Thursday, May 9, 2013

Cerita Bohong Untuk Rakyat Jelata Fasal 1

Bismillahirrahmanirrahim, alhamdulillahi rabbil alamin, wassolatu wassalamu ala sayyidina Muhammad wa ala alihi minal bait il-mutahharah, wa asyhadu an la ilaha illallah wahdahu la syarikalahu wa asyhadu anna Muhammad rasulullah wa asyhadu an Aliyyan waliyullah wa hujjatullah. Allahumma solli wa sallim wa barik ala sayyidil mursalin wa khairil bashar, ila yaumiddin. Amma ba'du.

Adapun hamba ini hanya seorang penglipur lara yang kerjanya menceritakan perihal ceritera dan hikayat yang disebut-sebut oleh orang dahulu kala, dan dengan rahmat Tuhan yang Maha Esa, dengan berkat Islam agama Nabi kita, dan dengan kemuliaan darah sayyid al-syuhada Hussein cucu baginda Muhammad yang mana hamba bernaung di bawah panji hijaunya selaku Syiah baginda ayahandanya Ali karamallahu wajhah, khalifah terakhir dan imam semua umat Islam yang mengaku akan wilayah dan daulat imamiyyah baginda, hamba dapat merasa nikmat Islam dan Iman serta merasai hidup di alam ini dengan mencari rezeki sebagai seorang penglipur lara.

Lalu, hamba ingin sekali menceritakan perihal sebuah kisah yang penuh dengan ayat-ayat kekuasaan dan kesaktian Allah dalam menjalankan hukum karmanya di dunia. Sebuah kisah yang diberi dengan nama 'Safarnama-e-Pehlivan' dalam bahasa aslinya Farsi atau boleh jua ditakrifkan dengan gelar 'Perkelanaan Seorang Pahlawan' dalam bahasa yang lebih biasa kita gunakan.  Barangkali dalam kalangan yang mendengari akan perihal cerita ini ada yang sudah mengetahui segala selok-belok serta pengakhiran babad ini. Namun hamba merasakan tidak ada salahnya kita semua menelusuri semula babad ini, mana tahu dengan berkat Imam Hussein yang dipenggal kepalanya di tanah suci Karbala kita dapat mengambil pelajaran yang baharu dari mendengar semula babad ini.

Sebermula, pada abad-abad ketika para dewata masih merajalela di mukabumi, maka diperanakkanlah seorang laki-laki dari sebuah keluarga petani di sebuah pekan yang diberi nama oleh orang ramai dengan panggilan Kampung Merpati Putih, dan bayi laki-laki itu diberikanlah dengan asma yang molek oleh kedua-dua ibu bapanya yang amat girang hatinya oleh karuniaan Allah Taala, dengan nama Bujang.

Adapun Kampung Merpati Putih ini berada di bawah jajahan takluk Maharaja Seri Arjuna Sari yang memerintah dengan kuku besi akan kerajaannya yang diberi gelar dengan asma Seridharmaputra dan bernegaralah ia di sebuah mahakota bernama Seripura. Kerajaan ini luas wilayah jajahannya dari timur hingga ke barat dan segala empat penjuru dunia yang dihuni oleh para manusia dan juga para jin serta dewata. Maharaja Seri Arjuna Sari ini menurut ceriteranya punya kesaktian yang luar biasa, bahkan ada yang menghisab bahawa kesaktiannya lebih dari para dewata yang menghuni segenap pelosok loka tempat segala  manusia bertani dan berniaga.

Dengan segala saktinya baginda Maharaja Seri Arjuna Sari itu, baginda mempunyai seorang puteri yang amat cantik, dinamakan oleh baginda dengan gelar Seri Puteri Daeng Seriraktawarna. Adapun kisah Seri Puteri Daeng Seriraktawarna ini, diputerikan sahaja oleh ibundanya Dewi Apsaralalita lantas wafatlah ibundanya, lalu Seri Puteri ini diberikanlah oleh ayahandanya dengan kasih sayang yang tiada belah bahagi ibarat menatang minyak yang penuh. Dan dengan lahirnya Seri Puteri, maka kuranglah amarah dan kuku besi baginda Maharaja dalam mentadbir wilayahnya, kerana dikenangkan oleh baginda akan barangkali wafatnya permaisuri Dewi Apsaralalita yang cantik secantik namanya itu adalah kerana hukum karma dan dharma Allah Taala yang mengaturkan bahawa tiap-tiap yang buruk itu akan mendatangkan sesuatu yang buruk. Dan dengan keinsafan paduka seri Maharaja maka Seridharmaputra pun bertambah eloklah akan keadaan negerinya, dan rakyat jelata pun bersukahatilah dengan Seri Puteri yang mewarisi kecantikan seri rupa ibundanya.

Syahdan, walau betapa saktinya sesuatu makhluk yang bernyawa itu, hatta dewata pun harus mengecapi matinya, kerana Allah Taala sudah berfirman dengan kalimat sucinya, 'kul nafsin za'iqatul maut;' begitu jua dengan baginda Maharaja Seri Arjuna Sari, yang kian meningkat tua. Demi menyedari akan hakikat baginda semakin meningkat tua dan kian bertambah gering, maka dipanggillah baginda akan segala mahamenteri dan pembesar-pembesar dari segenap pelosok wilayah jajahan baginda.

-bersambung-

No comments:

Post a Comment