sahabatku, di mana duduk nya mukim mu ini?”

Adib hanya mampu menggeleng kepala.

Musafir Parsi mengeluarkan segulung kertas palma dari jubah nya.

“Kami percaya sahabat pasti boleh memahami lakaran peta dunia ini. Lihat di sini, Antillia terlakar di ruangan ini.”

Jari Musafir Parsi menari lembut di atas kertas palma dan akhirnya terpaku di satu tompok di peta tersebut. Bagi Adib, konsep ‘peta’ tidak wujud dalam konteks ilmu nya. Mata Adib hanya menuruti tanpa soal.

“Sebetulnya, di peta ini tidak terdapat mukim ini. Kami menjumpai pintu masuk ke kawasan ini di Antillia. Namun kami terpaksa menempuh 57 marhalah perjalanan untuk berkampung di mukimmu ini.”

Adib hanya terpinga-pinga.

“Kita datang dari dua dunia berbeza wahai sahabatku. Kami datang dari dunia yang punya malam dan siang. Dunia kamu ini pula hanya ada matahari senja. Graviti di sini ada pada setiap batuan dan permukaan. Di dunia kami, langit itu wujud dan tidak bergraviti.”

Adib cuba menghadam penjelasan itu. Mata bundarnya bersinar-sinar mendengarkan penerangan saintifik ganjil itu. Hatinya terdetik untuk melihat sendiri langit biru, malam dan siang. Namun hatinya masih meragui kebenaran kata-kata Musafir Parsi itu. Taakulan dan telahan terhadap ilmu yang dicurahkan oleh datuk dan ayahnya mengelusi benak fikirannya; berasimilasi dengan pengetahuan baru dari Musafir Parsi.

Tiba-tiba bumi di telapak kakinya bergerak. Perlahan pada mulanya, akhirnya semakin kuat menuturkan kerikil-kerikil batu dan cebis-cebis lumut biru di setiap arah. Adib dan Musafir Parsi segagah mungkin mengimbangkan diri di atas lantai batuan yang semakin hilang sifat datarnya itu. Akhirnya Adib dan Musafir Parsi terlontar tinggi sehingga dirasakan udara bagai mencengkam setiap urat pada tubuh mereka. Kaku di udara. Dari kejauhan suatu bunyi hembusan kuat kedengaran menerjah ke orbitan gegendang telinga. Adib dan Musafir Parsi berpaling ke arah bunyi hembusan kuat itu dan secara tiba-tiba cengkaman udara bagaikan lesap langsung. Adib dan Musafir Parsi bagaikan terbang ke arah bunyi hembusan itu; tertarik oleh sesuatu yang laksana graviti namun lebih jitu.

“Vakum.”

Terpacul perkataan itu daripada mulut Adib. Bagaikan irfan tertusuk di hati, ratusan bahasa dan ilmu baharu berlegar-legar di pemikiran Adib. Musafir Parsi sudah lesap ditelan cahaya. Cahaya dari suatu sumber yang menarik zahir mereka ke arah yang tidak diketahui. Adib memejamkan mata.

Dalam silauan gelap dan cerah cahaya yang tercerna oleh otak, Adib bagai mampu mengimbau suasana dunia songsang yang dicerapkan Musafir Parsi itu tadi. Bayangan matahari ditelan ufuk dan kegelapan menggantikan kecerahan silih berganti dalam benak fikirannya. Pelbagai imej ganjil muncul dan berputar pada keligatan yang mencanak kelajuannya.

Akhirnya dunia gelap mati. Tiada lagi vakum. Tiada cahaya.

Adib membuka kelopak matanya. Suatu pemandangan yang indah beradu di hadapan nya. Desir-desir ombak dan angin sepoi-sepoi bahasa bagai menyapa kehadirannya yang terbaring di lantai pantai yang penuh pasir. Adib bagaikan tidak percaya dengan apa yang dizahirkan matanya:

Langit gelap penuh dengan kelipan cahaya.
“Selamat datang ke dunia kami, Adib.”

Adib menoleh ke kiri. Musafir Parsi sedang sibuk membakar ikan pada unggun api. Desir-desir ombak terus mengalun kesepian malam. Kehangatan haba daripada unggun api itu sungguh mendamaikan.Adib memejamkan matanya semula menikmati udara dunia asing. Ya, dunia songsang.

Friday, March 8, 2013

Catatan Lusuh


“Kiranya aku berharta
Akan ku bawa mu terbang ke mana jua
Kiranya aku berharta
Akan kubelikan mu dunia

Kiranya aku bertakwa
Akan ku bawa mu ke syurga
Kiranya aku bertakwa
Akan ku hadiahkan mu wangian kauthar.”

Catatan itu cukup rintihannya. Mendayu-dayu memohon kesempurnaan akidah. Akidah dan kesejahteraan dunia. Unsur-unsur kekeliruan juga tersemat sama. Penulis ini mungkin seorang yang buta agama nya dan miskin hartanya namun punya insan tersayang yang ingin dibahagiakan. Taklik akalnya memberitahu “Seorang laki-laki yang ingin mengahwini seorang wanita dan membina keluarga haruslah punya kewangan yang kukuh dan ilmu agama yang cukup”. Pedih menusuk kalbu apabila apa yang diingini tidak mampu dihadiahkan buat orang tersayang.

Aku melabuhkan punggung di lantai pondok usang itu. Dikelilingi sawah padi yang terbentang luas, aku mengambil semula kertas lusuh yang tertulis sajak itu. Penafsiran aku, pemilik catatan itu mungkin seorang petani moden. Mungkin punya lulusan akademik yang tinggi. Ah – anggapan rambang sahaja. Mungkin juga budak-budak baru habis SPM. Apa yang jelas, pemilik catatan itu punya seorang insan yang ingin dibahagiakan. Pelbagai jenis kemungkinan. Aku menyambung semula pembacaan:

“Segalanya sudah berakhir
Tiada syurga ataupun wangian kauthar
Tiada juga harta dan juga dunia
Hanya aku dengan impian usang
Dirobek camar kapitalis

Terbangmu ke seluruh dunia
Terbangmu mengusung dunia
Syurgalah tempatmu sayang
Wangian kauthar mu bersemadi
Dalam memoriku selamanya.”


Apakah camar kapitalis itu? Kekecewaan jelas terpapar dalam bait-bait terakhir sajak tidak bertajuk ini. Bagaikan orang tersayang itu telah pergi meninggalkan pemilik catatan. Adakah orang tersayang itu sudah pergi mendakap tanah? Ataupun sekadar ditinggalkan mengikut seorang yang lebih berkemampuan dan beragama tinggi? Mungkin kunci kata itu terletak pada terma ‘Camar Kapitalis’ tersebut.

Ya, begitulah cinta dunia. Apa yang lusuh akan digantikan dengan sesuatu yang baru. Ikatan tidak selamanya kukuh; tanpa kesinambungan untuk mengetatkan ikatan, pastinya ikatan itu akan longgar juga. Diharap pemilik catatan ini mampu mencari pengganti untuk cinta yang hilang. Diharap juga pemilik catatan ini melengkapkan agamanya dan berusaha untuk keluar dari cengkaman kemiskinan.
Apabila kemiskinan hidup berjaya digumam keluar, maka ‘Camar Kapitalis’ tidak akan mampu ‘merobek’
impian penulis catatan ini.

Seperti mana lusuhnya catatan itu, memori silam itu akan lusuh juga. Setiap yang lusuh akan berganti dengan yang baru.

Aku mengumpal catatan lusuh itu dan melontarkan nya keluar dari tingkap pondok usang. Hidup harus diteruskan. Yang lusuh harus dibiar reput. Sejarah harus dipelajari untuk kesejahteraan masa depan.
Aku penat. Masa untuk tidur petang.

Saturday, March 2, 2013

Ekstremis Kayu

Alkisah terdapatnya sebatang pokok yang hijaunya menular dari daun hingga ke akarnya. Tiada siapa yang tahu asalnya pokok hijau mono itu. Namun jika disentuh batang dan dahan pokok tersebut, didapati hijau yang terpalit pada permukaan adalah sejenis cat mesra alam. Nyata sekali itu perbuatan manusia. Sekiranya ditinjau persekitaran, segala-galanya hijau. Tiada tanah yang terbungkam tanpa rumput hidup. Tiada daun-daun kering jatuh di lantai bumi. Tiada dahan coklat ataupun kelabu yang bertaburan. Hanya ada sekelompok objek alam yang mono warnanya. Hijau abadi.

Daie berdiri di tengah-tengah dusun hijau tersebut. Memerhati dan meneliti dengan kagum keganjilan pada dusun hijau tersebut. Setiap batang pokok diraba dan ditenung dekat, bagaikan terdapat nota-nota penting pada setiap alur corak kayu yang diwarnakan hijau itu. Dalam pemikirannya dipenuhi pelbagai persoalan seperti,

“Siapakah yang begitu gigih mewarnakan setiap batang pokok ini?”
“Cat apa yang digunakan orang ini?”
“Mengapa semua harus dicat hijau?”

Persoalan-persoalan terus menujah benak fikiran Daie. Dahi nya berkerut-kerut. Kening terangkat-angkat. Mata bagai tidak berkelip tatkala pandangannya ditumpukan pada batang pokok yang diwarnakan itu. Jari-jemarinya bergerak mengikut alur urat pokok tersebut. Kemas sungguh seni cat nya. Suasana hening dan sunyi memenuhi pelusuk dusun hijau. Tiada burung atau cengkerik berlagu di celahan hijau mono itu. Mungkin mereka tahu, dusun hijau itu buatan manusia dan bukannya buatan Tuhan. Sesuatu yang dibuat manusia tidak pernah bermanfaat terhadap haiwan seperti cengkerik atau burung. Dusun hijau dipinggirkan kehidupan. Sehinggalah tiba-tiba siulan mengisi kesepian dusun.

Daie melangkah perlahan mencari arah siulan itu datang. Dari suatu pokok ke satu pokok dia meninjau persekitaran. Akhirnya dia tiba di suatu kawasan lapang di tengah-tengah dusun hijau itu. Hanya ada satu pokok ara besar di tengah-tengah kawasan lapang. Di bawah pokok ara tersebut, seorang budak sedang tekun mengecat batang pokok dengan cat hijau. Berbaju hijau dan berseluar pendek, budak itu begitu khusyuk dengan tugasan nya. Apabila diperhati dengan teliti, didapati baju nya tertulis ‘Saya Suka Hijau’. Daie hanya dapat melihat kelibat belakang budak itu. Mungkin berumur dalam 10 tahun, mungkin juga 12 tahun, Daie tidak pasti. Tetapi bila difikirkan, kiranya benarlah budak ini yang mengecat kesemua pokok menjadi hijau, itu adalah satu pencapaian yang agak luar biasa. Dusun hijau begitu luas. Ratusan pokok berdiri di dusun itu. Bagaimana budak ini mampu mengecat kesemua pokok-pokok ini seorang diri? Daie terus memerhati dari balik pokok berdekatan perbuatan budak itu.

Daie, yang berselindung di sebalik pokok, dapat merasai kehadiran orang lain di situ. Seolah-olah sepasang mata sedang memandang tajam ke arah nya daripada arah yang tidak diketahui. Daie menoleh ke belakang. Seorang budak berdiri di situ. Tangan kanan memegang berus cat. Tangan kiri pula memegang tin cat. Daie tergamam. Bagaimana budak yang sedang mengecat pokok di hadapan nya boleh berada di belakang nya secara tiba-tiba? Daie sekilas melontar balik pandangan ke arah pokok ara besar tadi. Budak tadi masih gigih mengecat. Daie berpatah balik ke arah budak baru ini. Budak itu hanya terdiam dan merenung tajam ke muka Daie. Daie resah diperhati begitu. Pandangan mata yang tajam itu tidak mengherotkan daya pemerhatian Daie dari menyedari yang cat yang dibawa budak ini agak berlainan daripada budak yang mengecat pokok. Ya, cat kali ini berwarna biru.

Tangan yang memegang berus cat ditujukan ke langit.

“Tolong”

Daie keliru.

“Tolong catkan”

“Catkan apa ye budak?” Daie resah namun cuba menjawab dengan tenang.

“Tolong catkan langit mendung itu”

Daie melihat ke arah langit. Ya, langit itu gelap. Kelabu. Bukan kelabu pada awan nya. Tapi langit nya.
Mengecat langit? Daie terkebil-kebil memikirkan perbuatan yang mustahil tersebut.

“Kau takkan dapat cat langit itu, Bain” budak di bawah pokok ara menyahut tanpa memberhentikan kerja-kerjanya.

“Sesuatu yang tinggi dan dulunya biru kini sudah kelabu. Semua salah ayah. Dia biarkan biru langit itu jadi pudar. Jadi kelabu. Bain, ayah nak langit itu jadi kelabu. Kita tak boleh lawan ayah. Nanti ayah marah”

Daie cuba mengerti maksud yang dituturkan oleh budak itu. Siapakah ayah yang dimaksudkan oleh budak itu? Sungguh ganjil.

“Tapi Bain nak cuba jugak. Pakcik ini mungkin boleh tolong jawabkan bagi kita kalau ayah marah. Pakcik ini tubuhnya tinggi, kalau pakcik ini boleh naik ke dahan pokok ara itu mesti tangan boleh capai langit itu, kan?” tingkah Bain.

“Bain, jangan pakai orang luar untuk tugas-tugas kita. Pakcik ini bukan orang kampung kita. Orang luar. Orang luar tak tahu nak warnakan langit kelabu jadi biru. Betul tak, pakcik?”

Daie mengagak kewujudannya di situ tidak penting. Nampaknya dia dilibatkan juga.

“Pakcik tak boleh nak tolong catkan langit itu. Minta maaf ye budak”
Bain melihat langit kelabu itu. Mata nya mula berkaca. Air mata mula berderai di pipi.

“Bain, bagitahu ayah. Pokok-pokok hijau ini akan tumbuh tinggi. Tumbuh tinggi sampai ke langit. Bila sampai ke langit, Ma-en akan warnakan langit itu hijau. Ma-en suka hijau”

“Tapi Bain nak langit itu warna biru. Hijau tak cantik. Semua nak hijau. Tak adil lah macam ni. Bain nak langit itu. Bain nak minta kat Ayah langit itu”

“Tak kisah lah Bain, Ma-en akan tetap usaha warnakan langit itu agar jadi hijau juga. Bain kalau nak langit itu jadi biru balik -pergilah usaha kan sendiri. Jangan nak minta tolong orang luar atau ayah. Kena kuat sikit. Sikit-sikit ayah. Lembik betul lah”

Bain membaling tin cat itu ke arah Ma-en. Air mata makin berderai. Ma-en cuba mengelak. Namun tin cat itu terlalu jauh untuk mengapa-apakan Ma-en. Hanya cat biru membasahi kawasan lapang sebelum pokok ara terbabit. Sambil menangis dan merengek, Bain berlari ke arah dusun. Hilang di sebalik pokok. Hanya tangisannya semakin menjadi-jadi. Akhirnya sayup di rimbunan pokok-pokok hijau mono. Ma-en terus menyambung kerja nya mengecat pokok ara terbabit.

Daie melontarkan pandangan ke langit kelabu. Tiada awan, tiada matahari, tiada biru. Hanya kelabu.

“Ma-en, mengapa dicat kesemua pokok-pokok ini? Bukankah bagus kiranya dahan dan batang pokok itu berwarna coklat dan kelabu seperti asalnya? “ Daie mengagahkan dirinya bertanya.

Ma-en berpaling ke arah Daie. Seperti Bain tadi, Ma-en melontarkan pandangan tajam nya ke arah Daie. Lutut Daie terasa longgar. Daie kini sedar, Ma-en dan Bain ini bukan manusia biasa. Adakah jin atau bunian? Daie tidak pasti.

“Ma-en suka hijau” gumamnya ringkas sebelum menyambung kerja nya.

“Pakcik boleh simpan pendapat pakcik itu untuk pakcik sendiri. Ma-en tetap nak semua pokok ini kelihatan hijau” tingkah nya lagi, biadap.

Daie mendengus marah. Namun nafas ditarik dan dihembus perlahan. Serentak dengan aliran angin yang dihembus. Marah nya hilang.

“Bila pokok ini mati. Hijau daun akan pergi. Hanya tinggal batang dan dahan saja. Tiada hijau. Hanya coklat dan kelabu. Kegemaran pakcik. Pakcik pernah nampak kan pokok yang tak berdaun? Nampak mati, bukankah begitu?”

Pandangan Ma-en itu ada benarnya juga. Daie agak kagum dengan Ma-en. Pada umur itu, seorang budak sudah punya falsafah dan pandangan peribadi tersendiri. Oh, itupun kalau betul kiranya Ma-en itu manusia. Mungkin suatu makhluk lain yang menyerupai manusia. Daie tidak tahu. Dahinya dikerutkan.

“Hijau adalah kehidupan. Hijau adalah ketenangan. Sebab itu Ma-en suka hijau. Pakcik, Ma-en nak pokok-pokok ini nampak hidup sampai bila-bila. Biarpun daun-daun nya sudah gugur semua nya. Warna hijau ini akan memberitahu alam, bahawa pokok ini masih hidup”

Daie hanya terkedu mendengar luahan rasa Ma-en. Mungkin Daie bersilap-sangka sebelum ini. Biadap Ma-en tadi mungkin disebabkan seseorang mencerca warna kegemaran nya itu. Sesuatu yang digambarkannya ‘Kehidupan’ dan “Ketenangan”. Apabila kita menidakkan ‘Kehidupan’ dan “Ketenangan’ seseorang, kita akan dilayan dengan kasar. Daie faham konsep itu.

“Ma-en nak pertolongan pakcik ke? Ada cat lebih?”

Ma-en menoleh ke arah Daie. Senyuman meleret di wajahnya. Nampak manis sungguh.

“Terima kasih pakcik. Pakcik tolong catkan dahan sebelah kiri ini ye. Ma-en nak panjat macam susah sikit”

Daie meluru ke arah Ma-en dan mencapai satu lagi berus cat yang dikeluarkan dari sisipan pada seluar pendek yang dipakai Ma-en. Daie dan Ma-en gigih mengecat pokok tersebut dengan warna hijau. Di bawah langit kelabu. Di tanah lapang itu. Satu tompokan cat biru mewarnai kawanan hijau rumput. Dua generasi sedang tekun memberikan ‘kehidupan’ dan ‘ketenangan’ pada pokok ara.

Hijau itu kian padat dan langit semakin kelabu.