1 haribulan Mei.
Muzik yang teralun keluar dari komputer riba dihadapan ku tidak menenangkan. Mengapa aku masih terus mendengar? Aku tidak meletakkan hati dan perasaan pada jasad buat masa kini. Jadi sebarang tempo dan alunan muzik yang berkumandang hanyalah sejenis bunyi. Sepertimana bunyi penghawa dingin yang dihidupkan, begitulah juga muzik yang dimainkan kini. Tidak melekat. Tidak mengganggu. Tidak wujud.
Kesibukan kerja yang bertalu-talu merampas masa dan rehatku membuatkan aku begitu malas. Hari Ahad ataupun hari cuti umum dihabiskan untuk tidur dan makan sahaja. Minda begitu penat untuk keluar berhibur. Lagipun dompet juga agak tipis wang kertasnya. Aku khuatir aktiviti-aktiviti seperti berjalan-jalan cuci mata di kompleks membeli belah akan menipiskan lagi dompetku. Jadi tindakan terbaik adalah – duduk rumah diam-diam, makan apa yang ada jangan keluar sekali-kali. Tiada kehidupan, tiada wang.
Aku mengimbau semula memori berkenaan hari semalam. Tiada apa yang istimewa. Cuma ada satu waktu itu, tatkala aku dalam perjalanan balik ke rumah aku mendapati ada dua orang pejalan kaki yang agak ganjil pada memori silam. Satu de ja vu? Mungkin juga.
Anda boleh mengambarkan satu imej makhluk asing yang tipikal, berbadan tinggi dan kurus kering, berwarna kelabu dari ubun kepala hingga ke hujung kaki dan semestinya tidak berbaju.Usah risau, tiada jantina yang boleh dikenal pasti walaupun mereka tidak berbaju. Perbezaan ketara dengan makhluk asing yang tipikal adalah pada matanya. Kita biasa ditunjukkan dengan imej makhluk asing yang bermata hitam bundar dan bujur. Namun makhluk yang aku ceritakan ini punya mata manusia. Hanya merah anak matanya. Aku tahu ini bukan makhluk asing yang tidak bernama. Aku memanggil makhluk tersebut:
Syaitan.
Sudah semestinya dua orang pejalan kaki ini tidak punya rupa sebegitu hanya kepala mereka lonjong sedikit dan berbadan tinggi kurus kering sahaja. Secara prinsipnya mereka adalah manusia normal.
Apa yang tersemadi dalam memori aku yang kabur adalah sekumpulan syaitan itu tadi; berdiri dalam tandas rumah mengelilingi mangkuk tandas. Aku yang berdiri di hadapan pintu tandas hanya terpaku bertentang mata dengan syaitan-syaitan tersebut. Mata-mata merah menyala bagai menghantar mesej ke otakku masa itu untuk ‘mendiamkan diri dan meneruskan aktiviti alam manusia’.
Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa aku melabelkan makhluk asing itu selaku syaitan. Sebenarnya tiada pengertian yang menyakinkan. Hanya atas sebab makhluk itu lepak dalam tandas sahaja. Aku macam pernah dengar syaitan sukakan tempat-tempat begitu. Maka daripada itulah aku sandarkan panggilan ‘Syaitan’ pada makhluk tersebut. Mudah.
Berbalik kepada dua orang pejalan kaki tadi. Walaupun aku tengah memandu kenderaan dengan agak laju, mereka tetap melintas jalan dengan selamba. Aku sempat memberhentikan kenderaan sebelum terlanggar dua orang pejalan kaki itu. Berdiri di tengah jalan, pandangan dilontar ke arahku.
Tajam. Betul-betul tajam.
Biarpun mata nya hitam dan tidak merah seperti dalam memoriku, kepedihan pada pandangan yang dilontar adalah sama. Namun yang berbeza adalah mesej dalam renungan itu.
‘Kami hanya mengingatkan kamu yang kami masih wujud dan akan terus mengekorimu’
Setelah menyampaikan mesej tersebut, mereka terus berlari ke dalam semak di tepi jalan lantas hilang dari pandangan. Bunyian hon kereta dari belakang menyedarkan aku dari terus terpaku di situ. Aku meneruskan perjalanan balik ke rumah. Walaupun ‘ditusuk’ pandangan tajam terbabit, hati aku tidak gentar. Bagaikan angin bayu malam yang bertiup, menyapa wajah dan pergi. Tiada kesan langsung pada jiwaku.
Apabila aku tiba di rumah, senja sudah lama berlalu. Aku memarkir kereta dan menghidupkan lampu pada halaman rumah. Tiada sesiapa pun ada di rumah buat masa ini. Hanya aku. Setelah membuka mangga kunci rumah, aku memutar tombol pintu dan melangkah perlahan ke dalam rumah. Tangan kiriku meraba-raba mencari suis lampu utama.
Apa yang menanti ku di dalam gelap adalah sekumpulan syaitan terbabit. 6 ekor kesemuanya. Sekali lagi aku terpaku. Pandangan tajam mereka bagai ingin menghiris-hiris kulitku. Pedih. Mata merah menyala penuh kemarahan.
Apa yang ganjil kali ini adalah salah satu daripada syaitan terbabit sedang berdiri sambil memegang cermin panjang yang dihalakan ke arah aku. Seingat aku, tiada cermin panjang sebegini dalam rumahku. Jadi semestinya syaitan-syaitan ini yang membawanya. Apakah motif syaitan-syaitan ini kali ini? Setelah 23 tahun menghilangkan diri daripada hidupku, mengapa harus sekarang? Ah, persoalan-persoalan yang tiada jawapannya.
Apa yang aku nampak dalam cermin adalah refleksi bayangku. Bermata merah, berkulit kelabu dan tidak bermulut dan berhidung. Aku adalah mereka. Mereka adalah aku. Pandangan mata yang tajam itu kali ini menghantar mesej lain pula.
“Selamat datang ke dunia”
No comments:
Post a Comment