Friday, April 19, 2013

Malam Neraka

Gelap malam tanpa bintang dan bulan. Jika dilihat terus langit kelam itu, kegelapan yang terpapar bagai memanggil-manggil. Ada lohong hitam di atas sana. Mungkinkah bumi tempat aku melabuhkan tapak kaki dan bangku tempat aku melabuhkan punggung dalam proses kemusnahan. Lohong hitam ada di sana. Tiada yang akan bebas hatta cahaya sekalipun. Barangkali masa juga akan disedut sama. Apakah yang beradu di sebalik kegelapan yang megah itu? Aku tidak ingin tahu.

Jam tangan baru menunjukkan pukul 10:34 malam. Di sini aku duduk di bawah tiang lampu jalan yang tidak menyala. Di atas bangku kayu lusuh. Ditemani kepekatan gelap malam. Hanya aku, lampu jalan, bangku, jalan tar dan bunga-bunga kantuk berasakan di suatu sudut milik taman buatan manusia. Mengapa aku berada di sini? Aku tidak ingat suatu apa pun.

Tangan kanan ku gerakkan ke muka dan jari-jemariku menekan ubun di kepala mencari urat-urat memori. Kesakitan pada dahi dan belakang tengkuk amat dirasai. Aku memejamkan mata menghayati kepedihan fizikal menusuk benak fikiranku. Pedih teramat pedih. Seolah-olah ada paku panjang yang terpacak pada setiap rongga di wajahku. Peluh dingin menyeluruhi wajahku menafsirkan kesakitan kepada penjanaan kepenatan. Namun begitu kesakitan tidak juga hilang.

Gelap malam semakin pekat rasanya. Aku tidak mampu duduk tegak di atas bangku kayu itu. Kini aku meringkuk menahan pedih yang semakin menjadi-jadi; terasa ada cecair mengalir dari rongga hidung dan mulut. Bauan besi karat menyelubungi.Pedih diselang-seli rasa sejuk yang menggigit hingga ke tulang-temulang. Aku menggigil kesejukan. Di sebalik kesejukan yang semakin menjadi-jadi, aku dapat merasakan ada sesuatu yang tajam cuba menusuk rongga kulit. Bukannya satu atau dua, tetapi ratusan.

Satu, dua, tiga.

Tusukan demi tusukan dizahirkan oleh saraf ke otak. Bauan besi karat kian melekat pada pernafasan. Aku membuka mata dan mendapati tubuhku dipenuhi pisau-pisau dapur yang terpacak, membelah kulitku. Darah membuak-buak. Aku mendapati kaki kiriku hampir putus. Terkulai dari lokasi asalnya. Mengapa harus begini? Mengapa mataku masih menangkap pemandangan ngeri ini? Satu demi satu pisau melayang dari langit gelap membenamkan matanya ke tubuh ku. Tiba-tiba pandanganku gelap. Kesakitan pada soket mata menyengat. Aku dapat merasakan satu objek tajam berada pada rongga mataku beradu. Oh Tuhan, matikanlah aku sesegera yang mungkin.

Selamat datang ke neraka.

Tiada mati hanya kesakitan abadi.

Inilah hukuman di atas dosa-dosa.

Apakah impian terindahmu kini?

Semestinya ‘mati’ adalah impian mu.

Saturday, April 13, 2013

Karaoke?

Hari Khamis akan menjelang. Lagi setengah jam dari sekarang. Apa yang ditunggu bukanlah hari Khamis ataupun Jumaat. Bukanlah juga hari Sabtu ataupun Ahad. Apa yang ditunggu adalah satu mimpi. Satu masa di mana fantasi jadi realiti. Anda boleh bayangkan satu situasi seperti ini:

“Lelaki itu punya suara yang lunak merdu. Dia tahu dan hanya sesetengah rakan akrab sahaja yang sedar akan kelunakan suaranya itu. Pada suatu hari, tempat kerjanya didatangi wanita cantik – punya lesung pipit menawan, senyuman manis dan senang cerita – hatinya terpaut. Namun lelaki itu seorang yang pasif, tidak mampu menyatakan perasaan hati pada wanita itu. Jadi apa yang dilakukan adalah bermimpi:

Dia pergi ke tempat karaoke bersama-sama teman-teman sepejabat yang semestinya turut disertai wanita idaman hati. Apabila disuruh menyanyi, dengan hipokritnya dia akan menolak dengan alasan yang menjengkelkan seperti “Aku tak reti nyanyi” ataupun “Aku tak tahu lah lagu itu”. Namun apabila ‘dipaksa’ untuk kali ke tiga atau keempat (mungkin lebih), akhirnya dia akan memilih satu lagu yang betul-betul diyakini akan menambat hati wanita idaman hati itu. Tatkala habis menyanyi, wanita itu akan termimpi-mimpi akan suaranya, akhirnya meluahkan perasaan nya dan...”

Jadi apa yang ingin ditegaskan di sini, karaoke bersama teman-teman sepejabat yang terdiri dari golongan lunatis fesyen dan golongan pemimpi akan menghadirkan imaginasi seperti yang dinyatakan di atas. Mungkin juga imaginasi itu hanya dimiliki sang penulis. Namun seperti yang terungkai pada perkataan MUNGKIN, begitu jugalah status imaginasi yang didukung oleh falsafah “kemungkinan’ dan kebolehan ‘memungkinkan’. Segala-galanya kabur-kabur. Kabus tebal. Apa-apa boleh jadi. Tafsiran akan punya pelbagai rencah.

Berbalik kepada isu hari yang ditunggu itu, apakah kebarangkalian mimpi boleh menjadi realiti? Kadar kesandaran pada realiti amat penting. Sesuatu yang dianggap mimpi boleh menjadi realiti. Bagaimana? Ukurlah sendiri dengan logikal akal. Pandang jauh pada sempadan realistik mimpi tersebut. Sepertimana kes “Karaoke bersama wanita idaman hati”, rasional untuk memungkinkan kerealistikan pada mimpi tersebut boleh diadakan.

Kekeliruan demi kekeliruan. Secara normalnya cerita ini akan diplotkan semula strukturnya. Bermula dengan situasi Hari Khamis. Dituruti pula oleh satu hari yang ditunggu. Apa yang ditunggu semestinya suatu hari yang istimewa. Jadi apakah istimewa pada hari yang ditunggu itu? Semestinya ada relatifnya pada ‘Karaoke’. Perkaitan yang wujud apabila logik disimpul bersama jalan cerita dan contoh yang diberikan di atas.

Hari Sabtu. Malamnya, aku tidak merancang untuk keluar ke mana-mana. Kepenatan bekerja dari hari Isnin sehingga Sabtu betul-betul menukar gaya hidupku. Dahulunya, aku sanggup bersengkang mata pergi ke studio muzik bersama-sama sahabat-sahabat pemuzik melayan permainan muzik sehingga pukul 2-3 pagi. Kini semua itu hanya kenangan manis. Kenangan manis dan aneh. Apa yang tinggal hanya aku yang malas melayan kepenatan kerja di malam Sabtu.Tiada lagu-lagu melankolik ataupun lagu ganas. Tiada melodi. Hanya bunyian penghawa dingin disaluti desir-desir kipas siling yang berputar menemani malam Sabtuku. Aku hanya mendambakan ketenangan.

Pintu bilik ditutup. Vakum. Aku gapai gitar Dee Why yang kusandarkan pada dinding bilik. Ukiran ikan lumba-lumba pada kayu gitar itu amat aku gemari. Bunyian akustiknya juga sedap. Aku memainkan beberapa kod yang aku tahu; meneliti dengan pendengaran untuk memastikan tiada bunyian tali yang sumbang. Imej mikrofon dan sinaran lampu kelam di pusat karaoke menerjah kotak fikiranku. Setiap pergerakan kod dihayati. Penghayatan yang diselang-selikan dengan imej ibu jari tangan kiri menekan punat controller, memilih lagu-lagu yang ingin ‘dirosakkan’.

“Karaoke adalah untuk orang yang tertekan dengan hidup dan merosakkan lagu untuk melarikan diri dari tekanan itu.”

Kantuk. Kantuk. Kantuk.

Aku gagahkan diri, melontar suara keseorangan diuliti bunyian gitar yang lantang. Di hadapanku tertera lirik lagu buatan sendiri bertajuk .................. sejujurnya, aku belum sempat lagi memikirkan tajuk lagu untuk lirik yang dibuat. Tanpa gangguan daripada luar atau sebarang ketukan di pintu bilik, aku terus melontarkan suara, membayangkan diriku di bawah lampu neon dan berdepan dengan televisyen besar memaparkan lirik lagu yang aku gubah dengan video latar yang tujuh puluh peratusnya tidak relevan langsung dengan maksud lagu.

Apabila nyanyi lagu sendiri sambil membayangkan sesi karaoke berlangsung di dalam kepala, lagu yang dinyanyikan itu terasa teruk benar sumbangnya.

“Karaoke adalah sesi merosakkan lagu. Itu muktamad”

Tuesday, April 9, 2013

Perangkap Lumpur

Digenangi tanah dan lumpur, aku duduk diam-diam dalam tanah. Bersama-sama pacakan kayu yang dipasang di setiap ruang yang seragam ukurannya; 1.5 meter. Mengapa aku ada di sini? Siapakah aku? Aku hanya sejenis kewujudan. Bukan suatu kehidupan. Bukan juga kematian. Jadikah apakah aku? Mungkin aku selayaknya diklasifikasikan selaku ‘objek’. Satu ‘objek’ yang boleh berkata-kata. Membuahkan fikiran dan melontarkan dalam bentuk kata-kata. Apabila tiba masanya, golongan manusia yang berlagak bijak itu akan meningkah kata-kata aku dengan keganasan. Haiwan tetap haiwan. Akal itu apabila diilusikan, akan merubah manusia itu menjadi ‘kehaiwanan realiti’.Atau secara realitinya – HAIWAN.

Inilah pengakhiran aku – digenangi tanah dan lumpur. Desah-desah rintik hujan yang jatuh semakin nyaring. Setiap titis hujan yang gugur menghantar satu getaran yang berirama. Punya tempo dan agresif. Aku membilang satu-persatu butir-butir hujan yang gugur dan berhenti tatkala butiran menjadi ribuan. Desahan air hujan yang meresap ke dalam tanah menembusi setiap rongga pada tubuh. Kapilari. Air hujan mengalir menerusi setiap kapilari tanah yang diukir oleh cacing dan kumbang. Ukiran? Anggapkan permukaan tanah itu satu kek besar. Potonglah satu per sepuluh daripada kek besar itu. Lihatlah lapisan yang terpapar pada potongan itu. Apa yang kelihatan adalah ukiran kapilari tanah yang serabut. Akar-akar kayu akan menjalurkan pintu-pintu pada kapilari tanah itu sekaligus mencetuskan diameter-diameter yang berbeza pada setiap laluan kapilari. Pada keratan rentas ia selayaknya dipanggil ukiran. Namun pada cacing dan kumbang, apa yang dipanggil ukiran itu tidak lebih daripada satu terowong. Gelap namun padat dengan kehidupan.

Aku adalah sejenis kain putih yang berongga halus untuk menapis butir-butir tanah daripada air lumpur yang mengalir menerusi ku. Ditemani pancang-pancang kayu yang ditusuk pada tubuh pada jarak setiap 1.5 meter, kami berjuang memastikan air hujan yang mengalir tidak membawa kelodak ke dalam sungai.Kebersihan alam persekitaran matlamat kami, atau lebih tepatnya matlamat tuan kami. Apabila tiba masanya, pancang-pancang akan dicabut, tubuhku akan dilipat dan digulung lalu dibuang di tempat pembuangan sampah.

Kami hanya objek laksana lampin-pakai-buang– apabila rosak – sewajarnya kewujudan kami ditamatkan.