Sunday, December 29, 2013

Gagak dan Merpati

Ada seekor gagak suka bertenggek di tiang elektrik di hadapan sebuah rumah. Rumah itu dimiliki seorang kaya yang hobi nya memelihara binatang-binatang dari hampir seluruh pelusuk dunia. Sebuah zoo mini. Gagak suka melihat kerenah binatang-binatang yang terkurung di dalam zoo mini tersebut.

‘Aku bebas. Aku bersyukur pada Tuhan.”

Itulah bicara hati si gagak tatkala melihat binatang-binatang yang terkurung. Namun begitu tidak semua binatang-binatang tersebut sedih. Ada yang tetap meneruskan hidup tanpa rungutan. Makanan dibagi, minuman tak luak. Jadi tiada sebab untuk bersedih. Si gagak hanya memerhati dan cuba memahami. Kadang-kadang si gagak mencemburui binatang-binatang yang terkurung tersebut; makanan-makanan yang diberi adalah enak sungguh pada pandangan si gagak.

‘Adakah untuk mendapat makanan sebegitu aku harus dikurung juga?’

Kebebasan itu ada harganya. Kekangan itu juga ada harganya. Adakah utopia yang diimpikan boleh menjadi kenyataan? Aku mahu bebas, aku juga mahu makanan sedap terhidang tatkala aku menginginkan.

Mata si gagak liar melilau ke setiap penjuru zoo mini. Sesekali terdengar kicauan burung ciak rumah mengganggu perhatian si gagak.

‘Nak duduk dalam sangkar ke, gagak?’

Tanya si ciak rumah dengan nada mengejek.

‘Bodohlah kau, aku tak nak hidup tak bermakna macam mereka itu. Kau nak aku hentam ke? Meh sini, aku ‘hantar’ kau ke bawah sana’
Tingkah si gagak dengan nada mengugut.

Si ciak rumah terus terbang pergi, ketakutan.

Si gagak terus bertenggek, berteriak dan memerhati.

‘Tolong aku’ satu suara kecil sayup kedengaran.

Si gagak melilau ke persekitaran mencari sumber suara kecil itu.

Seekor burung merpati putih yang cantik bersih bulu nya sedang memerhati si gagak dari dalam sangkar. Jika dilihat dari luarannya, si merpati putih kelihatan sihat dan segar bugar. Tidak seperti gagak yang kurus hitam dan kekurangan zat.
‘Tolong aku, gagak hitam’ si merpati putih merayu.

‘Bagaimanakah pertolongan yang dimaksudkan kamu itu, sang merpati?’ tanya si gagak.
‘Tolong bebaskan anak-anak aku dari sangkar sebelah’

Gagak menggelengkan kepala.

‘Mengapa kau boleh berfikir begitu? Maksud aku, apa yang buatkan kau berfikir yang aku boleh membantu engkau? Aku juga seperti engkau, punya sayap, punya kaki dan punya paruh. Kudratku seperti engkau juga. Bagaimanalah aku hendak memecah masuk ke sangkar itu? Aku tidak berdaya wahai merpati putih”

Merpati putih menundukkan kepala. Jelaslah baginya sang gagak hitam tidak mahu membantunya menyelamatkan anak-anak nya. Namun begitu merpati putih tidak berputus asa. Kebebasan punya harga yang tinggi. Harga yang tinggi itulah pengorbanan. Satu pengorbanan amat diperlukan. Merpati putih terus berfikir.

“Jangan risau akan hal itu, gagak hitam. Aku hanya memerlukan pertolonganmu untuk mendapatkan sejambak kunci yang tergantung di sebelah sangkar aku ini. Kau hanya perlu mengambil sejambak kunci tersebut dan melontarkan kepada aku di sangkar ini. Setelah itu, kau boleh lah terus pergi menyambung kebebasanmu” ujar merpati putih.

Gagak melilau memerhati sejambak kunci yang dimaksudkan itu. Terlalu mudah baginya untuk melaksanakan tugas itu. Setelah membuat pemerhatian ke persekitaran, sang gagak terus meluru ke dalam kawasan rumah. Tiada manusia, tiada anjing penjaga, ini terlalu mudah. Sang gagak menguatkan tekad. Kebebasan adalah milik semua. Hari ini sang gagak adalah hero. Namanya akan dikenali di kalangan burung-burung urban selaku hero kebebasan.

Setiap mata memerhati tingkah laku gagak. Mata sedih, mata kebencian, mata mengejek, mata kegembiraan. Pelbagai jenis emosi dipaparkan hanya melalui mata-mata yang melihat. Sang gagak tidak memperdulikan mata-mata yang melihat itu. Hari ini dia adalah hero. Dia adalah simbol kebebasan. Dia harus bertindak.

Sejambak kunci kini berada di cengkaman paruh gagak hitam. Berat jambakan kunci itu menyukarkan gagak untuk terbang. Tanpa berputus asa, sang gagak melompat-lompat menuju ke sangkar merpati putih.

Terkial-kial sang gagak cuba membuka kunci sangkar. Akhirnya dia menyedari satu fakta penting: Dia tidak tahu bagaimana menggunakan kunci tersebut. Kedengaran salakan anjing dari jauh yang semakin dekat dirasai getarannya. Kebuntuan. Panik. Sang gagak melontar jambakan kunci terbabit dari paruhnya ke arah sangkar sang merpati lantas menebarkan sayapnya lalu terbang pergi.
Hero? Tiada lagi.

Kemegahan. Hanya cercaan.

Sang gagak terbang pergi. Cercaan, kemegahan, hero?. Oh, sang gagak tidak perlukan semua itu. Kebebasan adalah begitu mahal harganya. Untuk kebebasan, kemegahan sanggup dipinggirkan. Itulah harga kebebasan bagi sang gagak hitam.

Tuesday, December 24, 2013

Aku Tuhan Hujan

Titis-titis hujan yang turun membasahi bumi dan segala bentuk konkrit yang diacu pelbagai rupa. Aku memilih untuk terus berdiri di dalam kuluman hujan membaham kaki dengan lumpuran. Alam ini bukan milik manusia untuk terus-menerus dijarah dan diperubah mengikut nafsu dan ego. Bersalutkan akal yang bijaksana, anugerah Tuhan yang kejap ada, kejap tiada dalam hati mereka, bumi sudah tidak berakar hidupnya. Menunggu ajal, mendakap uzur.

“Abang buat apa ni? Berdiri dalam hujan”

Aku memilih untuk berdiam diri. Menjawab soal akan menggagalkan meditasi. Aku mahu bersatu dengan alam sekali-sekala. Merasai galau di dalam liang-liang tanah. Merasai asid yang bersatu dalam titis-titis hujan, merusuh hemoglobin dan natrium dalam badan. Hipertemia. Aku mula berpusing setempat. Mataku pejam menikmati dingin air hujan yang membasahi helai-helai rambut. Telingaku kedap bunyinya dengan air hujan yang mengatup rongga pintu ke gegendang. Hidungku kembang kuncup mengulir nafas yang beralunan dari ombak paru-paru.

Kecoh-kecoh manusia menggulir suara multi tona menusuk telinga. Aku tahu kini manusia pelbagai usia telah memenuhi ruang depan. Suara-suara rungutan amat jelas kedengaran. Orang tua, orang muda, kanak-kanak, lelaki, wanita. Ulah aku memang ganjil agaknya pada mata mereka. Usah risau, keganjilan masih banyak lagi, oh manusia.

Aku bermunajat kepada Tuhan memohon keajaiban. Hari ini aku adalah pawang hujan. Namun magisku akan aku kembangkan pada hikmat yang lain. Kelainan dari norma-norma asal hidup. Manusia sukakan kelainan. Kebosanan adalah penyakit jiwa mereka yang harus aku ubati hari ini.

Turunlah butir-butir kertas
Turunlah butir-butir logam
Ke bumi, ke dakapan
Insan yang dahaga dunia


Aku ulang berkali-kali mantera itu. Doa kepada Tuhan. Mungkin kepada syaitan. Mungkin juga kepada dewa ataupun dewi. Namun aku tahu, sang penunai pinta tidak pernah menghampakan aku walau sekalipun.

Seratus ringgit, lima ratus ringgit, ribuan ringgit, jutaan ringgit.

Tiada lagi air menitis dari gumpulan awan hitam. Hanya keping-keping kertas yang turun membanjiri bumi dengan kekalutan timbunan kertas-kertas beraneka warna. Kejadian itu membuatkan aku dikelilingi oleh manusia-manusia rakus. Ada yang membuka pakaian lalu menadahkan pakaian selebar mungkin untuk mengatup wang-wang kertas yang berguguran dari langit. Ada yang bertelanjang menari-nari kegirangan mencium bau wang yang gugur. Ada yang berbunuh-bunuhan hanya kerana gusar wang yang gugur itu akan habis dikutip oleh orang lain. Apa itu maruah? Apa itu malu segan? Aku hanya mampu mengukir senyuman melihatkan telatah manusia-manusia itu.

Aku mula mengapungkan diri. Menginjak udara yang tidak pejal, menendang pergi kertas-kertas multiwarna dari radius tubuh. Aku mahu terbang setinggi yang mungkin. Aku mahu lihat kegilaan globalis mengumpul wang ringgit yang berhamburan dari langit. Mataku melilau melihat kerumunan manusia yang begitu dahaga. Begitu lapar. Begitu buas. Wang ringgit cukup untuk merubah segala-galanya.

Pembesar suara di tangan. Aku acukan pada manusia-manusia yang gigih mengutip wang. Aku tarik nafas sedalam-dalamnya. Aku luahkan bicara berupa arahan. Mereka kini boneka. Wang ringgit yang ditabur adalah tali-temalinya.

“Selamat pagi, tuan-tuan dan puan-puan sekalian! Hari ini adalah hari paling bertuah buat kita kerana dianugerahi nikmat daripada Pencipta. Gunakanlah wang ringgit yang ditaburkan itu untuk tujuan yang baik. Usahlah kita bersengketa dan majukanlah kehidupan masing-masing untuk masa depan yang lebih cerah!”

Maaf, tempikan demi tempikan itu tidak mengundang reaksi langsung daripada manusia-manusia itu. Mereka begitu gigih mengutip wang-wang yang bertaburan daripada langit. Tolak-menolak, rempuh-merempuh, dan tidak kurang juga yang gilis-mengilis menggunakan kenderaan. Manusia sudah begitu teruk. Aku hanya mampu menggeleng kepala.

Turunlah butir-butir kerikil
Turunlah butir-butir bisa
Ke bumi, ke dakapan
Insan yang dahaga dunia

Mereka nampak batu-batu kerikil jatuh dari langit, namun mereka tidak lari. Mereka nampak titis-titis hujan warna ungu, namun mereka tidak lari. Mereka gigih mengutip wang ringgit yang masih menimbun di muka tar jalan, muka konkrit, muka rumput dan muka besi. Mereka tidak takut mati. Oh, mereka sebenarnya tidak sedar akan kematian yang menjengah. Mereka hanya tahu mati. Mereka tidak tahu bila akan mati.

Aku menapak ke bumi lalu mengatur larian kencang. Tempat perteduhan dicari di balik kerumunan manusia-manusia yang alpa dan leka menguntum kemewahan segera dari langit. Tanpa disedari, ada kebahayaan menghadir dan menyusuli. Aku kini duduk di sebuah kedai runcit yang lengang orangnya, penuh barang jualannya. Aku memerhati sahaja dari jauh akan ulah manusia yang semakin lama menjengkelkan hati itu.

Titis-titis hujan asid ungu membaham kulit mereka, mencairkan apa yang pejal, meresap segenap rongga yang ada dan merungkai ikatan partikel-partikel yang membentuk sifat zahir seorang manusia. Batu-batu kerikil pula menghentam saraf-saraf kesakitan yang memberitahu otak-otak mereka yang turut melumat itu akan makna kesengsaraan mutlak.

“Ini NERAKA! Ini SEKSAAN! Ini HUKUMAN!”

Itu bahasa batu-batu kerikil dan titis-titis hujan asid ungu. Tiada sesiapa pun sempat berlindung diri di mana-mana tempat perteduhan berdekatan tatkala setitis hujan asid ungu itu menyentuh secubit kulit. Mereka lumpuh, menggelupur, mencair dan mendebu. Rintihan-rintihan kesakitan bersahut-sahutan dengan desibel-desibel beraneka aras. Aku mendepangkan kedua-dua belah tapak tangan lalu mengatup telinga. Aku hanya melaksana tugas negara semata. Aku pelaksana genosaid atas arahan golongan diktator yang mencengkam kapitalisma kemas di tangan-tangan mereka. Aku mengira waktu. Aku menatap putar jarum minit dan saat di heksagonal logam bertali di pergelangan tangan kiriku. Aku punya masa tidak kurang daripada sepuluh minit. Ya, sepuluh minit untuk menamatkan genosaid besar-besaran yang dilaksana di depan mata.

Sepuluh minit adalah masa yang begitu lama. Aku boleh bahagikan kepada setiap minit itu 60 saat yang berharga. Ada sepuluh set ‘60 saat’ yang boleh aku lingkarkan aktiviti atau cetus fikiran. Aktiviti atau cetus fikiran itu pula semestinya termaktub pada visual ngeri di depan mata. Jantungku berdegup kencang. Terasa dingin meramas wajah. Pucat agaknya wajahku kini. Tubuh-tubuh yang mencair daging dan tulang mereka ini mengingatkan aku akan gula-gula manis yang terjemur di bawah terik matahari. Mereka masih bergerak. Itu yang memilukan hati. Sakaratul maut mereka begitu payah. Aku melihat bagaimana titis-titis hujan ungu bertukar menjadi air yang mengalir membawa bersama cebis-cebis kehidupan yang hilang ke dalam longkang-longkang berdekatan. Mudah sungguh manusia ini dihilangkan daripada kewujudan. Kuasa Tuhan. Manusia hanya bagai sebutir zarah yang boleh diubah-ubah.

Sinopsiskan minit-minit itu, oh Tuhan hujan.

Baiklah, ujarku.

Minit pertama apa yang aku buat? Aku masih menekup telinga, menghindari dengan sepenuh kudrat tapak tanganku untuk tidak mendengar akan penderitaaan manusia-manusia yang menggelupur mati di depan mataku. Untuk pengetahuan umum, mataku turut dipejam sama. Aku butakan mata dan pekakkan telinga daripada mendengar derita mereka angkara perbuatan aku tadi. Biar aku justifikasikan sekali lagi, perbuatan aku itu bukan disulami nawaitu individu yang bernama, aku, tetapi aku hanya melakukan perbuatan kejam itu atas arahan seseorang yang lebih berkuasa.

Minit kedua, aku mula membuka mata namun telinga masih dikatup rapat. Aku melihat bagaimana seorang kanak-kanak menangis air mata darah yang disusuli dengan bebola matanya mencair membasahi pipinya. Aku menggeletar melihat bagaimana seorang ibu berusaha untuk memayungkan anak kecil dari simbahan asid ungu dan hentaman batu-batu kerikil, hanya untuk hayat tambahan untuk masa sejenak lebih lama. Aku takut,serius aku memang takut.

Minit ketiga, aku memejamkan mata, melonggarkan katupan di telinga. Jeritan-jeritan kesakitan begitu mengilukan. Aku tidak mengerti, mengapa aku boleh membacakan mantera hukuman yang impaknya sebegitu dahsyat. Aku cuma ingat akan tujuan. Aku mahu menghukum. Semudah tiga ayat itu. Namun perincian hukuman itu dan kesannya langsung tidak singgah di benak fikiran aku sebelum ini.

Minit keempat, aku sudah mula belajar menerima makna kematian mereka itu. Mata mula melihat, telinga mula mendengar, degup jantung mula normal, kengerian menjadi kebiasaan. Aku sudah mula mengukir senyuman, aku sudah mula menganggap derita mereka itu permainan, aku sudah lupa akan maksud ‘harga diri manusia’. Mati mereka itu tidak berharga buatku. Aku sudah tiada sesal.

Minit kelima, tiada lagi bunyi jeritan kesakitan. Tiada lagi pergerakan. Apa yang terhampar luas di hadapan retina hanyalah gumpalan daging-daging busuk reput yang mula dihanyutkan oleh banjir-banjir asid ungu. Namun timbunan kertas-kertas wang ringgit masih utuh di tempatnya. Asid-asid ungu dan batu-batu kerikil bagaikan bersifat lapik osmosis yang mengasingkan cebis-cebis tanah dengan dunia. Cebis-cebis tanah itu sifatnya Adam, cebis-cebis dunia pula kapitalisma. Hanyut dibawa pergi daging-daging hancur manusia, meninggalkan wang ringgit yang direbut bertimbunan semula.

Minit keenam, matahari mula bersinar terik di langit tinggi. Hujan asid sudah berhenti merenyai. Kerikil-kerikil batu menguliti daging-daging yang hancur ke sistem saliran. Aku sudah berani menginjak kaki ke jalan-jalan bertar yang berbumbung langit togel. Udara segar cukup memberi aku nyawa. Aku mengatur langkah di atas cebis-cebis wang kertas yang menjadi rebutan manusia-manusia. Aku berasa sungguh gah.
Aku berhenti mengira waktu. Aku mula mengutip wang-wang kertas yang bertaburan lalu dikoyak satu persatu. Kutip dan terus mengutip. Apakah yang penting buatku? Misi aku sudah tamat. Dalam masa lima minit dari sekarang, watak utama permainan ini akan muncul. Tapi siapa? Aku sendiri masih tidak tahu.

Bunyi sepatu kayu mengetuk-getuk jalan tar. Suasana sunyi sepi membuatkan bunyi lagaan kayu dan tar begitu lantang. Cukup lantang untuk membuatkan aku mendongakkan kepala. Seorang wanita berkimono jingga dengan hiasan bunga kekwa di corakan kain mengatur langkah kecil dengan cermat sekali. Payung putih kertas yang berangkakan kayu ringan digenggam erat hulunya. Wajahnya tidak begitu jelas hanya aku tahu, kulitnya putih melepak. Redup bayang payung menutup raut wajahnya itu.

“Kenapa kau koyakkan kertas-kertas itu?” tanya wanita berkimono jingga itu.

“Saja-saja. Bosan. Aku tak perlukan kertas-kertas ini. Engkau nak kertas-kertas ini? Kutiplah mana yang kau mampu. Aku tak kisah” jawabku.

“Aku kisah. Kertas-kertas itu ada harga bukan?”

“Oh, dulu ada. Sekarang dah tak ada”

“Apa maksud kau?”

“Kau lihat sendiri di sekeliling kau. Ada manusia lagi? Tanpa pengguna, kertas-kertas itu hanya layak dikoyakkan ataupun dibakar”

Wanita berkimono jingga itu mula melutut lalu mengutip sekeping wang kertas bernilai RM 100. Dibelek-belek, dipusing-pusing, dibalikkan dari satu muka ke muka yang lain.Dahinya berkerut-kerut. Entah mengapa, jari-jemari halus itu mula mengoyakkan wang kertas itu sepertimana apa yang aku perbuat.

“Jadi tanpa manusia, kertas-kertas ini tidak ada harga sebab manusia yang memberi harga pada kertas itu. Begitukah maksud engkau?”

“Betul lah tu” aku menjawab sambil jari jemariku terus-menerus mengutip kertas-kertas wang dan mengoyakkannya. Aku berasa kepuasan dalam diri. Akhirnya aku berpeluang untuk mengoyakkan kertas yang dianggap simbol kemewahan selama ini. Akhirnya aku berjaya memansuhkan harga-harga yang dilambangkan pada kertas-kertas itu. Aku anggap ini, satu pencapaian terhebat.

“Oh, kau siapa? Datang dari mana? Jepun? Tapi muka macam Melayu”

“Aku datang ni, nak kutip habuan aku, tapi entahlah orang yang aku suruh tu macam tak ikut arahan aku je”

Aku hampir tersedak walaupun tiada makanan dalam mulut. Wanita berkimono jingga inilah yang menghantar aku ke mari dan menjalankan ritual-ritual aneh itu. Kenapalah aku tidak menyedari akan fakta paling penting itu? Hari ini pastinya aku akan mati.

Aku berhenti dari mengoyakkan wang-wang kertas itu. Mata wanita berkimono jingga itu tidak berkelip menatap wajahku. Tiada senyuman menguntum pada wajah itu. Hanya satu keseriusan yang cukup membuatkan peluhku merecik, jantungku berdebar, nafas beralun berat. Aku tidak seharusnya mengoyakkan wang ringgit itu. Aku tidak patut berbuat begitu. Namun aku punya gelodak benci dalam hati. Benci terhadap kertas-kertas yang dibubuh harga itu.

Aku mengeluarkan pemetik api daripada kocek seluarku. Aku nyalakan api dengan sekeping kertas wang di tangan kanan.

“Jangan dekat, kalau tak aku bakar duit ini!!”

Wanita berkimono jingga tidak mendekati, hanya tangannya didepakan jari-jemari di tapak tangan, dilunjur lengan ke arah ku. Apa yang aku boleh buat? Makhluk yang aku hadapi kini adalah sesuatu yang begitu berkuasa. Aku pinta hujan, hujan diturunkan, Aku pinta wang ringgit, wang ringgit diturunkan, aku pinta hujan asid, asid ungu diturunkan, aku pinta kerikil, kerikil itu dihujankan.

Berlari. Aku ada pilihan itu.

Aku mengundur tubuh beberapa langkah lalu berpusing membelakangkan wanita berkimono jingga itu. Belum sempat langkah diatur untuk berlari, aku dapat merasakan satu getaran yang cukup untuk mematikan gerak tubuhku.

Kosong, aku rasa begitu kosong. Aku memerhati akan apa yang terjadi pada tubuhku. Pada pakaianku aku ternampak sembulan yang membulat dari separuh dada hingga ke separuh abdomen. Nafasku terasa begitu sesak disusuli kesakitan yang menjalar dari keseluruhan tubuhku. Otak begitu perlahan menafsirkan ajal.

Aku masih memegang pemetik api. Saraf aku masih mampu memegang jari-jemariku dan menafsirkan arahan-arahan otak untuk menyalakan api. Aku tahu, apabila aku mencampakkan api yang menyala pada timbunan kertas-kertas jijik di sekitar, aku akan hilang taraf selaku Tuhan Hujan. Mati dalam kehinaan. Namun apakah kemuliaan dunia itu sesuatu yang begitu bermakna? Tiada bezanya. Yang mati akan mati sebegitu rupa. Tanpa manusia mengingati, matinya seseorang itu tiada harganya. Sepertimana wang ringgit itu juga. Tanpa manusia memberi harganya, wang ringgit itu hanya kertas-kertas biasa.

Aku punya dosa. Aku bunuh ramai manusia. Aku berasa dosa itu bagai mengigit-gigit apabila mengenangkan sebentar tadi aku berasa ketenangan selepas melakukan dosa. Mungkin aku memang selayaknya mati sebegini. Menjejak langkah mangsa-mangsa orang yang aku korbankan. Yang aku tafsirkan selaku pendosa juga. Apalah bezanya. Sepertimana mereka, tubuh aku akan hancur juga.

Aku lepaskan cengkaman pada pemetik api yang dinyalakan. Apa yang hadir pada visi adalah semarak api kekuningan dan asap serta cebis-cebis tubuhku yang berserakan. Gelap.