Wednesday, April 2, 2014

Cadar Masih Putih

“Aril, tunggulah aku”

Budak itu berlari semakin laju, gelak tawa memecah sepi taman permainan yang masih lembab dek hujan yang melanda sebelumnya. Sinar matahari bagai terkial-kial mencari ruang di antara gerabak-gerabak awan yang bertindan-tindan.

“Cepat lah wei, siapa lambat tak boleh makan”

“Alah, janganlah macam tu Aril”

Ramesh mengejar Aril yang kini mula bergerak masuk mengharungi belukar kecil di tepi taman permainan. Di balik belukar itu, ada kelompok pohon-pohon tirus batangnya yang tumbuh jarang-jarang dengan lantai tanah dipenuhi daun-daun kering. Kelihatan beberapa ekor tupai bertempiaran lari tatkala tubuh Aril yang kecil itu menginjak lantai tanah yang lembut. Kumbang yang merayap di muka timbunan dedaun kering kembali mencari ruang di balik dedaunan. Ramesh yang agak gempal masih terkial-kial mengejar Aril yang begitu lincah meredah pohon demi pohon,timbunan busut dan akar-akar kayu yang timbul di muka tanah. Gemersik kicau burung mengelusi sendawa sang cengkerik mewarnai rencah bunyi di belukar kecil itu. Setelah puas berkejar-kejaran akhirnya Aril berhenti daripada larian. Pandangan matanya terarah pada sebuah pondok kayu usang yang tidak bertutup pintu dan tingkapnya. Senyum menguntum di wajahnya. Tiga bilah papan tangga dinaiki dan seimbas itu jugalah dirinya telah berada di dalam pondok usang itu.

“Cepatlah Ramesh! Makanan dah nak habis ni!”

Termengah-mengah Ramesh melepas lelah di anak tangga. Perlahan langkahnya diatur menaiki tangga papan. Berkeriut bunyinya tanda rapuh. Pondok kecil itu tampak usang di luaran, namun dalamnya tersapu kemas. Tiada debu, tiada akar-akar menjalar dan tiada lompong di sana-sini. Gugusan buah anggur yang disimpan di dalam kotak kecil dikeluarkan, segar lagi, bersedia untuk dimakan.

“Ini, aku ambik dari rumah, mak dan abah aku suka makan anggur, kau suka anggur, Ramesh?”

“Aku lagi suka epal, lagi sedap, lagi kenyang”

Papan catur dibentangkan di atas lantai kayu. Ramesh dan Aril menyusun buah-buah catur yang disimpan di dalam kotak di atas papan catur. Ramesh memilih buah catur putih manakala Aril pula memilih buah catur hitam. Sambil-sambil itu, buah anggur dipetik dari gugusannya lalu satu persatu disuakan ke dalam mulut. Dikunyah rakus. Lelehan air anggur sekali-sekala membasahi bibir lalu dikesat dengan tangan kecil mereka itu.

“Ramesh, apasal kawan mak dan abah aku tu takde India ye? Sume Melayu je, Cina pun takde”

“Entahlah, Aril. Mak ayah aku pun macam tu juga”

“Kita nanti, kalau dah besar, jangan jadi macam mereka tu ye, kita tetap kawan kan?”

“Mestilah, Aril. Kita kan kawan selamanya”

Aril tergelak-gelak mendengarkan ayat ‘kawan selamanya’ itu dipertuturkan dengan slanga India. Ramesh adalah sahabat baiknya biarpun mereka berlainan bangsa. Telatah Ramesh menyenangkan hatinya.

“Kau jangan sebut ‘kawan selamanya’ tu kuat-kuat, Ramesh. Nanti semua orang gelakkan kau”

“Apasal pulak?”

“Cara kau sebut tu, belum betul lagi. Nantilah aku ajarkan”

Ramesh menggelengkan kepala. Mulutnya menutur rungutan namun tidak difahami oleh Aril. Sungguh Ramesh tidak mengerti akan sebutan sebenar kepada ‘kawan selamanya’, ataupun rasionalnya menyebut dengan cara yang betul, kerana apa yang disebutkan adalah bernada baku seperti yang diajarkan di sekolah. Biarpun begitu, jika itu peraturan, dia hanya mengikut.

“Check”

Buah catur ‘King’ Aril berada dalam bahaya, dengan ancaman dari ‘Bishop’, Ramesh tersenyum sinis. Aril menggerakkan ‘Pawn’ sekaligus menutup hala ancaman dari Ramesh.

“Aku rasa jadi dewasa ni satu penyakit lah Ramesh”

“Aku setuju. Tengoklah mak bapak kita, muka kalau balik kerja tak reti nak senyum. Cuti pun banyak monyok. Ai yo, tengok pun stress”

“Stress tu ape, Ramesh?”

“Stress tu macam sakit jugak la, bikin muka banyak monyok”

“Oooooo”

“Tapi mak dan abah Aril tak monyok, mereka suka jerit-jerit malam-malam. Bising, dah la muka macam hantu. Seraamm”

“Jadi dewasa orang boleh jadi hantu. Takutlah, kalau boleh, tak nak jadi besar, nanti jadi hantu”

“Hahahaha, mak abah aku je hantu, mak abah kau ok kot”

“Mak abah aku pun selalu jadi hantu. Tak kira masa lagi tu, lagi seram”

Aril dan Ramesh ketawa berdekah-dekah. Permainan catur diteruskan. Pergerakan buah catur disusun dengan strategi kemas. Kedua-duanya nyata handal menyerang dan bertahan.

“Tapi bila dah besar nanti, kau nak jadi apa, Aril?”

“Aku nak jadi hero. Dan aku nak jadi kawan kepada semua orang”

“Aku nak jadi ketua hero. Boleh kawal semua hero dalam dunia”

Sekali lagi mereka ketawa berdekah-dekah.

“Check mate, Aril”

Mata Aril terbeliak melihat “King”di papan catur miliknya telah dikepung sepenuhnya. Biarpun “Pawn” dan “Menteri-menteri” pelindung masih gagah berdiri di petak, namun terbukti sudah, tampuk pimpinan sudah punah. Tanpa strategi yang teratur, raja yang memerintah pasti akan gugur. Menteri dan askar yang dilantik hanyalah hiasan. Hanyalah penyedap mata. Sedangkan serangan masih boleh berjalan dan menembusi pertahanan. Dahi Aril mula berkerut.

“Aik, macam mana aku boleh kalah ni. Lagi sekalilah!”

“Hahahaha, itu sebab aku power. Jom lagi sekali, kali ni kau pakai pulak catur putih, aku pakai catur hitam”

Ramesh tergelak-gelak lagi. Catur diatur semula. Permainan kedua dimulakan. Tatkala “Pawn” digerakkan ke hadapan dua petak, kedengaran bunyi derap-derap kaki pantas menuju ke arah mereka. Siapakah gerangan yang melangkah, Aril dan Ramesh tidak pasti.

“Kau dengar tak bunyi tu?”

“Ha’ah. Jangan bising, mungkin orang jahat”

Mereka menikus diam di dalam pondok itu, menunggu sebarang kemungkinan yang bakal tiba. Derap kaki semakin laju dan akhirnya kelibat manusia dapat dilihat.

“Selamat pagi budak-budak comel”

Seketul batu terbang melayang, tepat mengena dahi tetamu tidak diundang itu. Terduduk terus. Tangan mengusap benjol di dahi dek kerana balingan itu.

“Kau siapa?!”

“Oh ho ho. Budak sekarang memang tak tahu berbudi bahasa. Teruk teruk”

Lelaki berpakaian kot dan seluar hitam berkilat, dengan gaya rambut pacak, kini berdiri di hadapan pintu masuk ke pondok. Punggung ditepuk-tepuk untuk mengibarkan debu-debu daripada jatuhan tadi. Wajahnya mengukir senyuman, matanya menzahirkan kemesraan yang bersifat hipnotik dan dibahasakan oleh Aril dan Ramesh selaku mesej keamanan. Namun mereka berdua masih ragu-ragu.

“Aku ni nak bawak korang tengok dunia luar. Tengok masa depan. Nak ikut?”

“Tapi mak abah bagi tahu tak boleh cakap dengan orang asing” ujar Aril.

“Ha’ah. Betul tu” Ramesh mengiakan.

Lelaki berpakaian kot dan seluar hitam itu mula bergerak keluar dari pondok, lalu menepuk-nepuk anak tangga pondok tiga kali untuk setiap papan. Seraya itu juga pandangannya dikalih ke arah Aril dan Ramesh.

“Selamat datang ke masa depan”

Sejurus itu jugalah tubuhnya bertukar menjadi debu hitam yang terus ditiup angin. Aril dan Ramesh terpegun seketika lalu meluru ke arah tempat lelaki itu berdiri sebentar tadi. Namun tiada kesan yang tinggal, seolah-olah lelaki itu merupakan hanya satu ilusi.

“Hantu”

“Ha’ah, hantu lah”

“Lari!!”

Tanpa berfikir panjang lagi, Aril dan Ramesh terus lari lintang-pukang, meredah semak belukar untuk kembali ke rumah masing-masing. Walau bagaimanapun, tatkala belukar habis diredah, taman permainan yang dilalui sebelum ini telah hilang. Apa yang menunggu mereka kini adalah sebuah kubah ganjil yang tertutup sepenuhnya melainkan sebuah pintu logam di satu sudut. Perlahan-lahan langkah diatur menuju ke arah pintu, rasa curiga menguasai diri. Tatkala langkah menginjak semeter dari pintu logam itu, seraya itu jugalah pintu itu terbuka dengan sendirinya.

“Kau masuk dulu, Ramesh”

“Kau lah masuk dulu, Aril”

Aril menolak Ramesh masuk ke dalam pintu, namun Ramesh lebih bijak mengatur langkah. Perbezaan saiz tubuh yang berbeza, memudahkan Ramesh menukar posisi mereka. Tatkala Aril tertolak masuk ke dalam pintu yang ternganga luas, tangan sempat mencapai dan menggenggam tangan Ramesh lantas menarik Ramesh sekali ke dalam kubah ganjil. Mereka terjatuh terjelepuk di atas lantai berlapikkan permaidani hijau.

“Korang buat apa?”

Seorang budak yang tadinya tekun meneliti paparan demi paparan di skrin monitor telefon bimbit pintarnya kini mengalih pandangnya pada mereka. Daripada wajahnya terpapar kehairanan, kelibat Aril dan Ramesh di situ nyata mengundang persoalan.

“Kita kat mana ni, Ramesh?”

Ramesh hanya menggeleng kepala. Budak tadi pula, melihatkan soalan yang ditanya tadi tidak berjawab, kembali menumpukan perhatiannya pada paparan skrin monitor telefon bimbit pintarnya itu. Kehadiran Aril dan Ramesh tidak diendahkan, seolah-olah mereka itu tidak wujud. Aril dan Ramesh mula bangkit daripada lantai itu, lalu bergerak menuju ke arah budak itu. Pakaian budak itu ringkas sahaja. Tampak ganjil. Tubuhnya dilitupi fabrik kelabu yang membaluti leher sehingga ke hujung kaki. Tidak kenampakan di mana pertemuan baju dan seluar. Pakaian itu hanya membalut. Tiada fesyen tertentu. Rambut lebatnya ditutupi dengan topi besbol bersimbol mata di tengah. Berkilauan tatkala dibilas cahaya lampu bilik.

“Budak, kita kat mana ni?”

“Malik”

“Huh?”

“Jangan panggil aku ‘budak’. Panggil aku ‘Malik’, bodoh”

Aril mahu memberikan penumbuk namun dihalang oleh Ramesh. Kepala digeleng sekali lagi. Kali ini Ramesh pula yang menutur tanya.

“Maaf ye, Malik. Apa nama tempat ni?”

Malik merengus, hari ini nampaknya ada pelawat yang tidak dialu-alukan datang mengganggu privasinya. Namun persoalan harus dijawab, jika tidak, kedua-dua orang budak yang berdiri di depannya ini tidak akan berganjak. Matanya tidak berkelip, melihatkan imej yang terpapar di skrin monitor telefon bimbit. Aril mula hilang kesabarannya, dengan lagak kasar, telefon bimbit itu dirampas.

Telefon bimbit pintar itu jatuh lalu berkecai di atas lantai.

Laksana orang gila, Malik meluru ke arah telefon bimbitnya yang kini rosak. Serpihan demi serpihan dikutip dan cuba dicantumkan semula, namun tidak berjaya. Matanya merah, kemarahan meluap-luap. Aril diterpa, niatnya mahu mencekik Aril semahu-mahunya. Namun Ramesh lebih pantas bertindak, dengan satu gerakan, Malik ditolak lalu terduduk di atas lantai. Malik kini terpana, tidak mampu berbuat apa-apa. Tubuh Ramesh yang agak gempal dan tinggi itu membuatkannya berfikir panjang, sebelum mahu bangkit kembali menyerang. Tindakannya terbantut kini.

“Maaf, nah, ganti rugi”

Ramesh meletakkan sekeping syiling 50 sen di atas lantai, lalu dia mengajak Aril untuk meninggalkan tempat itu. Kubah itu mempunyai ruang yang luas, dengan sebuah koridor panjang tersergam di hadapan mereka dipenuhi dengan kedai-kedai yang menjual pelbagai jenis barangan. Lampu-lampu neon yang berkelipan menarik perhatian mereka berdua. Orang begitu ramai, namun tiada sesiapa pun yang mempedulikan antara satu sama lain. Pandangan mereka terfokus pada alat elektronik di tangan mereka. Tidaklah diketahui oleh Ramesh dan Aril akan objek-objek yang menjadi kegilaan manusia-manusia itu. Ramesh dan Aril datang dari zaman 80-an, segala bentuk hiburan adalah dalam bentuk aktiviti fizikal. Bukanlah aktiviti pasif seperti menelaah permainan digital di skrin kerdil. Sepertimana Malik. Sebelum sempat langkah diatur jauh, kedengaran jeritan dari belakang mereka. Jeritan kesakitan. Sementelah itu jugalah, Aril dan Ramesh menoleh ke belakang. Malik, yang tidak memiliki telefon bimbit pintarnya itu, kini menggeletar di atas lantai permaidani hijau. Bibirnya memuntahkan buih-buih putih. Aril dan Ramesh segera bergegas ke arah Malik namun tatkala mereka berlutut di sisi Malik, didapati pergerakannya kaku. Matanya terbeliak. Malik sudah mati.

“Takkanlah sebab aku rosakkan mainan kecik dia tu, dia terus mati?”

Pandangan mereka dikalih ke sekitar, namun tiada sesiapa pun yang menoleh mahupun memberikan pertolongan. Mereka begitu gigih melihat skrin peralatan elektronik di tangan mereka. Aril dan Ramesh mahu meminta pertolongan, namun keadaan manusia yang sebegitu alpa membuatkan mereka berdiam diri.

“Ramesh, kita ni kat mana sebenarnya? Neraka ke? Kita buat dosa banyak ke?”

“Ish, takkanlah neraka, Aril. Kita kan budak baik”

“Mungkin ini mimpi kot, kau cuba tumbuk aku Ramesh”

Bedebuk bunyinya. Tumbukan tepat ke pipi membuatkan Aril tersungkur. Kesakitan menjalar. Pipi kiri terasa sembam.

“Aduh, sakitnye”

“Kita tak bermimpi, Aril. Kita ni, dah kena culik alien”

“Huh, alien? Abis la, abis la, aku tak nak jadi bahan ujikaji”

“Aku pun tak mahu”

“Mana pintu keluar ni, tadi ada je kat situ, tapi sekarang dah tak ada, huhuhu”

Aril dan Ramesh kini duduk terpaku di sambing mayat Malik, kebuntuan akan tindakan yang harus diambil. Di antara manusia-manusia yang lalu lalang itu, akhirnya seorang lelaki yang dikenali oleh mereka berdiri di hadapan mereka. Berbeza dengan manusia-manusia yang lain itu, hanya dia seorang sahaja yang tidak mempunyai alat-alat elektronik di tangan, rambut pacaknya yang diwarnakan biru dan jambu terlalu menyerlah, dengan benjol di dahi kesan daripada lontaran batu oleh Aril semasa di pondok tadi.

“Macam mana dengan tahun 2167? Menarik bukan?”

“Tahun 2167? Kami berada di masa hadapan?” ujar Ramesh.

Telinga dikorek, lagaknya bersahaja, lalu dia duduk mencangkung betul-betul di samping posisi kepala mayat Malik.

“Kan aku dah cakap, aku nak bawak korang pergi jalan-jalan. Budak-budak sekarang ni bukan reti nak dengar cakap orang tua, sebab tu aku nak ajar korang lihat dunia”

Mata Malik yang terbeliak itu dipejamkan kelopaknya dengan jari telunjuk kanan. Lelaki itu mengeleng-geleng kepala.

“Kesian budak ni, lahir kat zaman ni mungkin satu nasib yang malang buatnya, korang berdua ni, beruntung lagi sebab lahir zaman silam. Zaman yang tak ada teknologi sangat. Zaman ni, teknologi dah telan habis kemanusiaan. Sebab tu, korang tengok budak ni mati macam ni je, takde orang tolong”

Satu bunyi robotik kedengaran dari arah koridor. Sejenis robot dengan roda berantai selaku kakinya, bergerak perlahan merentasi lantai permaidani hijau, dan setiap manusia yang berada di laluannya memberi ruang untuknya terus mara. Sebiji mentol merah menyala menjadi matanya, mengeluarkan sinar cahaya laser tipis yang merentas segenap ruang yang dipantau.

Semakin lama, robot itu semakin menghampiri mereka dan tatkala sinar cahaya laser merah tipis itu hinggap di tubuh mayat Malik, langkahnya terhenti seketika. Titik cahaya kini mengembang kepada satu jaluran panjang yang merentangi lebar tubuh mayat Malik.

“Baik kita berundur ke tepi”

Lelaki berambut pacak itu membawa Ramesh dan Aril berundur dari lokasi mayat Malik. Daripada jarak 15 meter, situasi dirasakan selamat. Lelaki berambut pacak itu tahu akan apa yang akan terjadi dan dia mahu Aril dan Ramesh menyaksikan sendiri apa yang akan terjadi pada mayat Malik itu.

Kepadatan cahaya laser merah mengganda. Titik persentuhan antara tubuh mayat Malik dengan sinar laser merah itu mula mencetuskan asap putih. Perlahan-lahan, tanpa api yang membakar, tubuh mayat Malik bertukar menjadi debu hitam. Mata Aril dan Ramesh bagaikan mahu terkeluar melihatkan apa yang terjadi kepada mayat Malik itu.

“Gila lah ni. Bawa lah kami balik, pakcik. Ini neraka, kami nak balik”

Aril sudah mula merengek-rengek ketakutan. Ramesh pula masih kaku, wajahnya pucat. Ini adalah kali pertama mereka melihat kematian di hadapan mereka. Ini juga adalah kali pertama mereka melihat mayat dihapuskan dengan sebegitu rupa. Setelah usai upacara pengleburan mayat itu, apa yang tinggal hanyalah debu-debu hitam yang perlahan-lahan terbang dibawa angin.

Robot itu mula mendekati mereka. Matanya melilau memancarkan garis-garis cahaya pada lokasi mayat Malik berada itu tadi. Setelah debu-debu hitam lenyap sepenuhnya, robot itu mula meninggalkan kawasan itu dan meneruskan rondaan.

“Inilah dunia korang di masa hadapan nanti. Dan aku bawa korang ke sini, sebab, korang lah penyebab kepada semua ini, dan diharap, dengan pendedahan ini, korang akan kembali ke zaman korang, perbetulkan apa yang salah pada pemikiran korang, dan faham akan bahana pergantungan kepada teknologi”

Aril sudah berhenti esakannya, Ramesh juga sudah agak tenang. Perlahan-lahan lelaki berambut pacak itu mengenggam tangan Ramesh dan Aril, lalu membawa mereka menyusuri koridor berlantaikan permaidani hijau itu. Lelaki berambut pacak itu tidak tahu, Aril tidak mengerti sepatah kata pun yang dituturkan kepadanya, dek akibat kejutan melihat kematian di hadapan mata. Namun Ramesh pula tidak begitu. Fikirannya ligat mencari penjelasan. Teknologi? Mereka berdua masih terlalu jauh daripada teknologi. Di dalam hatinya, Ramesh menanam azam untuk bersedia menghadapi kemungkinan yang mendatang, tanpa menyedari, takdir mereka itu sudah ditetapkan.

Pada satu lokasi dinding kubah yang diperbuat daripada logam kelabu warnanya itu, lelaki berambut pacak itu mengetuk dinding tiga kali. Sejurus itu jugalah garis lurus tegak muncul membelah dinding logam pejal itu lalu terbuka. Cahaya matahari yang tenang dengan udara segar daripada rimbunan pohon-pohon hijau menyerap masuk ke dalam retina mata Aril dan Ramesh lantas menimbulkan kelegaan pada emosi yang tegang tadi. Ketakutan yang membuntil di dalam hati kini pudar, Aril sudah mula menguntum senyuman. Genggaman lelaki berambut pacak dilepaskan, lalu Aril berlari ke arah belukar hijau itu, Ramesh turut mengatur langkahnya. Namun sebelum jauh kaki menapak, Ramesh menoleh ke belakang. Wajah lelaki berambut pacak itu ditenungnya lama-lama.

“Terima kasih, pakcik.Pesan pakcik tu akan saya ingat sampai bila-bila”

Ramesh lalu bergegas mengejar langkah Aril yang begitu pantas. Aril bagaikan tidak sedar akan situasi mereka itu, yang baru bebas daripada kubah, yang baru balik daripada masa depan, apa yang terpapar di fikirannya, hanyalah, longgokan anggur dan juga papan catur di pondok. Sekali-sekala pandangannya dilontarkan ke belakang, ke arah Ramesh yang termengah-mengah mengekor jejak lincahnya.

“Cepat lah wei, siapa lambat tak boleh makan”

Ramesh sedar kini, Aril telah lupa sepenuhnya akan pengembaraan singkat mereka itu. Aril ini adalah Aril yang sama berlari ke arah pondok bersamanya untuk menjamah longgokan anggur dan bermain permainan catur. Kehadiran lelaki berambut pacak itu, tidak terzahir dalam ingatannya.

“Adakah aku bermimpi?”

Ramesh terus mengejar Aril, kelibat pondok itu semakin jelas. Gelak tawa Aril begitu lantang, memecah keheningan belukar yang dipenuhi dengan tupai dan kumbang. Cahaya matahari begitu cerah, menenangkan jiwa yang bermandikan sinarnya.

Sementara itu, lelaki berambut pacak itu hanya termangu sendirian di hadapan pintu logam yang masih terbuka luas. Misinya sudah dilaksana. Pengasas teknologi telah dimaklumkan. Namun keberkesanan misi itu masih diragui. Tatkala pandangan dilontar ke dalam bangunan kubah, manusia-manusia itu masih juga seperti asalnya, gigih meneliti skrin monitor kecil di tangan, tanpa memperdulikan sesama sendiri. Kemanusiaan sudah hilang, keadaan sebegitu masih kekal. Lelaki berambut pacak mengeluh sendirian, lalu mengeluarkan telefon bimbit pintar yang tersimpan di dalam kocek. Suis ditekan, dan sejurus itu jugalah paparan digital terpampang jelas.

SIGNAL LOST. DATA TERMINATED

Seraya itu jugalah telefon bimbitnya terpadam. Pandangan dikitar. Satu persatu manusia yang gigih memegang telefon bimbit mula mengalih pandangan ke persekitaran. Senyuman terukir di bibirnya. Misi sudah berjaya. Pengasas teknologi itu sendiri telah menyahaktifkan teknologi itu.

Laluan koridor mula dipenuhi dengan suara-suara manusia bertingkah arus mengelus bicara fizikal. Amarah dan juga kebuntuan turut merencah suasana. Ketiadaan alat-alat elektronik nyata membawa kekecohan. Namun begitu lelaki berambut pacak itu tahu, ini hanyalah permulaan. Permulaan kepada kehidupan yang lebih bermakna. Jalan yang dipilihnya itu tidak sia-sia. Kemanusiaan sudah kembali bersinar.

********

“Aril! Aril”

“Ye mak”

Aril berlari menuju ke arah ibunya yang kini memegang kotak kecil sebesar tapak tangannya. Seraut wajah ayu memaparkan kelembutan yang membuatkan Aril berasa tenang apabila melihat wajah ibunya itu.

“Nah, ini hadiah untuk Aril”

Aril tersenyum lantas mengambil kotak kecil itu. Gopoh, kotak itu dibuka, menampakkan sebuah alat elektronik kecil di dalamnya. Namun begitu, pesanan Ramesh tiba-tiba hadir di benak fikirannya.

“Ingat, Aril. Alat-alat permainan elektronik ini bencana. Kalau aku, aku taknak lah main alat-alat permainan elektronik ni. Aku tak nak hidup aku terkongkong tengok benda tu je”

Alat elektronik kecil itu disimpan semula dalam kotaknya lalu dihulurkan kembali kepada ibunya. Ibunya menerima dengan wajah kehairanan.

“Kenapa Aril? Tak nak handphone? Semua kawan Aril ada handphone macam ni kan?”

“Tak apalah mak, Aril tak nak ikut diorang. Aril nak buku baru, boleh?”

Ibunya mengusap lembut rambut Aril. Kemesraan yang ditunjukkan menghadirkan senyuman di wajah Aril. Lalu mata Aril ditenung lama-lama. Wajah kehairanan kini berganti dengan wajah ceria.

“Baiklah, kalau itu pilihan Aril, Aril nak buku apa?”

“Aril nak set buku Lord of the Rings, full volume”

“Amboi, anak mak ni. Bukan kemain lagi buku dimintak”

“Boleh lah mak”

“Baiklah, esok kita pergi beli buku okey?”

“Yay!”

Aril mendakap ibunya. Pilihan sudah dibuat. Sekurang-kurangnya, teknologi belum lagi mampu, menerobos pemikiran Aril dan meracuni jalan kehidupannya. Pilihan itu ada, dan Aril telah memilih jalan yang difikirnya betul buat dirinya. Ya, pilihan itu tepat, kerana tanpa alat elektronik itu, Aril tidak akan menjadi pengasas kepada teknologi yang meragut kemanusiaan pada masa hadapan.
Hidup itu punya pilihan, kita berhak memilih jalan yang dikehendaki, namun ada kalanya jalan yang dipilih itu tampak sudah penghujungnya, ada yang baik dan ada yang buruk. Adakah kita rela memilih suatu jalan yang tidak tampak hujungnya? Tatkala pilihan yang bersisa hanya jalan itu, adakah kita rela mengatur langkah ke atas jalan itu?

Kisah Aril dan Ramesh ini membuatkan aku sedar bahawa aku punya pilihan untuk menghidupi perjalanan dunia dengan sesuatu yang lebih bermakna. Paparan cerita digital di telefon bimbitku ini dipadamkan, lalu aku lihat persekitaran. Dunia masih indah, dan punya banyak misteri yang boleh diterokai, dan jauh lebih bermakna jika dibandingkan dengan merenung dunia melalui skrin monitor kerdil.

Dua orang budak yang ku rasakan sebaya denganku, jatuh terjelepuk di atas lantai permaidani hijau di hadapanku. Entah dari mana datangnya, aku pun tidak pasti, cuma apa yang dapat aku lihat adalah daripada suatu ruang kosong pada dinding logam yang membaluti kubah ini, satu bukaan yang menjerluskan sinar matahari luar tiba-tiba ternganga lalu memuntahkan dua orang budak asing itu. Pakaian mereka kelihatan klasik, seolah-olah mereka datang dari zaman silam. Namun adakah mereka betul-betul datang dari zaman silam? Ataupun sekadar pemakaian sahaja, permainan kanak-kanak yang aku tidak ketahui?

“Korang buat apa ini?” aku bertanya.

Persoalan aku tidak dijawab, sebaliknya mereka berpandangan antara satu sama lain, wajah mereka terpapar kekeliruan. Seorang budak yang lebih cerah warna kulitnya daripada seorang lagi dan lebih kerdil, kini menutur tanyanya pada budak yang lebih gelap warna kulitnya itu.

“Kita kat mana ni, Ramesh?”

Aku tergamam. Aku kini memainkan peranan Malik dan aku sedar aku punya pilihan. Pilihan yang silap akan membawa maut. Sama ada aku membantu mereka ataupun telefon bimbit yang mengandungi peranti kawalan antibiotik ke atas aras darah dalam tubuh aku ini akan dimusnahkan oleh mereka. Sejarah tidak akan berulang untuk kali kedua. Jalan tengah? Aku hanya perlu berkerjasama dan tidak angkuh menutur kata. Maka nyawaku akan terselamat.

“Korang sekarang berada di tahun 2167, Kuala Lumpur”

“Oh, ye ke?” mereka mula mendekati aku. Perlahan-lahan telefon bimbit pintar milikku itu dimasukkan ke dalam kocek seluar. Aku akan mengawal takdir. Lalu aku ukir senyuman.

“Jom, aku bawa korang jalan-jalan” aku mempelawa mereka.

“Jom”

Saturday, March 8, 2014

Sesudah Purnama Lena

Berkain pelikat, berkipaskan angin dari luar tingkap dan duduk di atas kerusi malas. Tangan kiri memegang telefon bimbit pintar dengan jari telunjuk kanan ligat digerakkan pada skrin monitor kecil. Permainan digital. Tanpa baju, tubuh kurus keringnya menampakkan parut di dada yang terserlah kemerahan di antara keperangan sawo matang kulit. Jika diperhatikan persekitaran halaman ruang tamu, objek-objek yang ada hanyalah sebuah televisyen yang diletakkan di atas sebuah kabinet setinggi paras lutut dan sebidang tilam tipis tidak berlapik cadar serta bantal bogel.

Bunyian penggera kereta kedengaran daripada tingkat bawah yang menempatkan parkir. Rimas mendengar bunyi bising konsisten, lelaki berpelikat hijau itu mula mengatur langkah mengambil topi keledar di dalam bilik. Kekal tidak berpakaian, dengan kain pelekat hijau yang kadangkala terlondeh, lelaki itu membuka pintu masuk ke rumah dengan kasar dan menapak keluar dengan selipur jepun melapik tapak kaki. Sasarannya adalah kereta itu, yang menghadirkan rasa rimas dan jelek dengan bunyian penggera yang memekakkan. Kereta itu harus disenyapkan, biar dengan apa cara sekalipun. Amarah menguasai jiwa, dan tiada sesiapapun yang dapat menghalangnya.

Berbalik kepada ruang tamu rumah yang ditinggalkan lelaki berpelikat hijau itu sebentar tadi. Setelah lelaki itu keluar, televisyen hidup dengan sendirinya, memancarkan garis-garis putih yang kabur-kabur diuliti piksel-piksel kelabu dan majoritinya multiwarna sehinggakan tiada sebarang tafsiran yang boleh dibuat akan imej yang terpapar. Hakikatnya, televisyen itu hanya bernyawa dengan sendirinya, tanpa maksud untuk menjelaskan makna pada paparan. Tanpa penonton, paparan tidak perlukan makna. Sepertimana tanpa ciptaan, kewujudan pencipta tidak bererti.

Namun televisyen itu bukanlah satu-satunya objek yang hidup dengan sendirinya, bahkan lantai tidak berlapik itu juga bagaikan bernyawa. Jubin-jubin segiempat tepat yang teratur susunannya menampakkan pergerakan satu objek yang lutsinar sifatnya, namun alunan bentuknya mendistorsi garis-garis lurus yang dibentuk aturan jubin-jubin putih itu tadi.

Alur bentuknya mula tampak jelas tatkala objek itu bangun daripada lantai jubin itu. Terdapat pergerakan pada alur bentuk yang akhirnya menampakkan sifat manusia yang begitu jelas. Daripada bentuk kepala yang gondol dan lutsinar itu terbentuklah rambut hitam lebat dan juga kulit perang sawo matang. Tubuhnya kurus kering juga seperti tuan rumah itu, dengan peniruan seratus peratus. Tekstur tubuhnya dan juga pemakaiannya serupa. Kain pelikat hijau membaluti tubuh dari bahagian bawah pusat hingga ke buku lali. Peniru itu mula duduk di atas kerusi malas dan menghidupkan telefon bimbit yang dikutip dari lantai. Jari jemarinya ligat bergerak menggunakan aplikasi-aplikasi digital pada telefon bimbit itu. Tidaklah diketahui apa yang dicarinya dalam alam maya itu, persoalan pokoknya, adakah peniru ini seorang manusia?

Secara fizikalnya, dia adalah manusia juga, seperti mana induk yang ditiru sepenuhnya. Maka, semasa tangannya ligat memutar-mutar aplikasi di telefon bimbit itu, apakah yang terjadi kepada tuan empunya badan asal?

Bunyi penggera kereta bagai mengejek-ejek diri yang mendengar. Terketar-ketar tangannya yang panjang dan tirus itu menggenggam bucu topi keledar menahan amarah. Ruangan parkir tingkat bawah dipenuhi deretan kereta-kereta dengan beberapa buah disusun berpasangan di beberapa ruang parkir. Tidak kurang juga ada kereta yang diparkir menghalang kereta yang terparkir dengan betul. Tempat ini sesak. Mencari parkir tatkala senja tidur adalah sejenis neraka. Neraka buat mereka yang baru balik daripada kerja yang memenatkan. Perjalanan yang memenatkan.

Perjalanan menuruni anak tangga daripada tingkat rumahnya di aras tiga tidak sepenat perjalanan balik daripada kerja yang mengharung situasi pemandu kurang ajar, jalan raya berbayar yang sesak dan juga minyak kenderaan yang sentiasa berkurangan. Namun sesudah mengharungi perjalanan balik daripada kerja itu, apa yang diingini hanyalah ketenangan. Syurga malam hari. Dan syurga itu diranapkan oleh sebuah kereta yang rosak penggeranya.

Kesabaran juga ada batasnya.

Daripada bunyi yang terkadang cepat dan laju, dapatlah diketahui terdapat seseorang mengawal penggera dari jauh. Barangkali ada anak kecil pemilik tuan kereta yang sedang bermain penggera. Namun itu tidak penting. Penggera yang berbunyi harus disenyapkan. Plat nombornya kelihatan baru, dengan huruf W memulai empat angka yang disudahi dengan huruf A. Kereta Perodua MyVi berwarna merah. Berkilat badannya. Dan hari ini, kemegahan kereta baru itu akan lenyap.

Tanpa mengawal amarah di hati, topi keledar di tangan terus dicampak semahu-mahunya ke arah cermin depan kereta. Balingan yang kuat dan padu memecahkan serta-merta cermin yang berserakan serpihannya ke dalam ruang pemanduan kereta. Penggera yang tidak konsisten semakin galak bunyinya menambahkan lagi panas baran di jiwa. Bonet enjin didaki dan tanpa menghiraukan mata-mata yang melihat daripada bangunan di kiri dan kanan, dia mula melompat seperti kera. Bonet logam tipis itu mula remuk dengan beban tubuhnya. Sesudah lelah melompat, dia mencangkung pula di atas bonet itu, lalu menghulurkan tangannya ke bahagian pemanduan yang togel tidak tertutup untuk mendapatkan kembali topi keledar miliknya.

Tiada sesiapa pun yang turun untuk menghalang perbuatannya. Mereka-mereka yang melihat dari tingkap hanya terus memerhati dan tidak kurang juga yang merakam perbuatannya itu dengan telefon bimbit di tangan. Entah apa yang akan diperbuat dengan rakaman itu nanti. Alam maya bersedia menanti video perbuatannya itu untuk disebarkan sejauh-jauhnya ke pelusuk pancaindera masyarakat. Salah seorang daripada tukang rakam itu adalah peniru nya tadi, yang kini berdiri di hadapan tingkap sambil merakam sepenuhnya butir-butir perbuatannya itu.

Bunyian penggera masih tidak padam juga. Penat sudah didaki bonet itu, rasionalnya adalah mematikan terus bateri kereta itu untuk memadamkan bunyi. Beralih sudah kedudukannya daripada bonet. Kini cermin sisi kereta pula menjadi sasaran. Sepertimana tadi juga, satu hentakan sudah mampu memecahkan cermin kereta itu. Perlahan-lahan tombol kunci di sisi tingkap diselak, dan semudah itulah dia membuka pintu kereta lalu duduk di atas kerusi empuk dipenuhi derai-derai kaca.
Dia tidak peduli. Dia nekad.

Butang bonet enjin ditarik. Lalu dia bergegas ke hadapan bonet itu dan membuka penutup enjin. Di kelam malam itu, bertemankan cahaya daripada lampu jalan yang samar-samar, kabel wayar ke kotak bateri ditanggalkan daripada rodnya. Sejurus itu jugalah penggera kereta senyap. Nafas ditarik dalam-dalam. Amarah menyusut diganti lelah. Satu bunyian klik kedengaran daripada belakang.

“Kau dah rosakkan kereta aku, mati lah padahnya”

Tanpa sempat bertindak balas, tembakan dilepaskan. Bertalu-talu sebanyak 5 das. Pistol apakah itu sehingga dapat melepaskan tembakan 5 das bertalu-talu? Itu tidak penting, soal pokoknya, tembakan tempat dari belakang kepala itu telah menghancurkan wajahnya sepenuhnya.

Darah berhamburan, nyawa turut melayang. Mudah sungguh.

Sepertimana tadi juga, tiada sesiapa yang turun membantu. Mereka melihat dan merakam segala butir-butir kejadian vandalisma dan pembunuhan itu dengan gigih. Adakah ketakutan yang menghantui mereka? Tidak, mereka tidak takut. Mereka hanya obses melihat kekejaman di hadapan mata. Kekejaman manusia adalah hiburan yang dicari sepanjang masa. Disusuli dengan hipokrasi yang berulam ayat-ayat berbaur jelek.

Ya, di mana polis? Tanpa pelapornya, tiada polis yang akan datang menyelesaikan jenayah. Di mana Rukun Tetangga? Oh, semangat kejiranan juga tidak wujud di perumahan ini. Kau dengan cara aku, engkau dengan cara engkau. Aku tak kacau kau, kau jangan sibuk kacau aku. Apa? Tolong-menolong kata mu? Argh, aku hanya nak tahu hal aku sebab nak bergosip. Begitulah suasana mereka yang berjiran tetapi tidak berkenal-kenalan. Hidup penuh syak wasangka.

Lelaki yang melepaskan tembakan itu tubuhnya kecil sahaja namun tegap, dan ototnya berketul-ketul dengan tatu di lengan kiri. Tatu apa tidak dapat dipastikan, yang kelihatan adalah panjangnya yang melingkari kulit daripada bahu sehingga ke pergelangan tangan. Singlet putih yang dikenakan ada percikan darah. Hodoh sungguh keadaan mangsa yang terkorban itu. Tubuh yang kurus keding, tidak berbaju, muka pecah berhamburan isinya, dengan posisi mengangkang tatkala tubuh rebah di atas enjin kereta yang dingin menghadirkan perasaan yang aneh. Ada lelucon di balik kengerian.

Penembak itu menyimpan pistolnya di sisi pinggang yang punya karung penyimpanan pistol dililit melingkari seluar pendek hijau paras lutut. Kereta MyVi itu sudah jahanam dan dia tidak berminat untuk memperbaiki kereta yang sudah dijahanamkan. Membaiki kereta yang sudah pernah rosak adalah seperti mencantumkan kaca yang pernah pecah. Ia boleh disatukan semula dengan gam, namun rasanya pasti tidak serupa. Begitu jugalah dengan kereta.

Bonet penyimpanan barang di belakang kereta dibuka. Dua botol minyak petrol dibawa keluar. Penutup dibuka lalu minyak petrol itu dicurahkan ke atas mayat lelaki kurus keding yang baring terkangkang di atas enjin kereta. Malam ini, tanpa purnama, adalah malam sepi buatnya.

Pemetik api dihidupkan apinya lalu dicampakkan ke atas mayat itu. Lelaki itu berlari laju meninggalkan tempat itu dan tidak lama selepas itu satu letupan yang kuat memecah kesepian malam tanpa purnama itu. Beberapa jeritan ketakutan daripada rumah-rumah berdekatan turut merencahi kaotik malam pembunuhan itu. Kereta MyVi dan mayat kini disambar api. Lelaki itu tertawa bangga dengan perbuatannya itu.

Kita putarkan sudut kamera yang memantau peristiwa pembunuhan dan pembakaran itu ke belakang. Dongakkan lalu diperbesarkan resolusinya. Dan apa yang berada di depan mata adalah, peniru kepada mayat tadi, yang masih gigih merakam segala bentuk kejadian dalam telefon bimbit milik mangsa pembunuhan. Wajahnya bersahaja, tidak memaparkan emosi sedih melainkan gembira semata-mata. Gembira barangkalinya, kerana kewujudannya di dunia itu selaku peniru bakal diiktiraf. Teringin rasa hatinya untuk melihat wajah pembunuh tadi tatkala dirinya memunculkan diri di hadapan pembunuh itu. Adakah pistol akan dibidik? Ataupun lelaki itu akan lari lintang pukang? Harus diingatkan seseorang yang telah mati tidak akan bangkit semula. Yang bangkit semula hanyalah hantu. Hantu punya reputasi selaku penganugerah ketakutan kepada hati yang berani. Maka , ini meletakkan statusnya selaku hantu kepada orang yang dibunuh itu tadi.

Peniru itu melangkah masuk ke dalam bilik. Seluar jeans yang tergantung pada paku dinding diturunkan lalu disarung pada kaki yang masih dibaluti kain pelekat hijau. Perlahan-lahan kain pelekat hijau itu ditanggalkan sesudah kakinya bersarung sepenuhnya dengan jeans. Setelah kain pelekat hijau ditanggalkan sepenuhnya, butang kancing pinggang ditemukan dan zip seluar ditarik mengatup kelangkang dari pandangan. Baju T-Shirt biru tidak berkolar yang kosong tanpa corak dikenakan. Sambil tangan memegang sikat, wajahnya diteliti pada cermin. Pembalikan imej wajah tiruannya itu menghadirkan rasa megah. Teknologi kini begitu canggih. Tiada siapa pun yang akan mati di dunia itu. Yang mati hanyalah fizikal. Fizikal yang boleh dijana kembali kewujudan. Maka itu adalah makna kehidupannya di situ.

Rambut dilumur minyak Brylcream. Lalu disikat perlahan-lahan. Malam masih panjang fikirnya. Minyak wangi disembur ke bawah ketiak dan keseluruh tubuh. Sesudah kemas dirasakan penampilannya itu, dia melangkah keluar dari rumah dan menuruni anak tangga. Daripada anak tangga itu dapat dilihat asap berkepul-kepul naik daripada bangkai kereta dan juga mayat. Lelaki yang memegang pistol berlutut di atas lantai tar seolah-olah menyesali dengan apa yang dibuatnya. Genggaman pada pistol melonggar. Dia langsung tidak menyedari kerumunan manusia sedang menghampiri. Ya, mereka hanya mahu melihat lebih dekat akan kematian yang berlaku di depan mata. Mereka mahu menanamkan imej kematian itu ke dalam bahagian separa aktif otak agar mereka tidak berbuat kejahatan yang serupa. Antara kelompok yang mengelilingi kawasan kejadian itu, seorang lelaki lengkap dengan jeans dan baju T-Shirt kosong berwarna biru menghampiri.

“Syabas, bro. Sebab dah bunuh orang panas baran tu. Aku sapot kau”

Lelaki pembunuh itu memalingkan wajahnya. Terima kasih pada suasana malam yang kelam, dia lupa bahawa mangsa yang dibunuh dengan lelaki yang baru muncul ini punya wajah yang serupa.

“Kau pun fikir begitu ek? Aku rasa bersalah”

“Kenapa pula? Engkau baru saja menegakkan keadilan ke atas diri kau sendiri. Kereta itu milik engkau bukan? Bagiku engkau adalah seorang yang mulia kerana berani bertindak membantah penindasan ke atas diri kau itu”

“Tapi, tapi... aku.. dah bunuh.. orang!”

“Apa salahnya bunuh orang yang tidak membawa sebarang faedah kepada masyarakat? Tidak semua berani membunuh seperti engkau. Engkau harus bangga dengan diri kau sendiri”

“Hei! Aku dah bunuh orang! Itu bukan sesuatu yang bagus kau tahu tak?!! Kau ni siapa?!”

Lelaki berbaju biru itu mula tunduk dan mendekatkan wajahnya kepada lelaki pembunuh itu. Perlahan saja suaranya berbisik disulami senyuman sinis di bibir.

“Aku Iblis”

Terketar ketakutan. Lelaki pembunuh itu bagai hilang segala kekuatan dan keberaniannya sebentar tadi. Manusia punya ketakutan yang tersimpan dalam kekuatannya. ‘Kuat’ dan ‘takut’ punya asal yang sama iaitu hasil daripada kombinasi huruf-huruf ‘K’, ‘A’, ‘U’ dan ‘T’. Ironinya mereka yang takut boleh menjadi kuat tatkala diancam dan juga sebaliknya. Adakah lelaki pembunuh akan dikelubungi ketakutan selamanya? Ataupun kekuatan akan menjelma lagi?

Kekuatan kembali menjelma, menenggelamkan ketakutan yang melanda. Laras muncung pistol dihalakan ke wajah lelaki yang mengaku dirinya ‘Iblis’ itu. Namun lelaki ‘Iblis’ itu hanya tersenyum sinis dan tidak memaparkan ketakutan pada wajahnya langsung. Tanpa berfikir panjang, tembakan dilepaskan. Wajah ‘Iblis’ pecah dari paras hidung hingga ke dahi menyeruakkan tulang-temulang dan daging yang dibaluti tengkorak dan kulit. Namun lelaki ‘Iblis’ itu tidak rebah. Bibirnya yang dilumuri darah mula bergerak dan menuturkan kata-kata berikut:

“Aku tidak akan mati seperti juga engkau. Kau tahu kau di mana sekarang? Engkau berada di neraka”

NERAKA.

Adakah benar mereka berada di neraka? Mungkin ada hakikatnya. Dunia yang dihuni manusia itu sudah tiada erti kemanusiaan di kalangan manusia. Mereka menciptakan neraka untuk diri mereka sendiri di dunia dengan kejelekan nafsu dan akal mereka.
Ketakutan kembali menyelubungi lelaki pembunuh itu. Tembakan dilepaskan bertalu-talu namun nyata lelaki ‘Iblis’ itu nyawanya tetap utuh biarpun dagingnya berhamburan dengan darah membasahi persekitaran. Kerumunan manusia-manusia semakin ramai dan wajah-wajah mereka tidak memaparkan sebarang emosi akan kejadian yang disaksi.
Laras muncung pistol dihalakan ke dalam mulutnya sendiri. Jika benar ini adalah neraka, maka dia nekad untuk meninggalkan tempat itu. Picu ditekan.

Gelap.

Seketika.

Bunyian penggera kenderaan kedengaran nyaring memecah kesunyian malam. Matanya terbuka luas. Dia sedar akan asal bunyi itu. Bunyi kenderaan Perodua MyVi miliknya. Dirinya kini berada di atas tilam biliknya sendiri. Sepucuk pistol berada di sampingnya. Singlet putihnya dibasahi peluh. Mimpi ngeri tadi bagaikan begitu realistik. Perlahan-lahan tubuhnya diengsotkan ke tepi tingkap di sisi katil. Matanya bagaikan mahu terkeluar apabila melihat kelibat lelaki tidak berbaju dan berpelekat hijau sedang menjahanamkan kenderaannya. Amarah menyelubungi. Pistol dicapai. Namun bayangan imej dari mimpi ngeri kembali hadir dalam benak fikirannya.

“Aku tidak akan mati seperti juga engkau. Kau tahu kau di mana sekarang? Engkau berada di neraka”

Kata-kata Iblis itu berkumandang dalam benak fikirannya. Dia pasrah lalu terduduk di atas lantai jubin bilik yang dingin. Dia mengerti kini, dirinya berada dalam satu pusingan kehidupan. Suatu hukuman laksana dirinya berada neraka. Membunuh dan terus membunuh. Diakhiri dengan membunuh dirinya sendiri. Dan berulang selama-lamanya. Abadi.

Sunday, December 29, 2013

Gagak dan Merpati

Ada seekor gagak suka bertenggek di tiang elektrik di hadapan sebuah rumah. Rumah itu dimiliki seorang kaya yang hobi nya memelihara binatang-binatang dari hampir seluruh pelusuk dunia. Sebuah zoo mini. Gagak suka melihat kerenah binatang-binatang yang terkurung di dalam zoo mini tersebut.

‘Aku bebas. Aku bersyukur pada Tuhan.”

Itulah bicara hati si gagak tatkala melihat binatang-binatang yang terkurung. Namun begitu tidak semua binatang-binatang tersebut sedih. Ada yang tetap meneruskan hidup tanpa rungutan. Makanan dibagi, minuman tak luak. Jadi tiada sebab untuk bersedih. Si gagak hanya memerhati dan cuba memahami. Kadang-kadang si gagak mencemburui binatang-binatang yang terkurung tersebut; makanan-makanan yang diberi adalah enak sungguh pada pandangan si gagak.

‘Adakah untuk mendapat makanan sebegitu aku harus dikurung juga?’

Kebebasan itu ada harganya. Kekangan itu juga ada harganya. Adakah utopia yang diimpikan boleh menjadi kenyataan? Aku mahu bebas, aku juga mahu makanan sedap terhidang tatkala aku menginginkan.

Mata si gagak liar melilau ke setiap penjuru zoo mini. Sesekali terdengar kicauan burung ciak rumah mengganggu perhatian si gagak.

‘Nak duduk dalam sangkar ke, gagak?’

Tanya si ciak rumah dengan nada mengejek.

‘Bodohlah kau, aku tak nak hidup tak bermakna macam mereka itu. Kau nak aku hentam ke? Meh sini, aku ‘hantar’ kau ke bawah sana’
Tingkah si gagak dengan nada mengugut.

Si ciak rumah terus terbang pergi, ketakutan.

Si gagak terus bertenggek, berteriak dan memerhati.

‘Tolong aku’ satu suara kecil sayup kedengaran.

Si gagak melilau ke persekitaran mencari sumber suara kecil itu.

Seekor burung merpati putih yang cantik bersih bulu nya sedang memerhati si gagak dari dalam sangkar. Jika dilihat dari luarannya, si merpati putih kelihatan sihat dan segar bugar. Tidak seperti gagak yang kurus hitam dan kekurangan zat.
‘Tolong aku, gagak hitam’ si merpati putih merayu.

‘Bagaimanakah pertolongan yang dimaksudkan kamu itu, sang merpati?’ tanya si gagak.
‘Tolong bebaskan anak-anak aku dari sangkar sebelah’

Gagak menggelengkan kepala.

‘Mengapa kau boleh berfikir begitu? Maksud aku, apa yang buatkan kau berfikir yang aku boleh membantu engkau? Aku juga seperti engkau, punya sayap, punya kaki dan punya paruh. Kudratku seperti engkau juga. Bagaimanalah aku hendak memecah masuk ke sangkar itu? Aku tidak berdaya wahai merpati putih”

Merpati putih menundukkan kepala. Jelaslah baginya sang gagak hitam tidak mahu membantunya menyelamatkan anak-anak nya. Namun begitu merpati putih tidak berputus asa. Kebebasan punya harga yang tinggi. Harga yang tinggi itulah pengorbanan. Satu pengorbanan amat diperlukan. Merpati putih terus berfikir.

“Jangan risau akan hal itu, gagak hitam. Aku hanya memerlukan pertolonganmu untuk mendapatkan sejambak kunci yang tergantung di sebelah sangkar aku ini. Kau hanya perlu mengambil sejambak kunci tersebut dan melontarkan kepada aku di sangkar ini. Setelah itu, kau boleh lah terus pergi menyambung kebebasanmu” ujar merpati putih.

Gagak melilau memerhati sejambak kunci yang dimaksudkan itu. Terlalu mudah baginya untuk melaksanakan tugas itu. Setelah membuat pemerhatian ke persekitaran, sang gagak terus meluru ke dalam kawasan rumah. Tiada manusia, tiada anjing penjaga, ini terlalu mudah. Sang gagak menguatkan tekad. Kebebasan adalah milik semua. Hari ini sang gagak adalah hero. Namanya akan dikenali di kalangan burung-burung urban selaku hero kebebasan.

Setiap mata memerhati tingkah laku gagak. Mata sedih, mata kebencian, mata mengejek, mata kegembiraan. Pelbagai jenis emosi dipaparkan hanya melalui mata-mata yang melihat. Sang gagak tidak memperdulikan mata-mata yang melihat itu. Hari ini dia adalah hero. Dia adalah simbol kebebasan. Dia harus bertindak.

Sejambak kunci kini berada di cengkaman paruh gagak hitam. Berat jambakan kunci itu menyukarkan gagak untuk terbang. Tanpa berputus asa, sang gagak melompat-lompat menuju ke sangkar merpati putih.

Terkial-kial sang gagak cuba membuka kunci sangkar. Akhirnya dia menyedari satu fakta penting: Dia tidak tahu bagaimana menggunakan kunci tersebut. Kedengaran salakan anjing dari jauh yang semakin dekat dirasai getarannya. Kebuntuan. Panik. Sang gagak melontar jambakan kunci terbabit dari paruhnya ke arah sangkar sang merpati lantas menebarkan sayapnya lalu terbang pergi.
Hero? Tiada lagi.

Kemegahan. Hanya cercaan.

Sang gagak terbang pergi. Cercaan, kemegahan, hero?. Oh, sang gagak tidak perlukan semua itu. Kebebasan adalah begitu mahal harganya. Untuk kebebasan, kemegahan sanggup dipinggirkan. Itulah harga kebebasan bagi sang gagak hitam.

Tuesday, December 24, 2013

Aku Tuhan Hujan

Titis-titis hujan yang turun membasahi bumi dan segala bentuk konkrit yang diacu pelbagai rupa. Aku memilih untuk terus berdiri di dalam kuluman hujan membaham kaki dengan lumpuran. Alam ini bukan milik manusia untuk terus-menerus dijarah dan diperubah mengikut nafsu dan ego. Bersalutkan akal yang bijaksana, anugerah Tuhan yang kejap ada, kejap tiada dalam hati mereka, bumi sudah tidak berakar hidupnya. Menunggu ajal, mendakap uzur.

“Abang buat apa ni? Berdiri dalam hujan”

Aku memilih untuk berdiam diri. Menjawab soal akan menggagalkan meditasi. Aku mahu bersatu dengan alam sekali-sekala. Merasai galau di dalam liang-liang tanah. Merasai asid yang bersatu dalam titis-titis hujan, merusuh hemoglobin dan natrium dalam badan. Hipertemia. Aku mula berpusing setempat. Mataku pejam menikmati dingin air hujan yang membasahi helai-helai rambut. Telingaku kedap bunyinya dengan air hujan yang mengatup rongga pintu ke gegendang. Hidungku kembang kuncup mengulir nafas yang beralunan dari ombak paru-paru.

Kecoh-kecoh manusia menggulir suara multi tona menusuk telinga. Aku tahu kini manusia pelbagai usia telah memenuhi ruang depan. Suara-suara rungutan amat jelas kedengaran. Orang tua, orang muda, kanak-kanak, lelaki, wanita. Ulah aku memang ganjil agaknya pada mata mereka. Usah risau, keganjilan masih banyak lagi, oh manusia.

Aku bermunajat kepada Tuhan memohon keajaiban. Hari ini aku adalah pawang hujan. Namun magisku akan aku kembangkan pada hikmat yang lain. Kelainan dari norma-norma asal hidup. Manusia sukakan kelainan. Kebosanan adalah penyakit jiwa mereka yang harus aku ubati hari ini.

Turunlah butir-butir kertas
Turunlah butir-butir logam
Ke bumi, ke dakapan
Insan yang dahaga dunia


Aku ulang berkali-kali mantera itu. Doa kepada Tuhan. Mungkin kepada syaitan. Mungkin juga kepada dewa ataupun dewi. Namun aku tahu, sang penunai pinta tidak pernah menghampakan aku walau sekalipun.

Seratus ringgit, lima ratus ringgit, ribuan ringgit, jutaan ringgit.

Tiada lagi air menitis dari gumpulan awan hitam. Hanya keping-keping kertas yang turun membanjiri bumi dengan kekalutan timbunan kertas-kertas beraneka warna. Kejadian itu membuatkan aku dikelilingi oleh manusia-manusia rakus. Ada yang membuka pakaian lalu menadahkan pakaian selebar mungkin untuk mengatup wang-wang kertas yang berguguran dari langit. Ada yang bertelanjang menari-nari kegirangan mencium bau wang yang gugur. Ada yang berbunuh-bunuhan hanya kerana gusar wang yang gugur itu akan habis dikutip oleh orang lain. Apa itu maruah? Apa itu malu segan? Aku hanya mampu mengukir senyuman melihatkan telatah manusia-manusia itu.

Aku mula mengapungkan diri. Menginjak udara yang tidak pejal, menendang pergi kertas-kertas multiwarna dari radius tubuh. Aku mahu terbang setinggi yang mungkin. Aku mahu lihat kegilaan globalis mengumpul wang ringgit yang berhamburan dari langit. Mataku melilau melihat kerumunan manusia yang begitu dahaga. Begitu lapar. Begitu buas. Wang ringgit cukup untuk merubah segala-galanya.

Pembesar suara di tangan. Aku acukan pada manusia-manusia yang gigih mengutip wang. Aku tarik nafas sedalam-dalamnya. Aku luahkan bicara berupa arahan. Mereka kini boneka. Wang ringgit yang ditabur adalah tali-temalinya.

“Selamat pagi, tuan-tuan dan puan-puan sekalian! Hari ini adalah hari paling bertuah buat kita kerana dianugerahi nikmat daripada Pencipta. Gunakanlah wang ringgit yang ditaburkan itu untuk tujuan yang baik. Usahlah kita bersengketa dan majukanlah kehidupan masing-masing untuk masa depan yang lebih cerah!”

Maaf, tempikan demi tempikan itu tidak mengundang reaksi langsung daripada manusia-manusia itu. Mereka begitu gigih mengutip wang-wang yang bertaburan daripada langit. Tolak-menolak, rempuh-merempuh, dan tidak kurang juga yang gilis-mengilis menggunakan kenderaan. Manusia sudah begitu teruk. Aku hanya mampu menggeleng kepala.

Turunlah butir-butir kerikil
Turunlah butir-butir bisa
Ke bumi, ke dakapan
Insan yang dahaga dunia

Mereka nampak batu-batu kerikil jatuh dari langit, namun mereka tidak lari. Mereka nampak titis-titis hujan warna ungu, namun mereka tidak lari. Mereka gigih mengutip wang ringgit yang masih menimbun di muka tar jalan, muka konkrit, muka rumput dan muka besi. Mereka tidak takut mati. Oh, mereka sebenarnya tidak sedar akan kematian yang menjengah. Mereka hanya tahu mati. Mereka tidak tahu bila akan mati.

Aku menapak ke bumi lalu mengatur larian kencang. Tempat perteduhan dicari di balik kerumunan manusia-manusia yang alpa dan leka menguntum kemewahan segera dari langit. Tanpa disedari, ada kebahayaan menghadir dan menyusuli. Aku kini duduk di sebuah kedai runcit yang lengang orangnya, penuh barang jualannya. Aku memerhati sahaja dari jauh akan ulah manusia yang semakin lama menjengkelkan hati itu.

Titis-titis hujan asid ungu membaham kulit mereka, mencairkan apa yang pejal, meresap segenap rongga yang ada dan merungkai ikatan partikel-partikel yang membentuk sifat zahir seorang manusia. Batu-batu kerikil pula menghentam saraf-saraf kesakitan yang memberitahu otak-otak mereka yang turut melumat itu akan makna kesengsaraan mutlak.

“Ini NERAKA! Ini SEKSAAN! Ini HUKUMAN!”

Itu bahasa batu-batu kerikil dan titis-titis hujan asid ungu. Tiada sesiapa pun sempat berlindung diri di mana-mana tempat perteduhan berdekatan tatkala setitis hujan asid ungu itu menyentuh secubit kulit. Mereka lumpuh, menggelupur, mencair dan mendebu. Rintihan-rintihan kesakitan bersahut-sahutan dengan desibel-desibel beraneka aras. Aku mendepangkan kedua-dua belah tapak tangan lalu mengatup telinga. Aku hanya melaksana tugas negara semata. Aku pelaksana genosaid atas arahan golongan diktator yang mencengkam kapitalisma kemas di tangan-tangan mereka. Aku mengira waktu. Aku menatap putar jarum minit dan saat di heksagonal logam bertali di pergelangan tangan kiriku. Aku punya masa tidak kurang daripada sepuluh minit. Ya, sepuluh minit untuk menamatkan genosaid besar-besaran yang dilaksana di depan mata.

Sepuluh minit adalah masa yang begitu lama. Aku boleh bahagikan kepada setiap minit itu 60 saat yang berharga. Ada sepuluh set ‘60 saat’ yang boleh aku lingkarkan aktiviti atau cetus fikiran. Aktiviti atau cetus fikiran itu pula semestinya termaktub pada visual ngeri di depan mata. Jantungku berdegup kencang. Terasa dingin meramas wajah. Pucat agaknya wajahku kini. Tubuh-tubuh yang mencair daging dan tulang mereka ini mengingatkan aku akan gula-gula manis yang terjemur di bawah terik matahari. Mereka masih bergerak. Itu yang memilukan hati. Sakaratul maut mereka begitu payah. Aku melihat bagaimana titis-titis hujan ungu bertukar menjadi air yang mengalir membawa bersama cebis-cebis kehidupan yang hilang ke dalam longkang-longkang berdekatan. Mudah sungguh manusia ini dihilangkan daripada kewujudan. Kuasa Tuhan. Manusia hanya bagai sebutir zarah yang boleh diubah-ubah.

Sinopsiskan minit-minit itu, oh Tuhan hujan.

Baiklah, ujarku.

Minit pertama apa yang aku buat? Aku masih menekup telinga, menghindari dengan sepenuh kudrat tapak tanganku untuk tidak mendengar akan penderitaaan manusia-manusia yang menggelupur mati di depan mataku. Untuk pengetahuan umum, mataku turut dipejam sama. Aku butakan mata dan pekakkan telinga daripada mendengar derita mereka angkara perbuatan aku tadi. Biar aku justifikasikan sekali lagi, perbuatan aku itu bukan disulami nawaitu individu yang bernama, aku, tetapi aku hanya melakukan perbuatan kejam itu atas arahan seseorang yang lebih berkuasa.

Minit kedua, aku mula membuka mata namun telinga masih dikatup rapat. Aku melihat bagaimana seorang kanak-kanak menangis air mata darah yang disusuli dengan bebola matanya mencair membasahi pipinya. Aku menggeletar melihat bagaimana seorang ibu berusaha untuk memayungkan anak kecil dari simbahan asid ungu dan hentaman batu-batu kerikil, hanya untuk hayat tambahan untuk masa sejenak lebih lama. Aku takut,serius aku memang takut.

Minit ketiga, aku memejamkan mata, melonggarkan katupan di telinga. Jeritan-jeritan kesakitan begitu mengilukan. Aku tidak mengerti, mengapa aku boleh membacakan mantera hukuman yang impaknya sebegitu dahsyat. Aku cuma ingat akan tujuan. Aku mahu menghukum. Semudah tiga ayat itu. Namun perincian hukuman itu dan kesannya langsung tidak singgah di benak fikiran aku sebelum ini.

Minit keempat, aku sudah mula belajar menerima makna kematian mereka itu. Mata mula melihat, telinga mula mendengar, degup jantung mula normal, kengerian menjadi kebiasaan. Aku sudah mula mengukir senyuman, aku sudah mula menganggap derita mereka itu permainan, aku sudah lupa akan maksud ‘harga diri manusia’. Mati mereka itu tidak berharga buatku. Aku sudah tiada sesal.

Minit kelima, tiada lagi bunyi jeritan kesakitan. Tiada lagi pergerakan. Apa yang terhampar luas di hadapan retina hanyalah gumpalan daging-daging busuk reput yang mula dihanyutkan oleh banjir-banjir asid ungu. Namun timbunan kertas-kertas wang ringgit masih utuh di tempatnya. Asid-asid ungu dan batu-batu kerikil bagaikan bersifat lapik osmosis yang mengasingkan cebis-cebis tanah dengan dunia. Cebis-cebis tanah itu sifatnya Adam, cebis-cebis dunia pula kapitalisma. Hanyut dibawa pergi daging-daging hancur manusia, meninggalkan wang ringgit yang direbut bertimbunan semula.

Minit keenam, matahari mula bersinar terik di langit tinggi. Hujan asid sudah berhenti merenyai. Kerikil-kerikil batu menguliti daging-daging yang hancur ke sistem saliran. Aku sudah berani menginjak kaki ke jalan-jalan bertar yang berbumbung langit togel. Udara segar cukup memberi aku nyawa. Aku mengatur langkah di atas cebis-cebis wang kertas yang menjadi rebutan manusia-manusia. Aku berasa sungguh gah.
Aku berhenti mengira waktu. Aku mula mengutip wang-wang kertas yang bertaburan lalu dikoyak satu persatu. Kutip dan terus mengutip. Apakah yang penting buatku? Misi aku sudah tamat. Dalam masa lima minit dari sekarang, watak utama permainan ini akan muncul. Tapi siapa? Aku sendiri masih tidak tahu.

Bunyi sepatu kayu mengetuk-getuk jalan tar. Suasana sunyi sepi membuatkan bunyi lagaan kayu dan tar begitu lantang. Cukup lantang untuk membuatkan aku mendongakkan kepala. Seorang wanita berkimono jingga dengan hiasan bunga kekwa di corakan kain mengatur langkah kecil dengan cermat sekali. Payung putih kertas yang berangkakan kayu ringan digenggam erat hulunya. Wajahnya tidak begitu jelas hanya aku tahu, kulitnya putih melepak. Redup bayang payung menutup raut wajahnya itu.

“Kenapa kau koyakkan kertas-kertas itu?” tanya wanita berkimono jingga itu.

“Saja-saja. Bosan. Aku tak perlukan kertas-kertas ini. Engkau nak kertas-kertas ini? Kutiplah mana yang kau mampu. Aku tak kisah” jawabku.

“Aku kisah. Kertas-kertas itu ada harga bukan?”

“Oh, dulu ada. Sekarang dah tak ada”

“Apa maksud kau?”

“Kau lihat sendiri di sekeliling kau. Ada manusia lagi? Tanpa pengguna, kertas-kertas itu hanya layak dikoyakkan ataupun dibakar”

Wanita berkimono jingga itu mula melutut lalu mengutip sekeping wang kertas bernilai RM 100. Dibelek-belek, dipusing-pusing, dibalikkan dari satu muka ke muka yang lain.Dahinya berkerut-kerut. Entah mengapa, jari-jemari halus itu mula mengoyakkan wang kertas itu sepertimana apa yang aku perbuat.

“Jadi tanpa manusia, kertas-kertas ini tidak ada harga sebab manusia yang memberi harga pada kertas itu. Begitukah maksud engkau?”

“Betul lah tu” aku menjawab sambil jari jemariku terus-menerus mengutip kertas-kertas wang dan mengoyakkannya. Aku berasa kepuasan dalam diri. Akhirnya aku berpeluang untuk mengoyakkan kertas yang dianggap simbol kemewahan selama ini. Akhirnya aku berjaya memansuhkan harga-harga yang dilambangkan pada kertas-kertas itu. Aku anggap ini, satu pencapaian terhebat.

“Oh, kau siapa? Datang dari mana? Jepun? Tapi muka macam Melayu”

“Aku datang ni, nak kutip habuan aku, tapi entahlah orang yang aku suruh tu macam tak ikut arahan aku je”

Aku hampir tersedak walaupun tiada makanan dalam mulut. Wanita berkimono jingga inilah yang menghantar aku ke mari dan menjalankan ritual-ritual aneh itu. Kenapalah aku tidak menyedari akan fakta paling penting itu? Hari ini pastinya aku akan mati.

Aku berhenti dari mengoyakkan wang-wang kertas itu. Mata wanita berkimono jingga itu tidak berkelip menatap wajahku. Tiada senyuman menguntum pada wajah itu. Hanya satu keseriusan yang cukup membuatkan peluhku merecik, jantungku berdebar, nafas beralun berat. Aku tidak seharusnya mengoyakkan wang ringgit itu. Aku tidak patut berbuat begitu. Namun aku punya gelodak benci dalam hati. Benci terhadap kertas-kertas yang dibubuh harga itu.

Aku mengeluarkan pemetik api daripada kocek seluarku. Aku nyalakan api dengan sekeping kertas wang di tangan kanan.

“Jangan dekat, kalau tak aku bakar duit ini!!”

Wanita berkimono jingga tidak mendekati, hanya tangannya didepakan jari-jemari di tapak tangan, dilunjur lengan ke arah ku. Apa yang aku boleh buat? Makhluk yang aku hadapi kini adalah sesuatu yang begitu berkuasa. Aku pinta hujan, hujan diturunkan, Aku pinta wang ringgit, wang ringgit diturunkan, aku pinta hujan asid, asid ungu diturunkan, aku pinta kerikil, kerikil itu dihujankan.

Berlari. Aku ada pilihan itu.

Aku mengundur tubuh beberapa langkah lalu berpusing membelakangkan wanita berkimono jingga itu. Belum sempat langkah diatur untuk berlari, aku dapat merasakan satu getaran yang cukup untuk mematikan gerak tubuhku.

Kosong, aku rasa begitu kosong. Aku memerhati akan apa yang terjadi pada tubuhku. Pada pakaianku aku ternampak sembulan yang membulat dari separuh dada hingga ke separuh abdomen. Nafasku terasa begitu sesak disusuli kesakitan yang menjalar dari keseluruhan tubuhku. Otak begitu perlahan menafsirkan ajal.

Aku masih memegang pemetik api. Saraf aku masih mampu memegang jari-jemariku dan menafsirkan arahan-arahan otak untuk menyalakan api. Aku tahu, apabila aku mencampakkan api yang menyala pada timbunan kertas-kertas jijik di sekitar, aku akan hilang taraf selaku Tuhan Hujan. Mati dalam kehinaan. Namun apakah kemuliaan dunia itu sesuatu yang begitu bermakna? Tiada bezanya. Yang mati akan mati sebegitu rupa. Tanpa manusia mengingati, matinya seseorang itu tiada harganya. Sepertimana wang ringgit itu juga. Tanpa manusia memberi harganya, wang ringgit itu hanya kertas-kertas biasa.

Aku punya dosa. Aku bunuh ramai manusia. Aku berasa dosa itu bagai mengigit-gigit apabila mengenangkan sebentar tadi aku berasa ketenangan selepas melakukan dosa. Mungkin aku memang selayaknya mati sebegini. Menjejak langkah mangsa-mangsa orang yang aku korbankan. Yang aku tafsirkan selaku pendosa juga. Apalah bezanya. Sepertimana mereka, tubuh aku akan hancur juga.

Aku lepaskan cengkaman pada pemetik api yang dinyalakan. Apa yang hadir pada visi adalah semarak api kekuningan dan asap serta cebis-cebis tubuhku yang berserakan. Gelap.

Tuesday, October 22, 2013

Cerita Bohong Untuk Rakyat Jelata Fasal 2

Adapun disambung hikayatnya, maka berhimpunlah segala mahamenteri, adipati, bupati, laksamana dan hulubalang di hadapan seripura Seri Paduka Baginda Maharaja Seri Arjuna Sari dengan segala macam khuatir dan resah menunggu titah atau khabar apa juapun yang bakal dipersabdakan oleh seri paduka baginda. Dalam ramai-ramai segala mahamenteri yang berhimpun mengadap keraton itu adalah seorang menteri yang tersohor namanya kerana bijak bicaranya, saksama pengadilannya dan licik perancangannya bernama Daeng Jatidwipa Kanishka yang asalnya datang dari sebuah pulau terpencil, justeru namanya 'Jati' bererti 'derajat' dan 'dwipa' bererti pulau sepertimana yang difahami oleh agamawan, sasterawan dan pendita-pendita ulung agama Veda yang kita ketahui bersifat apauruseya dalam segala pengungkapan vedanya dan penuturan bahasanya.

Daeng Jatidwipa Kanishka pun berfikirlah dalam benaknya.

"Andainya Maharaja Seri Arjuna memasuki alam Dewa Yama nanti, siapa yang bisa menggantikan baginda sebagai dewaraja negarapura ini? Setahu hamba, baginda hanya mempunyai seorang puteri, dan undang-undang tubuh pura ini telah ditetapkan oleh cendekiawan dahulu lama-huh, cendekiawanlah sangat Megat Lohakara tu! Sekarang negara pura kita berada di ambang kesusahan, terima kasih Lohakara kerana pemikiran misoginistikmu! Tak pasal-pasal kita tak boleh mengangkat Seri Puteri menjadi navarani menerajui pemerintahan negara. Celaka punya Megat Lohakara, celaka, celaka, celaka..."

Tiba-tiba bergemalah titah Maharaja dari pembesar suara.

"Seri Paduka Baginda Maharaja dengan ini menitahkan Mahamenteri Daeng Jatidwipa Kanishka masuk ke kamar baginda untuk mengadap seri paduka!"

Kagetlah Daeng Jatidwipa seraya berfikir.

"Selalu betul pengumuman ini mengejutkan daku! Mungkin waktu balik nanti hamba harus berjumpa dengan Tabib Lao melihat perihal jantungku," fikirnya.

"Patik menjunjung perintah di atas batu jemala patik!" Maka masuklah Daeng Jatidwipa ke dalam astana. Adapun istana Maharaja Seri Arjuna amatlah besar, mengalahkan besarnya Borobudur di Jawa, maka setelah beberapa lama, barulah Daeng Jatidwipa sampai ke lawang kamar seri paduka.

"Ampun patik tuanku, patik mohon masuk mengadap ke bawah duli tuanku."

"Silakan masuk pendita yang bijaksana," sahut baginda kegeringan di pelantaran.

Maka masuklah Daeng Jatidwipa ke dalam kamar. Tatkala beliau melihat terlantarnya seri paduka baginda di atas pelantaran, beliau merasa kesedihan.

"Oh, apakah dharma negara pura ini harus begini, merasakan dukacitanya melihat maharajanya sendiri, terlantar kegeringan sebegini rupa, wahai tuanku yang perkasa dan mulia?" Ujar Daeng.

"Bicaramu sentiasa menghiburkan hati beta yang berduka, wahai pujangga! Bagaimanakah seorang lelaki yang datang dari nusa nun jauh di mata bisa menjadi menteri, pendita dan pujangga, dalam keadaan dirinya hanya sebagai seorang manusia tanpa penjelmaan lainnya? Sungguh beta mengagumi kepandaianmu aditya!" jawab Seri Maharaja.

"Patik bukan aditya, patik hanyalah anak benua, anak jati Likou Sanou, yang selama ini bernaung dan berharap kepada kesejahteraan pemerintahan tuanku, yang didukung oleh rakyat saban waktu, tatkala susah mahupun senang, dan rakyat makin hari bertambah sayang, kerana Maharaja begitu baik memimpin, dengan berkat Tuan Puteri," terus Daeng berbicara.

"Ah, Puteriku. Tunggu sebentar Daeng, beta panggilkan Tuan Puteri. Dayang-dayang, bawakan Tuan Puteri ke sini!"


-sambung lagi-

Tuesday, September 17, 2013

Hedo I

Dunia ini tidak berTuhan. Tubuhku ini hanya kombinasi unsur-unsur kimia. Roh itu pula hanya cetusan cas-cas elektrik. Saraf. Neraka tidak wujud. Syurga hanya utopia.Utopia hanya fantasi. Fantasi yang merupakan rembesan dari pengharapan untuk kehidupan yang sempurna. Bagaimanakah kehidupan itu boleh dikatakan sempurna? Sepertimana syurga dan neraka, kesempurnaan itu tidak wujud. Sesuatu yang subjektif seperti kesempurnaan tidak wajar dibincangkan. Lihat, setuju dan terima.

Di satu sudut bilik itu, seorang lelaki berjubah hitam duduk di kerusi sambil pandangannya dilontarkan keluar tingkap. Pada ketinggian tingkat 20 sebuah apartmen, pemandangan di bawah adalah indah sekali. Lampu-lampu neon, lampu-lampu kenderaan begitu terang dan bertingkah antara satu sama lain. Segala-galanya mengherot perasaan hedonisme. Lelaki berjubah hitam itu merasakan sensasi hedonisme itu. Meletihkan.

Sambil pandangannya berkitar, segala bentuk objek di dalam biliknya itu mula mematerial. Jam dinding yang tiada angka dan jarum tergantung di suatu sudut. Almari hologram yang disusuni buku-buku digital mengitari setiap sudut bilik. Jam dinding, rak buku dan buku-buku digital memberi sinar cahaya yang menenangkan tatkala sensani hedonisme kian memudar. Kegelapan malam dihiasi sinaran-sinaran cahaya metropolitan dinikmati dari bilik gelap tanpa nyalaan lampu. Fikirannya dikusutkan dengan konsep ketuhanan yang menghantui pemikirannya sejak daripada tiga hari yang lepas. Kusut kerana di hatinya tiada Tuhan! Namun mengapa dikusutkan fikiran dengan sesuatu yang tiada? Keluhan dilontarkan.

Lagu “The Devil’s Trill Sonata” sedang berkumandang dari suatu arah. Mungkin daripada kotak muzik milik jiran rumah. Ataupun daripada benak fikiran lelaki itu sendiri. Mungkin juga sebahagian daripada halusinasi. Melodi itu sebati selaku halwa telinga dan juga beradu seirama dengan gelodak hati.

Soliditari itu indah. Tatkala dunia dipenuhi oleh golongan hipokrit yang berusaha menipu diri sendiri dan menyebarkan ilusi penipuan itu, lelaki itu memilih untuk mengurung dirinya dalam bilik gelap itu. Pembohongan membawa kepada kekayaan. Pembohongan membawa kepada kekuasaan. Kekuasaan dan kekayaan itu membawa kepada hedonisme dan utilitarian mutlak. Penindasan berlaku dan diterima umum. Kemanusiaan sudah hilang dan turut diterima umum juga. Manusia sudah hilang harga diri. Manusia kini hanya alat. Alat yang mempunyai jangka hayat tipis. Setelah alat itu tumpul, maka berakhirlah hayat alat itu. Wujud tetapi tidak berguna. Kewujudan begitu adalah satu kesalahan. Hukumannya hanya satu; riwayat ditamatkan.

Aku hanya pemerhati. Dari dahulu dan selamanya.

Lelaki itu bingkas bangun lalu berdiri di tepi tingkap. Bayu malam yang agak kasar mencakar-cakar kulit. Biarkan sahaja. Pandangannya dilontarkan ke arah sistem-sistem perbandaran, sistem-sistem jalanraya dan deretan pencakar-pencakar langit yang memenuhi lantai-lantai yang diiluminasi cahaya multi warna. Matanya dipejamkan menikmati cakaran bayu malam yang kejam itu.

Pergerakan The Devil’s Trill Sonata kini berada pada Larghetto Affettuoso

Tuhan oh Tuhan! Di manakah Kamu? Aku berada di zaman di mana tiada Tuhan yang disembah dan diikuti oleh manusia. Sainstologi merewang menusuk jiwa manusia. Tiada Tuhan – hanya ada satu peradaban yang jauh lebih maju dari manusia di luar sana. Namun mereka itu bukan Tuhan. Mereka hanya satu bentuk kehidupan yang berevolusi lebih awal dengan jarak ratusan millennia daripada peradaban manusia.


Ateisma kini ditabalkan selaku pengganti agama-agama di dunia. Ke mana perginya Hari Kiamat? Ke mana perginya Hari Pembalasan? Manusia kini sudah jelak dijamukan tarikh-tarikh ramalan untuk Hari Pembalasan itu. Adakah aku sudah terlepas daripada ke semua tarikh-tarikh penting tersebut dan kini sedang menjalani hukuman di Neraka? Namun Neraka ini hanya kosong, tiada kesakitan dan juga tiada penyesalan. Adakah ini Syurga? Tiada kegembiraan di sini. Segala-galanya teguh di fizikal semata-mata namun kosong di rohnya. Seperti batu konkrit dan tar jalan. Wujud tapi mati.

Manusia kini sudah jemu akan satu kewujudan yang tidak dapat dirasai dengan pancaindera. Manusia kini sudah jemu akan kepercayaan berasaskan hati dan naluri. Usaha-usaha para ilmuwan pada zaman terdahulu untuk membina jambatan perkaitan antara sains dan agama sudah gagal. Sains sudah membaham agama. Tiada apa yang tinggal pada agama. Hanya satu nama di arkib sejarah manusia.
Apa sudah terjadi kepada golongan jin, malaikat dan syaitan? Adakah peperangan antara kejahatan dan kebaikan masih berjalan? Manusia tidak berlumba untuk mendalami konsep kejahatan dan kebaikan itu lagi. Apa yang tinggal hanya perlumbaan untuk membangunkan diri. Mengejar teknologi. Dimamah teknologi. Ya, mungkin Teknologi sudah menjadi Tuhan di hati manusia-manusia ini. Mereka terlalu akrab dengan Teknologi.

“Teknologi adalah alat untuk pembangunan insan dan kendiri”

Slogan itu terpapar pada setiap papan tanda iklan. Satu manifesto? Maka secara tidak langsung Teknologi bukanlah Tuhan di hati manusia ini. Hanya alat. Apabila rosak, tibalah masanya untuk digantikan kepada alat yang lain.

Pergerakan The Devil’s Trill Sonata kini berada pada Allegro moderato


Gesekan biola yang padu ini milik Arthur Grumiaux. Nama yang kini tinggal legasi. Adakah pemilik nama ini percaya kewujudan Tuhan pada masa dahulu? Mungkin dia percaya. Mungkin juga tidak. Huh, mengapa harus difikirkan kepercayaan orang yang sudah pergi itu? Kemungkinan hanyalah satu rotari. Tiada jawapan hanya persoalan.

Pergerakan The Devil’s Trill Sonata kini berada pada Andante

Lelaki itu membuka matanya. Kaki kanannya diinjakkan pada bingkai jendela. Dingin. Dengan menumpukan sepenuh kudratnya, dia bertenggek pada bingkai jendela itu. Lagaknya laksana burung gagak yang bertenggek di dawaian elektrik tinggi memerhati mangsa yang merayap di tanah. Tujuan tampak jelas. Terjun ke bawah dan menemui ajal. Terjun daripada ketinggian tingkat 20 sebuah apartmen adalah perbuatan yang gila. Namun adakah gila itu begitu teruk sekali? Perbuatan mengakhiri penghidupan yang kosong di kalangan masyarakat yang kosong jiwanya bagaikan satu perbuatan mulia. Apakah bezanya antara mati dan hidup? Kemajuan Teknologi yang dikejar manusia masih tidak menjawab secara terperinci akan daerah kematian ini. Daerah yang dilupakan. Pengetahuan yang diabaikan. Mati? Itu hanya perubahan kelompok zarah daripada bentuk seorang manusia ke suatu bentuk lain. Istilah mati juga sudah pupus dari hati manusia.

Pergerakan The Devil’s Trill Sonata kini berada pada Allegro Assai

Terjunan dimulakan. Mekanisma anti graviti secara automatik dihidupkan. Namun begitu sistem itu tidak mampu memperlahankan kadar kecepatan jatuhan. Sistem anti Newton. Objek akan dilindungi dari bahana hentakan ke muka bumi oleh mekanisma itu. Pemansuhan jisim pada penghujung jatuhan akan membuatkan objek yang jatuh bagaikan kapas; jatuh dan menyapu bumi dengan kelembutan.
Kadar kecepatan jatuhnya tubuh lelaki itu bagai berganda tatkala bumi semakin dangkal jaraknya. Anti Newton kini Pro Newton. Kapas kini adalah bola golf. Jisim berganda. Ketakutan tiada. Penyesalan juga tiada. Hanya satu tekad. Tekad untuk menghilangkan diri. Daripada kehidupan yang tiada erti.

Anti graviti adalah anti Newton. Newton adalah saintis, saintis adalah musuh teologi. Nyawa adalah sains, roh adalah teologi. Sesuatu yang bernyawa adalah sesuatu yang berjisim. Namun begitu, sesuatu yang punya roh tidak semestinya berjisim.
Apabila sesuatu mengandungi unsur teologi, maka sistem Anti Newton tidak akan bertindak balas dengan objek itu. Apa yang dikatakan unsur teologi di sini adalah; roh.

Pada zaman Teknologi yang dipenuhi manusia yang tiada harga diri dan juga roh ini, tiba-tiba muncul seorang manusia yang dikurniakan roh. Lelaki berjubah hitam itu punya roh.

Adakah ini adalah kurniaan ataupun sumpahan? Kerana roh itulah, sistem Anti Newton tidak berfungsi ke atas tubuh lelaki berjubah hitam itu.

Sungguh ironi apabila mengenangkan Sir Isaac Newton adalah saintis yang ingin menghubungkan sains dan teologi. Penamaan sistem anti Newton oleh Teknologi adalah satu penghinaan. Inilah deklarasi kemenangan ke atas teologi oleh Teknologi. Hero-hero teologi seperti Sir Isaac Newton dan Ibn Rusyd diputarbelitkan imejnya. Disanjung tinggi namanya. Selaku ateis terhormat.

Tempurung kepala berlubang di tiga penjuru dan menjulurkan isi-isi otak membasahi bumi. Tangan kanan putus. Kaki kiri tergeliat pada satu sudut yang mengerikan. Adakah Tuhan membenarkan lelaki itu berjumpa dengan Nya? Hanya Dia dan lelaki itu yang tahu.

Thursday, May 23, 2013

Hidup Yang Kosong

Hidup yang kosong. Tiada kesungguhan dan matlamat diperuntukkan pada hari esok. Impian sudah lama mati. Mimpi? Juga sudah lama pupus. Kelaziman struktur hidup yang dibentuk pada hari ini hanyalah disandarkan pada faktor logikal ekonomi. Tiada pekerjaan maksudnya tiada duit. Tiada duit maka tiadalah makanan dan juga tempat tinggal. Bagi pekerja biasa, bekerja dari pukul 8 pagi sehingga pukul 5 petang adalah satu kebiasaan. Bagi yang masih mampu menyambung kudrat, pekerjaan sambilan disambung pula selepas itu. Bagi yang percaya hidupnya sudah sempurna, maka waktu malam nya akan diisi dengan komitmen kepada keluarga. Disayangi dan menyayangi. Gelak ketawa juga tangisan. Konflik dan juga penyelesaian. Namun bagi yang berfikiran positif (kesempurnaan hidup telah dicapai), ini adalah rencah kehidupan.

Cuba bayangkan satu situasi seperti berikut:
Salah seorang pekerja berikut mempunyai penyakit tekanan perasaan akibat perjalanan hidupnya yang tidak memberinya kepuasan. Hak beliau untuk mengejar impian dinafikan oleh keluarga. Hak beliau untuk memilih pekerjaan yang dikehendaki dinafikan oleh taraf sosio-ekonominya. Ya, jika dalam konteks bahasa mudah; seorang pekerja yang miskin hartanya. Hidupnya dipenuhi kebencian pada pekerjaan yang sedaya-upayanya dicuba untuk dicintai, dihayati. Namun kepuraan itu memakan dirinya. Keletihan pada hidup sebegitu rupa semakin melarat. Beliau punya hati jua impian. Namun beliau keseorangan dalam perjuangan itu. Tiada sokongan daripada keluarga tercinta. Tiada sokongan daripada buah hati tersayang. Akhirnya beliau mengaku kalah pada desakan daripada pelbagai penjuru kehidupan. Memilih untuk mengenepikan impian. Memilih untuk menghapuskan hati dan kesungguhan. Satu kepercayaan muncul dalam dirinya;

“Dunia ini bukan aku yang punya”

Hidup yang kosong. Untuk menambahkan lagi keperitan pada nasibnya, pekerjaan yang diwar-warkan oleh keluarga selaku pekerjaan yang mulia dan punya masa hadapan yang cerah tidak seindah seperti yang diberitakan. Dompetnya tetap juga tipis dari wang ringgit, masa rehat nya juga semakin kurang akibat bebanan kerja yang tidak setimpal dengan usaha kudratnya. Buah hati yang tersayang tidak mendesak, namun jauh di sudut hati beliau terdapat kekesalan yang dalam.

“Aku tidak mampu membahagiakannya dengan keadaan aku yang daif sebegini”

Satu pengorbanan yang besar amat diperlukan. Namun apakah pengorbanan itu? Apakah kesilapan besar dalam hidupnya sehingga begitu melarat sekali kehidupannya pada masa kini?

Selamat pagi. Matahari sentiasa terbit dari ufuk timur. Kadangkala disulami awan-awan mendung di musim hujan. Malam yang dilalui agak meresahkan dengan beban-beban dunia. Tiada tidurnya yang nyenyak. Penyakit akan menyusul apabila jiwa tidak tenang.

28 haribulan. “Hari ini gaji masuk” getus hatinya. Dengan kepayahan dia melangkah bangun daripada katil, pergi ke bilik mandi dan memberus gigi. Apa yang terpapar pada cermin bilik mandi adalah satu wajah yang kusut. Mata yang cengkung. Perut yang buncit. Rambut serabai. Baju yang lusuh. Wajah yang punya ekspresi kosong.

Dompet yang tipis diselak. Hanya ada RM 10. Keluhan berat dilepaskan.

Gaji masuk hari ini. Tapi hutang kereta, hutang rumah, hutang pendidikan dan hutang bank harus dilangsaikan segera. Belum lagi dikira duit makan, duit telefon bimbit dan duit minyak kereta. Selaku golongan kelas pertengahan, dia hanyalah salah seorang daripada golongan yang tidak gembira dengan kemasukan aliran wang dalam akaunnya. Mengapa? Kerana duit itu hanya sementara sahaja. Bakinya mungkin hampir tiada.

RM 10. Ya, itu lah baki yang tinggal.

Kunci kereta diputar dalam soketnya. Deruman enjin kereta semakin galak. Tatkala stering kereta diputar, satu perasaan kurang enak dirasakan pada pengawalan.

“Ah, balancing lari pulak”

Jika dikira kali terakhir dia menghantar kereta untuk diservis adalah pada dua bulan yang lalu. Kini pengawalan kereta pula yang bermasalah. Kereta sudah minta duit juga. Satu keluhan berat menyusul lagi.

Kereta dipandu perlahan menuju ke bank terdekat. Dari jauh sudah kelihatan kelibat orang ramai yang berpusu-pusu beratur di hadapan setiap mesin ATM. Wang dikeluar dan orang yang sama akan beratur pula di bahagian mesin deposit. Selepas wang dimasukkan ke dalam mesin deposit, mereka akan beransur pergi. Pergi dengan wajah kusam. Begitulah lagu hidup mereka pada setiap hujung bulan.

Pengawalan kereta semakin teruk. Pedal minyak yang ditekan semakin terasa sebu. Pedal brek ditekan namun terasa kosong. Kosong dan kosong. Peluh panik merincik di dahi. Wajahnya semakin pucat. Tatkala harapan kian tipis, dia ketawa dan terus ketawa. Ketakutan semakin pudar. Apa yang tinggal hanya kegilaan. Ya, kegilaan.

Pedal minyak ditekan sekuat mungkin. Meter kelajuan semakin naik namun dengan keadaan pemikiran kusut, jarum dan nombor-nombor pada meter tersebut sudah tidak signifikan lagi.

Apa yang terdapat dalam benak fikiran nya hanya satu. Nyawa harus ditamatkan di ATM mesin.

HAHAHAHAHAHAHAHAHAHA!!!!!!!!!!!!!!

Dengan ketawa yang berpanjangan, kereta itu meluru laju merempuh ke arah barisan orang yang beratur di hadapan mesin ATM. Tiada sesiapa pun yang mengelak. Seolah-olah merelakan tubuh dirempuh dan digilis oleh kereta yang meluru itu.

Satu dentuman kuat kedengaran.

Kematian. Tangan yang menggenggam kad ATM kini layu. Tangan yang menggenggam wang ringgit untuk diselitkan dalam dompet kini terkulai. Adakah ini kebebasan yang dicari?

Hidup itu kosong apabila bertuhankan wang. Kematian pengakhirnya. Kegelapan adalah tirainya.