Saturday, March 8, 2014

Sesudah Purnama Lena

Berkain pelikat, berkipaskan angin dari luar tingkap dan duduk di atas kerusi malas. Tangan kiri memegang telefon bimbit pintar dengan jari telunjuk kanan ligat digerakkan pada skrin monitor kecil. Permainan digital. Tanpa baju, tubuh kurus keringnya menampakkan parut di dada yang terserlah kemerahan di antara keperangan sawo matang kulit. Jika diperhatikan persekitaran halaman ruang tamu, objek-objek yang ada hanyalah sebuah televisyen yang diletakkan di atas sebuah kabinet setinggi paras lutut dan sebidang tilam tipis tidak berlapik cadar serta bantal bogel.

Bunyian penggera kereta kedengaran daripada tingkat bawah yang menempatkan parkir. Rimas mendengar bunyi bising konsisten, lelaki berpelikat hijau itu mula mengatur langkah mengambil topi keledar di dalam bilik. Kekal tidak berpakaian, dengan kain pelekat hijau yang kadangkala terlondeh, lelaki itu membuka pintu masuk ke rumah dengan kasar dan menapak keluar dengan selipur jepun melapik tapak kaki. Sasarannya adalah kereta itu, yang menghadirkan rasa rimas dan jelek dengan bunyian penggera yang memekakkan. Kereta itu harus disenyapkan, biar dengan apa cara sekalipun. Amarah menguasai jiwa, dan tiada sesiapapun yang dapat menghalangnya.

Berbalik kepada ruang tamu rumah yang ditinggalkan lelaki berpelikat hijau itu sebentar tadi. Setelah lelaki itu keluar, televisyen hidup dengan sendirinya, memancarkan garis-garis putih yang kabur-kabur diuliti piksel-piksel kelabu dan majoritinya multiwarna sehinggakan tiada sebarang tafsiran yang boleh dibuat akan imej yang terpapar. Hakikatnya, televisyen itu hanya bernyawa dengan sendirinya, tanpa maksud untuk menjelaskan makna pada paparan. Tanpa penonton, paparan tidak perlukan makna. Sepertimana tanpa ciptaan, kewujudan pencipta tidak bererti.

Namun televisyen itu bukanlah satu-satunya objek yang hidup dengan sendirinya, bahkan lantai tidak berlapik itu juga bagaikan bernyawa. Jubin-jubin segiempat tepat yang teratur susunannya menampakkan pergerakan satu objek yang lutsinar sifatnya, namun alunan bentuknya mendistorsi garis-garis lurus yang dibentuk aturan jubin-jubin putih itu tadi.

Alur bentuknya mula tampak jelas tatkala objek itu bangun daripada lantai jubin itu. Terdapat pergerakan pada alur bentuk yang akhirnya menampakkan sifat manusia yang begitu jelas. Daripada bentuk kepala yang gondol dan lutsinar itu terbentuklah rambut hitam lebat dan juga kulit perang sawo matang. Tubuhnya kurus kering juga seperti tuan rumah itu, dengan peniruan seratus peratus. Tekstur tubuhnya dan juga pemakaiannya serupa. Kain pelikat hijau membaluti tubuh dari bahagian bawah pusat hingga ke buku lali. Peniru itu mula duduk di atas kerusi malas dan menghidupkan telefon bimbit yang dikutip dari lantai. Jari jemarinya ligat bergerak menggunakan aplikasi-aplikasi digital pada telefon bimbit itu. Tidaklah diketahui apa yang dicarinya dalam alam maya itu, persoalan pokoknya, adakah peniru ini seorang manusia?

Secara fizikalnya, dia adalah manusia juga, seperti mana induk yang ditiru sepenuhnya. Maka, semasa tangannya ligat memutar-mutar aplikasi di telefon bimbit itu, apakah yang terjadi kepada tuan empunya badan asal?

Bunyi penggera kereta bagai mengejek-ejek diri yang mendengar. Terketar-ketar tangannya yang panjang dan tirus itu menggenggam bucu topi keledar menahan amarah. Ruangan parkir tingkat bawah dipenuhi deretan kereta-kereta dengan beberapa buah disusun berpasangan di beberapa ruang parkir. Tidak kurang juga ada kereta yang diparkir menghalang kereta yang terparkir dengan betul. Tempat ini sesak. Mencari parkir tatkala senja tidur adalah sejenis neraka. Neraka buat mereka yang baru balik daripada kerja yang memenatkan. Perjalanan yang memenatkan.

Perjalanan menuruni anak tangga daripada tingkat rumahnya di aras tiga tidak sepenat perjalanan balik daripada kerja yang mengharung situasi pemandu kurang ajar, jalan raya berbayar yang sesak dan juga minyak kenderaan yang sentiasa berkurangan. Namun sesudah mengharungi perjalanan balik daripada kerja itu, apa yang diingini hanyalah ketenangan. Syurga malam hari. Dan syurga itu diranapkan oleh sebuah kereta yang rosak penggeranya.

Kesabaran juga ada batasnya.

Daripada bunyi yang terkadang cepat dan laju, dapatlah diketahui terdapat seseorang mengawal penggera dari jauh. Barangkali ada anak kecil pemilik tuan kereta yang sedang bermain penggera. Namun itu tidak penting. Penggera yang berbunyi harus disenyapkan. Plat nombornya kelihatan baru, dengan huruf W memulai empat angka yang disudahi dengan huruf A. Kereta Perodua MyVi berwarna merah. Berkilat badannya. Dan hari ini, kemegahan kereta baru itu akan lenyap.

Tanpa mengawal amarah di hati, topi keledar di tangan terus dicampak semahu-mahunya ke arah cermin depan kereta. Balingan yang kuat dan padu memecahkan serta-merta cermin yang berserakan serpihannya ke dalam ruang pemanduan kereta. Penggera yang tidak konsisten semakin galak bunyinya menambahkan lagi panas baran di jiwa. Bonet enjin didaki dan tanpa menghiraukan mata-mata yang melihat daripada bangunan di kiri dan kanan, dia mula melompat seperti kera. Bonet logam tipis itu mula remuk dengan beban tubuhnya. Sesudah lelah melompat, dia mencangkung pula di atas bonet itu, lalu menghulurkan tangannya ke bahagian pemanduan yang togel tidak tertutup untuk mendapatkan kembali topi keledar miliknya.

Tiada sesiapa pun yang turun untuk menghalang perbuatannya. Mereka-mereka yang melihat dari tingkap hanya terus memerhati dan tidak kurang juga yang merakam perbuatannya itu dengan telefon bimbit di tangan. Entah apa yang akan diperbuat dengan rakaman itu nanti. Alam maya bersedia menanti video perbuatannya itu untuk disebarkan sejauh-jauhnya ke pelusuk pancaindera masyarakat. Salah seorang daripada tukang rakam itu adalah peniru nya tadi, yang kini berdiri di hadapan tingkap sambil merakam sepenuhnya butir-butir perbuatannya itu.

Bunyian penggera masih tidak padam juga. Penat sudah didaki bonet itu, rasionalnya adalah mematikan terus bateri kereta itu untuk memadamkan bunyi. Beralih sudah kedudukannya daripada bonet. Kini cermin sisi kereta pula menjadi sasaran. Sepertimana tadi juga, satu hentakan sudah mampu memecahkan cermin kereta itu. Perlahan-lahan tombol kunci di sisi tingkap diselak, dan semudah itulah dia membuka pintu kereta lalu duduk di atas kerusi empuk dipenuhi derai-derai kaca.
Dia tidak peduli. Dia nekad.

Butang bonet enjin ditarik. Lalu dia bergegas ke hadapan bonet itu dan membuka penutup enjin. Di kelam malam itu, bertemankan cahaya daripada lampu jalan yang samar-samar, kabel wayar ke kotak bateri ditanggalkan daripada rodnya. Sejurus itu jugalah penggera kereta senyap. Nafas ditarik dalam-dalam. Amarah menyusut diganti lelah. Satu bunyian klik kedengaran daripada belakang.

“Kau dah rosakkan kereta aku, mati lah padahnya”

Tanpa sempat bertindak balas, tembakan dilepaskan. Bertalu-talu sebanyak 5 das. Pistol apakah itu sehingga dapat melepaskan tembakan 5 das bertalu-talu? Itu tidak penting, soal pokoknya, tembakan tempat dari belakang kepala itu telah menghancurkan wajahnya sepenuhnya.

Darah berhamburan, nyawa turut melayang. Mudah sungguh.

Sepertimana tadi juga, tiada sesiapa yang turun membantu. Mereka melihat dan merakam segala butir-butir kejadian vandalisma dan pembunuhan itu dengan gigih. Adakah ketakutan yang menghantui mereka? Tidak, mereka tidak takut. Mereka hanya obses melihat kekejaman di hadapan mata. Kekejaman manusia adalah hiburan yang dicari sepanjang masa. Disusuli dengan hipokrasi yang berulam ayat-ayat berbaur jelek.

Ya, di mana polis? Tanpa pelapornya, tiada polis yang akan datang menyelesaikan jenayah. Di mana Rukun Tetangga? Oh, semangat kejiranan juga tidak wujud di perumahan ini. Kau dengan cara aku, engkau dengan cara engkau. Aku tak kacau kau, kau jangan sibuk kacau aku. Apa? Tolong-menolong kata mu? Argh, aku hanya nak tahu hal aku sebab nak bergosip. Begitulah suasana mereka yang berjiran tetapi tidak berkenal-kenalan. Hidup penuh syak wasangka.

Lelaki yang melepaskan tembakan itu tubuhnya kecil sahaja namun tegap, dan ototnya berketul-ketul dengan tatu di lengan kiri. Tatu apa tidak dapat dipastikan, yang kelihatan adalah panjangnya yang melingkari kulit daripada bahu sehingga ke pergelangan tangan. Singlet putih yang dikenakan ada percikan darah. Hodoh sungguh keadaan mangsa yang terkorban itu. Tubuh yang kurus keding, tidak berbaju, muka pecah berhamburan isinya, dengan posisi mengangkang tatkala tubuh rebah di atas enjin kereta yang dingin menghadirkan perasaan yang aneh. Ada lelucon di balik kengerian.

Penembak itu menyimpan pistolnya di sisi pinggang yang punya karung penyimpanan pistol dililit melingkari seluar pendek hijau paras lutut. Kereta MyVi itu sudah jahanam dan dia tidak berminat untuk memperbaiki kereta yang sudah dijahanamkan. Membaiki kereta yang sudah pernah rosak adalah seperti mencantumkan kaca yang pernah pecah. Ia boleh disatukan semula dengan gam, namun rasanya pasti tidak serupa. Begitu jugalah dengan kereta.

Bonet penyimpanan barang di belakang kereta dibuka. Dua botol minyak petrol dibawa keluar. Penutup dibuka lalu minyak petrol itu dicurahkan ke atas mayat lelaki kurus keding yang baring terkangkang di atas enjin kereta. Malam ini, tanpa purnama, adalah malam sepi buatnya.

Pemetik api dihidupkan apinya lalu dicampakkan ke atas mayat itu. Lelaki itu berlari laju meninggalkan tempat itu dan tidak lama selepas itu satu letupan yang kuat memecah kesepian malam tanpa purnama itu. Beberapa jeritan ketakutan daripada rumah-rumah berdekatan turut merencahi kaotik malam pembunuhan itu. Kereta MyVi dan mayat kini disambar api. Lelaki itu tertawa bangga dengan perbuatannya itu.

Kita putarkan sudut kamera yang memantau peristiwa pembunuhan dan pembakaran itu ke belakang. Dongakkan lalu diperbesarkan resolusinya. Dan apa yang berada di depan mata adalah, peniru kepada mayat tadi, yang masih gigih merakam segala bentuk kejadian dalam telefon bimbit milik mangsa pembunuhan. Wajahnya bersahaja, tidak memaparkan emosi sedih melainkan gembira semata-mata. Gembira barangkalinya, kerana kewujudannya di dunia itu selaku peniru bakal diiktiraf. Teringin rasa hatinya untuk melihat wajah pembunuh tadi tatkala dirinya memunculkan diri di hadapan pembunuh itu. Adakah pistol akan dibidik? Ataupun lelaki itu akan lari lintang pukang? Harus diingatkan seseorang yang telah mati tidak akan bangkit semula. Yang bangkit semula hanyalah hantu. Hantu punya reputasi selaku penganugerah ketakutan kepada hati yang berani. Maka , ini meletakkan statusnya selaku hantu kepada orang yang dibunuh itu tadi.

Peniru itu melangkah masuk ke dalam bilik. Seluar jeans yang tergantung pada paku dinding diturunkan lalu disarung pada kaki yang masih dibaluti kain pelekat hijau. Perlahan-lahan kain pelekat hijau itu ditanggalkan sesudah kakinya bersarung sepenuhnya dengan jeans. Setelah kain pelekat hijau ditanggalkan sepenuhnya, butang kancing pinggang ditemukan dan zip seluar ditarik mengatup kelangkang dari pandangan. Baju T-Shirt biru tidak berkolar yang kosong tanpa corak dikenakan. Sambil tangan memegang sikat, wajahnya diteliti pada cermin. Pembalikan imej wajah tiruannya itu menghadirkan rasa megah. Teknologi kini begitu canggih. Tiada siapa pun yang akan mati di dunia itu. Yang mati hanyalah fizikal. Fizikal yang boleh dijana kembali kewujudan. Maka itu adalah makna kehidupannya di situ.

Rambut dilumur minyak Brylcream. Lalu disikat perlahan-lahan. Malam masih panjang fikirnya. Minyak wangi disembur ke bawah ketiak dan keseluruh tubuh. Sesudah kemas dirasakan penampilannya itu, dia melangkah keluar dari rumah dan menuruni anak tangga. Daripada anak tangga itu dapat dilihat asap berkepul-kepul naik daripada bangkai kereta dan juga mayat. Lelaki yang memegang pistol berlutut di atas lantai tar seolah-olah menyesali dengan apa yang dibuatnya. Genggaman pada pistol melonggar. Dia langsung tidak menyedari kerumunan manusia sedang menghampiri. Ya, mereka hanya mahu melihat lebih dekat akan kematian yang berlaku di depan mata. Mereka mahu menanamkan imej kematian itu ke dalam bahagian separa aktif otak agar mereka tidak berbuat kejahatan yang serupa. Antara kelompok yang mengelilingi kawasan kejadian itu, seorang lelaki lengkap dengan jeans dan baju T-Shirt kosong berwarna biru menghampiri.

“Syabas, bro. Sebab dah bunuh orang panas baran tu. Aku sapot kau”

Lelaki pembunuh itu memalingkan wajahnya. Terima kasih pada suasana malam yang kelam, dia lupa bahawa mangsa yang dibunuh dengan lelaki yang baru muncul ini punya wajah yang serupa.

“Kau pun fikir begitu ek? Aku rasa bersalah”

“Kenapa pula? Engkau baru saja menegakkan keadilan ke atas diri kau sendiri. Kereta itu milik engkau bukan? Bagiku engkau adalah seorang yang mulia kerana berani bertindak membantah penindasan ke atas diri kau itu”

“Tapi, tapi... aku.. dah bunuh.. orang!”

“Apa salahnya bunuh orang yang tidak membawa sebarang faedah kepada masyarakat? Tidak semua berani membunuh seperti engkau. Engkau harus bangga dengan diri kau sendiri”

“Hei! Aku dah bunuh orang! Itu bukan sesuatu yang bagus kau tahu tak?!! Kau ni siapa?!”

Lelaki berbaju biru itu mula tunduk dan mendekatkan wajahnya kepada lelaki pembunuh itu. Perlahan saja suaranya berbisik disulami senyuman sinis di bibir.

“Aku Iblis”

Terketar ketakutan. Lelaki pembunuh itu bagai hilang segala kekuatan dan keberaniannya sebentar tadi. Manusia punya ketakutan yang tersimpan dalam kekuatannya. ‘Kuat’ dan ‘takut’ punya asal yang sama iaitu hasil daripada kombinasi huruf-huruf ‘K’, ‘A’, ‘U’ dan ‘T’. Ironinya mereka yang takut boleh menjadi kuat tatkala diancam dan juga sebaliknya. Adakah lelaki pembunuh akan dikelubungi ketakutan selamanya? Ataupun kekuatan akan menjelma lagi?

Kekuatan kembali menjelma, menenggelamkan ketakutan yang melanda. Laras muncung pistol dihalakan ke wajah lelaki yang mengaku dirinya ‘Iblis’ itu. Namun lelaki ‘Iblis’ itu hanya tersenyum sinis dan tidak memaparkan ketakutan pada wajahnya langsung. Tanpa berfikir panjang, tembakan dilepaskan. Wajah ‘Iblis’ pecah dari paras hidung hingga ke dahi menyeruakkan tulang-temulang dan daging yang dibaluti tengkorak dan kulit. Namun lelaki ‘Iblis’ itu tidak rebah. Bibirnya yang dilumuri darah mula bergerak dan menuturkan kata-kata berikut:

“Aku tidak akan mati seperti juga engkau. Kau tahu kau di mana sekarang? Engkau berada di neraka”

NERAKA.

Adakah benar mereka berada di neraka? Mungkin ada hakikatnya. Dunia yang dihuni manusia itu sudah tiada erti kemanusiaan di kalangan manusia. Mereka menciptakan neraka untuk diri mereka sendiri di dunia dengan kejelekan nafsu dan akal mereka.
Ketakutan kembali menyelubungi lelaki pembunuh itu. Tembakan dilepaskan bertalu-talu namun nyata lelaki ‘Iblis’ itu nyawanya tetap utuh biarpun dagingnya berhamburan dengan darah membasahi persekitaran. Kerumunan manusia-manusia semakin ramai dan wajah-wajah mereka tidak memaparkan sebarang emosi akan kejadian yang disaksi.
Laras muncung pistol dihalakan ke dalam mulutnya sendiri. Jika benar ini adalah neraka, maka dia nekad untuk meninggalkan tempat itu. Picu ditekan.

Gelap.

Seketika.

Bunyian penggera kenderaan kedengaran nyaring memecah kesunyian malam. Matanya terbuka luas. Dia sedar akan asal bunyi itu. Bunyi kenderaan Perodua MyVi miliknya. Dirinya kini berada di atas tilam biliknya sendiri. Sepucuk pistol berada di sampingnya. Singlet putihnya dibasahi peluh. Mimpi ngeri tadi bagaikan begitu realistik. Perlahan-lahan tubuhnya diengsotkan ke tepi tingkap di sisi katil. Matanya bagaikan mahu terkeluar apabila melihat kelibat lelaki tidak berbaju dan berpelekat hijau sedang menjahanamkan kenderaannya. Amarah menyelubungi. Pistol dicapai. Namun bayangan imej dari mimpi ngeri kembali hadir dalam benak fikirannya.

“Aku tidak akan mati seperti juga engkau. Kau tahu kau di mana sekarang? Engkau berada di neraka”

Kata-kata Iblis itu berkumandang dalam benak fikirannya. Dia pasrah lalu terduduk di atas lantai jubin bilik yang dingin. Dia mengerti kini, dirinya berada dalam satu pusingan kehidupan. Suatu hukuman laksana dirinya berada neraka. Membunuh dan terus membunuh. Diakhiri dengan membunuh dirinya sendiri. Dan berulang selama-lamanya. Abadi.